| Telefon: 225633/223599 Telex No: MA80978 Telefax: 088-421125 |
|
PEJABAT SETIAUSAHA KERAJAAN NEGERI Jabatan Ketua Menteri 88502 Kota Kinabalu Sabah Malaysia |
| Rujukan : JKM.100-30/1 Jld.3 Tarikh : 01 Januari 2000 Semua Setiausaha Tetap Kementerian; Datuk/Tuan/Puan, PERUTUSAN TAHUN BARU 2000 Masa beredar dengan pantas sekali. Kini kita sudah pun berada di tahun baru 2000. Kita mula memasuki abad baru iaitu abad 21 dan meninggalkan abad 20 yang penuh dengan peristiwa suka duka yang sudah pasti banyak meninggalkan kenangan yang boleh dijadikan pengajaran dan iktibar kepada kita sebagai persiapan menuju ke alaf baru. 2. Sesungguhnya kita semua harus bersyukur kerana kita adalah antara anggota perkhidmatan awam yang berpeluang berkhidmat dalam dua abad. Cuba kita renung kembali, apakah sumbangan dan bakti yang telah kita curahkan kepada perkhidmatan awam, negeri dan negara kita sepanjang abad yang berlalu. Dan sejauh manakah pula matlamat dan perancangan yang kita buat diawal tahun telah berjaya kita laksana dan capai. Apa pun keadaannya, mudah-mudahan permulaan alaf baru yang bakal kita tempuhi kelak akan membawa sinar dan harapan yang lebih cerah kepada kehidupan kita seterusnya di tahun-tahun mendatang. 3. Sepanjang tahun 1999, kita telah dapat menyaksikan tanda-tanda awal proses pemulihan ekonomi negara mengambil tempatnya daripada kegawatan yang dialami sejak pertengahan tahun 1997. Semua ini adalah berkat kebijaksanaan para pemimpin kita dalam mencipta pendekatan sendiri bagi menangani kesan kegawatan melalui penubuhan Majlis Tindakan Ekonomi Negara /Negeri Sabah (MTEN/MTES) dan pelaksanaan Pelan Pemulihan Ekonomi/Pelan Tindakan Stretegik. Namun pegawai dan kakitangan perkhidmatan awam yang merupakan sebahagian daripada jentera pelaksanaan dasar-dasar kerajaan dalam usaha memulihkan ekonomi negara/negeri turut sama memainkan peranan penting membantu negara kembali berada dilandasan pertumbuhan ekonomi yang kukuh. Saya mengambil kesempatan in mengucapkan terima kasih kepada semua anggota perkhidmatan awam di Sabah yang turut sama bertungkus lumus menjalankan tugas dan tanggungjawab dalam membekalkan maklumat-maklumat yang diperlukan oleh MTEN/MTES dari masa kesemasa bagi membolehkan MTEN/MTES dan Kerajaan meneliti perkembangan ekonomi dan kewangan semasa serta merancang dan melaksanakan tindakan pemulihan ekonomi negara. 4. Alhamdulillah, sepertimana yang kita semua sedia maklum, ekonomi negara kita kini sudah mula pulih. Kita kini sudah boleh kembali meneruskan usaha-usaha untuk membangunkan negara kita supaya menjadi sebuah negara maju selaras dengan wawasan 2020. Selaku Anggota Perkhidmatan Awam, kita turut sama memainkan peranan yang besar dalam proses menjadikan negara kita sebuah negara maju menjelang tahun 2020 nanti. Oleh itu, kita perlu meningkatkan lagi pengetahuan dan penguasaan dalam pelbagai bidang ilmu dan teknologi canggih kerana cabaran-cabaran di alaf baru menuntut persaingan yang lebih sengit dan memerlukan kita menjalankan kerja-kerja kita dengan lebih pantas serta berupaya membuat keputusan dengan cekap dan cepat berdasarkan maklumat yang tepat dan kritikal. Di alaf baru ini, perkhidmatan awam banyak memerlukan pekerja berpengetahuan, iaitu mereka yang mempunyai pelbagai kemahiran dan keterampilan untuk memahami dan menyelesaikan pelbagai isu yang lebih kompleks. 5. Dalam hal ini, saya menyeru semua anggota perkhidmatan awam supaya membudayakan teknologi maklumat (IT) dalam kerja-kerja seharian. Sememangnya sejak tiga tahun kebelakangan kita sudah mula memberi tumpuan kearah penguasaan ilmu dan teknologi yang canggih ini bagi mempersiapkan diri kita memasuki era Teknologi Maklumat agar setanding dengan negara-negara maju. Kita telah melaksanakan Sistem Kerajaan Elektronik, Sabah Net dan kita juga telah membelanjakan peruntukan yang besar untuk membeli peralatan komputer canggih dan memberi latihan asas kepada setiap peringkat kakitangan. Melalui IT dan multimedia, kita dapat membentuk sistem pengurusan yang lebih mantap, tenaga kerja yang berilmu, mahir dan terlatih serta mampu berfikir secara kritikal dan analitikal. Dengan itu, perkhidmatan awam akan dapat menyediakan perkhidmatan yang lebih cekap, tepat dan berkesan kepada pelanggan. 