RUANGAN UNTUK REMAJA

REMAJA DAN BUDAYA INTERNET

Internet adalah sebahagian daripada setitik rahmat, nikmat dan ilmu yang dikurniakan Allah SWT kepada manusia dan juga untuk dimanfaatkan bersama golongan remaja, belia dan muda-mudi. Sama seperti kita memperolehi rahmat dan nikmat berupa akal kesihatan tubuh badan, makan, minum, belajar, bersekolah, bekerja, dibayar gaji dan sebagainya.

Zaman sains dan teknologi, zaman pesatnya kemajuan teknologi maklumat dan sains komputer, akhir-akhir ini telah membentuk satu budaya baru iaitu "budaya internet". Remaja adalah golongan yang cukup sensitif dengan perkara yang baru-baru dan mudah terperangkap dalam lingkungan yang bernilai negatif serta kurang memberi kebaikan dari segi jangka panjang untuk diri, peribadi dan masa depan yang terbaik.

Dari setitik rahmat, nikmat dan ilmu, kemudian menjadi suatu budaya dan amalan yang sangat cepat merebak, dari bandar menuju ke pekan, ke kampung dan akhir sekali menyusup memasuki rumah setiap keluarga. Golongan dewasa seperti ibu bapa, guru, intelek dan ulama serta mereka yang peka terhadap kesan negatif budaya internet cukup merasa bimbang, kerana ia boleh merosakkan diri sahsiah dan masa depan golongan remaja dan muda-mudi, terutama bagi mereka yang tiada kekuatan aqidah, ilmu akal, akhlak mulia, amal soleh dan taqwa.

Budaya  internet yang telah berkembang ekoran majunya sains teknologi dan sains komputer, yang sudahpun kita terima sebagai suatu ilmu yang diperlukan mengikut peredaran zaman. Kehadirannya bukan untuk disekat, tetapi remaja dan muda mudi hendaklah mempunyai kekuatan dan kekebalan peribadi dan dalaman yang berasaskan aqidah iman, ilmu, akal, akhlak mulia, amal soleh, taqwa dan istiqamah. Firman Allah SWT maksudnya:

"Dan sesungguhnya Allah pasti memberi hidayah (petunjuk) kepada orang-prang yang beriman menuju jalan yang lurus."                         (Surah al-Haj, ayat : 54)

Kerana itu golongan remaja harus bijak memanfaatkan ilmu atau maklumat yang disalurkan melalui internet. Malah kita sewajarnya memiliki daya tapis dan seiring antara maklumat yang berguna, baik dan boleh membina nilai-nilai positif demi sebuah kehidupan yang bahagia, sejahtera dan selamat di dunia dan akhirat.

Manakala maklumat yang bersifat negatif dan boleh memberi kesan yang tidak baik kepada diri remaja dan rakan, ketegasan diri dan sikap kita perlu diperkatakan supaya nilai-nilai negatif yang terdapat dalam internet tidak menyubur dalam pemikiran dan pembawaan remaja. Seumpama kita melihat peraturan, hukum atau etika yang dikenakan dalam perkara yang menyangkut kehidupan seharian, seperti kawasan larangan merokok, bagi orang yang mahu dan sensitif dengan peraturan dia tidak akan merokok di kawasan larangan itu, bukan sekadar takut kena denda, tetapi dijiwanya terasuh suatu sikap dan peribadi hormat kepada hukum dan terasa dirinya mempunyai tanggungjawab bersama dalam mendaulatkan peraturan yang bermanfaat kepada diri dan masyarakatnya.

Begitu juga halnya dalam hukum yang telah diputuskan syarak, seperti dilarang atau haram hukumnya berjudi, berzina, minum arak dan sebagainya. Bagi orang yang jiwanya terdidik dengan hukum Islam ini, mereka tidak akan berani melakukannya kerana dosanya amat berani untuk ditanggung di dunia dan di akhirat nanti, apatah lagi kesan buruknya kepada diri, kluarga dan masyarakat juga cukup buruk dan jahat.

Kita boleh  membandingkan di sini dari segi kekebalan dan kekuatan peribadi sendiri dalam usaha untuk mendisiplinkan diri supaya tidak mudah terikat nilai negatif yang disalurkan melalui internet. Tentang nilai positif internet berupa ilmu dan juga maklumat bermanfaat lagi baik, inilah sepatutnya golongan remaja utamakan dan cari. Matlamat dan tujuan kebaikan ini cukup besar fadilatnya, sebagaimana yang pernah disebutkan oleh Rasulullah SAW dalam sabdanya bermaksud:

"Orang yang memberi petunjuk kepada kebaikan sama pahalanya seperti orang yang malakukannya." (H.R. Bukhari)

Ertinya, remaja mesti bijak dan mempunyai pertimbangan iman, ilmu, akhlak mulia, akal budi, amal soleh dan taqwa, seandainya yang kita harap dari budaya internet itu ialah kebaikan dan faedahnya yang terbaik untuk kehidupan dunia dan akhirat. Ruang untuk mencari kebaikan dan berbuat yang terbaik itu bagi golongan remaja sentiasa terbuka luas, seluas bumi yang terhampar, walaupun kita berlawan dengan ruang, iklan dan promosi untuk menjerumus remaja ke arah kejahatan juga cukup hebat, apa lagi melalui internet yang dihasilkan dari ilmu sains komputer itu.

Akhirnya, kemajuan sains dan teknologi, sains komputer dan internet memang diperlukan oleh generasi manusia zaman ini dan begitu juga kepada golongan remaja. Dan Islam sendiri mengharuskan kemajuan sains dan teknologi untuk kebaikan manusia, di atas paksi tauhid dan ibadah kepada Allah SWT.

Islam tidak menghalang sebarang bentuk kemajuan ciptaan manusia, tetapi Islam menekankan aspek tauhid, ibadah dan meletakkan satu asas dan nilai yang bersifat sejagat lagi manusiawi, supaya keselamatan, kesejahteraan dan keamanan hidup manusia dan remajanya benar-benar terjamin sama ada di dunia mahupun di akhirat nanti.

Internet tidak merosakkan manusia dan remajanya, malah manfaatnya juga cukup banyak dari segi penyebaran maklumat, ilmu hubungan dan lain-lain. Dengan syarat manusia yang mengendalikannya, termasuklah tukang cipta sains komputer ini dan para penggunanya, adalah mereka yang memiliki kekebalan dan kekuatan iman, aqidah, ilmu, taqwa, akhlak mulia, amal soleh, cinta kebaikan, benci keburukan dan manusiawi.

 

REMAJA: ANTARA BANDAR DAN DESA

Mana satu menjadi pilihan remaja dan muda mudi antara kehidupan di desa atau di bandar? Mencari jawapannya kita pulangkan persoalan ini kepada peribadi masing-masing, namun menurut beberapa analisa dan congakan bahawa daya tarikan kehidupan dan sosial di bandar daripada di kampung adalah lebih memikat keinginan remaja yang sememangnya berkehendakan sesuatu yang lain dan baru.

Sebab di bandar apa lagi yang berstatus bandaraya, ia adalah lambang kemajuan dari segi bentuk fizikal, kemudahan yang serba-serbinya, bangunan mencakar langit, hatta hal-hal berkaitan tentang manusia turut berubah sama ada gaya hidup, akhlak, moral, budaya dan minda mereka. DI kampung ada apa, mungkin cuma dikelilingi kebun, hutan dan sawah, maju sikit mungkin adalah lampu letrik, peti televisyen, komputer dan telefon yang masuk ke dalam rumah orang-orang di kampung. Itulah gambaran setengah orang bagi membezakan tentang kelebihan kehidupan antara kampung dengan di bandaraya.

Jadi pemikiran remaja yang disogok dengan nilai-nilai kebendaan, kemewahan, hiburan dan gaya hidup moden yang bercitarasakan dunia barat sahaja, tidak akan mampu berfikir berdasarkan nilai-nilai keimanan, taqwa dan kebaikan yang bercitrakan syariat al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w kerana dalam al-Quran mengiklankan hal-hal iman, taqwa dan keberkatan hidup manusia sama ada kita orang kampung atau orang bandar, ini di sebut dalam al-Quran, firman Allah SWT maksudnya:-

"Kalau sekiranya penduduk negeri itu beriman dan bertaqwa, nescaya Kami (Allah) tumpahkan (bukannya) kepada  mereka keberkatan dari langit dan bumi, tetapi mereka itu mendustakan, sebab itu Kami siksa mereka dengan sebab apa yang mereka usahakan (lakukan)"            (surah" al-Araafat ayat: 96)

Kemajuan dan pembangunan dari sudut duniawi, seperti kemewahan hidup ekonomi yang melonjak dan pelbagai lagi kemudahan sekalipun cukup, malah melimpah-limpah, bukanlah segala-galanya bagi kehidupan manusia, andainya dalam masa yang sama nilai iman, taqwa, pahala dan keberkatan jauh dari hati, jiwa dan akal manusia. Tentu lebih nikmat, indah dan menceriakan bagi remaja hiidup serba kekurangan di kampung dari segi kebendaan yang melalaikan kita, tetapi terpalit atau terlekat di situ, erti nilai iman, taqwa, kebaikan dan kerberkatan yang diturunkan Allah AWT dari langit dan bumi.