6. Sesungguhnya penggunaan IT dan Multimedia serta pelaksanaan Kerajaan Elektronik dalam pentadbiran kerajaan adalah sebahagian daripada usaha-usaha pembaharuan yang sedang dan akan terus diberi penekanan dalam usaha menyediakan sebuah perkhidmatan awam yang unggul dan cemerlang serta mampu bersaing diperingkat global. Perkhidmatan awam akan terus komited kearah melaksanakan usaha-usaha pembaharuan dalam pentadbiran awam atau 'Reinventing Government' selaras dengan perkembangan dan cabaran-cabaran semasa. Baru-baru ini saya telah mengumumkan tentang cadangan Kerajaan Negeri untuk menubuhkan sebuah Jawatankuasa Pemandu Reinventing Government yang bertanggung jawab secara langsung dalam merancang dan melaksanakan program-program pembaharuan secara berterusan dalam pentadbiran awam negeri. Namun demikian, usaha-usaha pembaharuan ini tidak akan membuahkan hasil jika sekiranya masih terdapat sebilangan daripada kita yang masih enggan menerima perubahan-perubahan kepada cara baru kita berkerja ini. Inilah cabaran sebenar yang dihadapi oleh Perkhidmatan Awam dalam usaha untuk memperbaharui dan mempertingkatkan keberkesanan dan kecekapan Perkhidmatan Awam sebagai persediaan di alaf baru. Dalam hal ini, saya menyeru kepada Datuk/Tuan/Puan selaku ketua jabatan supaya menunjukkan komitmen serta memainkan peranan aktif sebagai penggerak utama kepada perubahan-perubahan ini supaya dapat menjadi contoh kepada pegawai dan kakitangan masing-masing. 7. Secara keseluruhannya, saya merasa bangga kerana sepanjang tahun 1999, anggota perkhidmatan awam telah menunjukkan mutu prestasi dan rasa tanggung jawab yang tinggi walaupun menempuh pelbagai cabaran. Banyak kejayaan yang telah kita capai sepanjang tahun ini terutamanya dari segi peningkatan kualiti perkhidmatan. Pada pertengahan tahun ini, misalnya, beberapa buah agensi telah berjaya mendapat Persijilan Sistem Pengurusan Kualiti Berdaftar MS ISO 9002. Manakala sebahagian besar agensi yang melaksanakan MS ISO 9000 sedang mencapai ke tahap 50% pelaksanaan masing-masing. Saya menyeru Datuk/Tuan/Puan agar melipat gandakan usaha bagi membolehkan kita mencapai sasaran supaya sebanyak 96 agensi termasuk pejabat-pejabat daerah dan pihak berkuasa tempatan dapat mengaplikasikan sistem pengurusan kualiti berdasarkan MS ISO 9000 menjelang pertengahan tahun 2000. Gerakan untuk meningkatkan sistem pengurusan kualiti berdasarkan standard MS ISO 9000 secara menyeluruh dalam perkhdmatan awam adalah merupakan usaha yang tidak putus-putus untuk memenuhi kehendak rakyat yang semakin kompleks dan pelbagai ragam sifatnya. Saya ingin menyatakan disini bahwa Anggota Perkhidmatan Awam adalah komited untuk terus menilai dan memperbaiki sistem, prosidur dan cara berkerja sesuai dengan keperluan kerajaan dan kehendak rakyat. 8. Saya juga merasa gembira melihat tahap kerjasama dan perpaduan dikalangan anggota perkhidmatan awam yang semakin meningkat. Kita semua hendaklah sentiasa ingat bahawa kita hidup dalam sebuah negeri yang berbilang kaum, keturunan dan agama. Oleh itu, sikap berkerjasama dan saling hormat menghormati adalah aspek terpenting yang dapat menjamin keharmonian dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab bersama. Oleh itu, marilah kita memastikan kerjasama dan perpaduan yang padu terus wujud dalam Perkhidmatan Awam. Saya juga merasa amat gembira melihat hubungan diantara Pekhidmatan Awam Persekutuan dengan Negeri yang begitu mantap dan erat sekali. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Setiausaha Persekutuan Sabah dan semua pegawai serta kakitangan Persekutuan di Sabah yang telah memberikan kerjasama dan sokongan kepada Perkhidmatan Awam Negeri. Kerjasama, persefahaman dan rasa persaudaraan ini amat penting untuk membolehkan kita semua menunaikan tanggungjawab dan kewajipan kita dengan lebih sempurna dan berkesan. Dalam hal ini, saya amat mengalu-alukan sebarang cadangan samada berbentuk rasmi atau tidak rasmi untuk meningkatkan lagi hubungan, persefahaman dan kerjasama erat yang sedia ujud tersebut. 9. Tahun 1999 juga menyaksikan kita di sektor awam turut melipatgandakan usaha menangani masalah Y2K Sepertimana yang kita sedia maklum, kedatangan tahun baru 2000 turut membawa bersamanya satu permasalahan yang ada kaitannya dengan teknologi perkomputeran yang dikenali sebagai "Pepijat alaf" ataupun Y2K. Permasalahan ini memang sudah banyak diperkatakan dan mungkin boleh menyebabkan berlakunya huru-hara pada sistem kewangan, perhubungan, pentadbiran, keselamatan dan lain-lain lagi. Sebagai usaha menangani masalah Y2K di sektor awam, Kerajaan Negeri telah pun mengambil langkah-langkah persediaan yang tertentu seperti menubuhkan jawatankuasa Operasi Pelan Kontingensi Y2K Peringkat Negeri, Perbandaran, dan Daerah untuk memandu, melaksana dan memantau masalah Y2K disemua agensi sektor awam negeri. Disamping itu, Kerajaan Negeri juga telah menyediakan peruntukan dan menggantikan beberapa server dan PC di jabatan-jabatan negeri sebagai langkah persediaan menangani masalah ini. Pusat Operasi Pelan Kontingensi Y2K Peringkat Negeri yang dikendalikan oleh pegawai-pegawai kerajaan yang terpilih telah pun mula beroperasi pada 15 Disember lalu sehingga 2 Mac 2000 nanti untuk memantau secara lebih dekat sebarang kejadian yang mungkin timbul berkaitan Y2K. Dalam hal ini, saya menyeru kepada semua pihak samada yang terlibat secara langsung atau tidak supaya sentiasa besiap sedia agar segala permasalah berkaitan Y2K ini dapat diatasi. 10. Sebagaimana yang kita ketahui, Kerajaan Negeri telah berjaya merangka dan membentangkan satu belanjawan yang berorientasikan pertumbuhan serta perkembangan ekonomi. Apa yang terkandung dalam Belanjawan 2000 itu merupakan satu langkah positif kearah mempastikan ekonomi negeri terus pulih serta berada di atas landasan yang kukuh. Walaupun pada hakikatnya Kerajaan mempunyai komitmen yang besar kepada rakyat dan pembangunan negeri, namun kita harus merasa bersyukur kerana Kerajaan telah bersetuju untuk membayar bonus sebulan gaji atau sekurang-kurangnya RM1,000.00 kepada anggota perkhidmatan awam yang layak termasuk RM600.00 yang telah diberikan terdahulu. Selain daripada itu, Kerajaan juga telah bersetuju menaikkan gaji pokok sebanyak 10 peratus mulai 1 Januari 2000. Untuk membantu meringankan kos sara hidup kakitangan kerajaan golongan rendah, kerajaan juga akan meningkatkan kadar imbuhan tetap perumahan mereka sebanyak 50 peratus. Sehubungan dengan ini, bagi pihak seluruh anggota perkhidmatan awam di Sabah saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Negeri atas pengiktirafan dan layaran baik yang sentiasa diberikan kepada anggota perkhidmatan awam. 11. Sebagai menghargai pengiktirafan yang diberikan oleh Kerajaan ini, saya menyeru kepada semua anggota perkhidmatan awam supaya berkerja dengan lebih tekun dan dedikasi serta bertanggung jawab dalam mendokong amanah yang diletakkan diatas bahu kita oleh Kerajaan dan rakyat. Selaku anggota perkhidmatan awam, kita haruslah menunjukkan sifat-sifat yang terpuji dan sentiasa mengamalkan nilai-nilai etika kerja yang positif, bertanggung jawab dan berdisiplin. Kejayaan kita mengemudikan tugas dan tanggung jawab kita dengan sebaik mungkin bukan sahaja akan meningkatkan imej Perkhidmatan Awam tetapi turut menggambarkan imej yang positif kepada Kerajaan Negeri secara keseluruhannya. Kecekapan dan ketelusan kita dalam menjalankan tanggungjawab kita akan dijadikan kayu pengukur oleh pelbagai lapisan rakyat mengenai kecekapan perjalanan jentera kerajaan pada amnya. Begitu jugalah halnya jika kita melakukan perkara-perkara yang negatif, ianya akan turut memberikan gambaran dan imej yang negatif kepada Kerajaan secara keseluruhannya. 12. Oleh itu, saya mengingatkan semua anggota perkhidmatan awam supaya menjauhkan amalan-amalan seperti perbuatan rasuah, pecah amanah, menyalahgunakan maklumat kerajaan atau melibatkan diri dengan gejala tidak sihat seperti dadah atau jenayah. Kita tidak mahu ada anggota perkhidmatan awam yang bersikap tidak jujur, tidak amanah dan tidak boleh dipercayai. Pegawai dan kakitangan yang mengendalikan maklumat dan rahsia-rahsia kerajaan mestilah menyimpan rahsia-rahsia itu dan tidak membocorkannya kepada orang-orang yang tidak bertanggung jawab. Begitu juga halnya dengan amalan rasuah, ianya hendaklah dibenteras sama sekali. Kita hendaklah ingat bahawa amalan rasuah boleh membuat kita tidak berlaku adil dalam melaksanakan tugas dan melebihkan kepentingan peribadi daripada kepentingan organisasi. Jika rasuah dan amalan negatif berleluasa, sudah tentu seluruh budaya perkhidmatan akan menuju kehancuran dan imej Kerajaan juga akan turut tercemar. 13. Kita baru sahaja selesai menjalani proses pilihanraya negeri dan parlimen dalam tahun ini. Kepada semua pegawai dan kakitangan perkhidmatan awam yang bertugas sebagai pegawai dan pekerja dalam kedua-dua pilihanraya tersebut, saya ucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas sikap profesional yang ditunjukkan ketika menjalankan tugas. Selaku kakitangan perkhidmatan awam, kita adalah merupakan jentera pentadbiran kepada kerajaan yang telah dipilih rakyat. Oleh itu adalah menjadi tanggung jawab kita untuk mematuhi segala arahan para pemimpin kerajaan yang memerintah. Kita harus terima, akur dan patuh kepada dasar dan rancangan kerajaan yang dipilih rakyat. Apa yang amat ketara sekali, kedua-dua pilihanraya Negeri dan Parlimen baru-baru ini menyaksikan majoriti terbesar daripada rakyat Malaysia di Sabah memilih Barisan Nasional untuk terus membentuk Kerajaan dan memerintah. Ini merupakan bukti keyakinan rakyat terhadap kewibawaan pimpinan negara untuk terus menerajui negara dalam menempuh cabaran-cabaran di alaf baru. Marilah kita semua memanfaatkan kestabilan politik yang sedia ada untuk menumpukan sepenuh perhatian kearah melaksanakan agenda pembangunan Kerajaan menjelang alaf baru. 14. Baru sahaja beberapa hari lalu, rakyat Malaysia yang beragama kristian menyambut perayaan Hari Krismas yang terakhir di abad 20 ini. Selepas lebih kurang seminggu kita menyambut alaf baru di tahun 2000 nanti, kita akan menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri pula. Ini merupakan Hari Raya Aidilfitri pertama umat Islam berpeluang menyambutnya di alaf baru. Kita semua begitu beruntung kerana berpeluang untuk menyambut perayaan-perayaan yang bersejarah ini. Saya ingin mengambil kesempatan ini menyeru kepada semua anggota perkhidmatan awam supaya mengamalkan budaya kunjung mengunjung untuk mengeratkan lagi hubungan dan tali silaratulrahim. Pertumbuhan ekonomi negara kita yang semakin menggalakkan sudah pasti akan mendorong daya membeli kita menjadi semakin tinggi terutama dimusim-musim perayaan begini. Dalam hal ini, saya juga ingin mengingatkan semua anggota perkhidmatan awam supaya senantiasa berhemah dan berjimat cermat ketika berbelanja demi mengelakkan pembaziran. Sesungguhnya amalan berjimat cermat itu adalah merupakan amalan yang mulia. 15. Akhir kata, sempena tahun baru 2000 ini, saya menyeru kepada semua pegawai dan kakitangan perkhidmatan awam Negeri agar bersama-sama memperbaharui tekad dan azam untuk memberikan perkhidmatan yang lebih berkualiti kepada kerajaan dan rakyat Malaysia di negeri Sabah menjelang alaf baru. Sekian, terima kasih. "Selamat Melangkah Ke alaf Baru dan Tahun Baru 2000" "Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin" Yang Ikhlas, |
![]() |
| (Tan Sri Datu Khalil Datu Hj.
Jamalul, J.P.) Setiausaha Kerajaan Negeri |
| s.k. | Setiausaha Persekutuan Sabah Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah Tingkat 3, Rumah Persekutuan 88592 KOTA KINABALU. |