Berbanding sebuah kehidupan yang cukup mewah, seronok, menghiburkan dan bagaikan syurga palsu dunia yang disediakan di bandar, tetapi penuh noda, dosa dan petaka yang memusnahkan nilai kemanusiaan, menjauhkan kita dari sinaran erti iman, taqwa, pahala dan keberkatan dan akhirnya nilai tinggi manusia yang cukup tertinggi statusnya diciptakan Allah SWT itu, runtuh menjadi rendah serendah-rendahnya kehinaan manusia yang melakukan perbuatan yang menjerumuskan dirinya ke dalam kehinaan itu.

Sebenarnya kehidupan di desa maupun di bandar kepada remaja dan muda-mudi yang mempunyai prinsip hidup ada nilainya  yang tersendiri, sebab kehidupan ini di manapun kita selagi matlamat hidup sebagai manusia untuk mengabdi diri kepada Allah SWT itu merupakan perkara asas yang berpaksi kepada tauhid, yakni mengesakan Allah SWT. Kemajuan di bandar bukanlah terjadi dengan sendirinya, tetapi adalah bergantung juga dengan kombinasi tenaga antara mereka yang tinggal di bandar dan juga orang di kampung untuk menggerakkan erti pembangunan sebenar.

Kaum Saba' yang diceritakan dalam al-Quran adalah satu teladan kehidupan bagi  remaja, betapa manusia yang menyakini kekuasaan Allah SWT dan sentiasa bersyukur kepada-Nya telah di beri Allah SWT sebuah negeri (kampung) tempat tinggal terbaik firman-Nya yang bermaksud:-

"Sesungguhnya bagi (penduduk) Saba' di negeri ,mereka ada satu ayat (tanda kekuasaan Allah), iaitu dua bidang kebun, di sebelah kanan dan di sebelah kiri (dikatakan kepada mereka): Makanlah rezeki Tuhanmu dan bersyukurlah kepada-Nya. (Inilah) negeri yang baik dan Tuhan yang Maha Pengampun."    (surah al-Saba; ayat: 15)

Oleh itu, kepada remaja sekalian, memilih kehidupan sama ada di desa atau di bandar, keseronokan, hiburan dan kemewahan bukanlah ukuran tepat yang boleh menjadi asas mendorong akal, hati dan jiwa kita. Tetapi jadikanlah tarikan keimanan, taqwa, kebaikan dan keberkatan itu yang lebih dominan menunjuki hala tuju kehidupan harian kita. Antara di kampung atau bandar tidak terpisah dalam banyak perkara, hubungan dan jalinan budaya, sosial, perniagaan, pendidikan dan sebagainya pasti memberi manfaat kepada remaja dari banyak aspek ke arah mematangkan akal budi, ilmu, sikap, intelek, budaya, sosial dan moral.

Akhirnya, kehidupan di manapun kita menetap, golongan remaja ambillah nilai-nilai yang bermanfaat, berpahala dan yang boleh menyubur-hidupkan keimanan, ketaqwaan dan keberkatan. Rasulullah saw pernah bersabda maksudnya"

"Bertaqwalah kepada Allah dimanapun kamu berada."        (H.R at-Tarmizi)

Dan rangsanglah dan anjakkanlah daya fikir kita untuk menjana sebuah kehidupan baik di kampung atau di bandar yang mengalir di dalamnya nilai-nilai iman, taqwa, ilmu dan akhlak mulia yang akan menghasilkan kehidupan yang dirahmati dan diberkati-Nya.


AL- ZAHRAWI

Dikenali di Eropah dengan nama Abul cassis, adalah tokoh bedah yang handal lagi masyhur. Nama penuhnya Abu Qassim Khalaf Ibnu Abbas Al-Zahrawi,. Beliau dilahirkan di bandar di Raja Al-Zahran pada tahun 936 M. Pendidikan yang diperolehi beliau di Bandar Cordova, sebuah Pusat Perniagaan dan pendidikan di Bahagian Sepanyol Islam. Bandar Zahran dan Cordova adalah berhampiran.

Al-Zahrawi mengamalkan profesionnya di bandar Al-Zahrah sebagai seorang pengamal perubatan, pakar bedah dan Pharmacist.

Sumbangan beliau terhadap bidang perubatan dapat difahami dari bukunya Al-Tasrif Liman Ajiza Al-Talif, disebut secara ringkas Al-tasrif sahaja. Al-tasrif mengandung 30 bahagian, meliputi tajuk-tajuk yang luas dan menyentuh pelbagai bidang perubatan.

Sebahagian ataupun keseluruhan Kitab Al-Tasrif telah diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa terutama sekali bahasa Latin, Perancis, Sepanyol dan Hebrew dan diterbitkan di Venico (1497), Strassburg (1532) dan Oxford (1778). Ketokohan Al-Zahrawi diakui di Sepanyol, Afrika Utara, Kerajaan Islam Timur dan juga Eropah Barat.