UCAPAN BAJET TAHUN 2004
OLEH YANG AMAT BERHORMAT DATUK MUSA HAJI AMAN
KETUA MENTERI SABAH DAN MENTERI KEWANGAN
DI PERSIDANGAN DEWAN UNDANGAN NEGERI
PADA 17 OKTOBER 2003

Tuan Speaker,

1. Alhamdullillah, saya bersyukur kepada Allah S.W.T. dan dengan izinNya jua sekali lagi saya berpeluang membentangkan Bajet Negeri bagi tahun 2004, di Dewan yang mulia ini.

PENDAHULUAN

2. Bajet 2004 bukan sahaja telah mengambilkira Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kelapan tetapi juga diselaraskan dengan Halatuju Pembangunan dan Kemajuan Negeri Sabah (Halatuju) yang saya perkenalkan pada awal suku tahun ini. Halatuju ini memberi tumpuan utama kepada agenda pembangunan dan kemajuan negeri yang menyeluruh. Dari segi kemajuan ekonomi sektor-sektor produktif dan strategik, iaitu, pertanian, pelancongan dan perusahaan akan diberi perhatian. Kerajaan Barisan Nasional, yang memegang amanah rakyat, amat prihatin tentang tanggungjawabnya untuk membawa Negeri Sabah dan rakyatnya bergerak maju ke hadapan seiring dengan Agenda Nasional. Selaras dengan hasrat murni ini marilah kita bersama-sama mendukung slogan "Meraih Kejayaan Membina Masa Depan" yang diketengahkan oleh YAB Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad, semasa beliau membentangkan Bajet Negara 2004, pada 12 September 2003.

KEMAJUAN DAN CABARAN

3. Kita di Sabah bernasib baik kerana menikmati rahmat kebijaksanaan pimpinan Pusat yang menerajui negara. Mereka telah mengorak dasar dan strategi yang pragmatik, bukan sahaja untuk menjamin kestabilan ekonomi dan politik secara berpanjangan, tetapi juga membawa kesejahteraan dan kualiti hidup kepada semua lapisan rakyat. Dalam persekitaran luaran yang adverse dan perkembangan sektor swasta yang lembab, khususnya pada tahun 2001 dan 2002, ekonomi Sabah terus merekodkan pertumbuhan pada kadar 3.9 peratus dengan kadar inflasi 1.0 peratus berbanding dengan 1.8 peratus purata inflasi di peringkat nasional. Walaupun mengikut Indeks Komposit Pembangunan 2000, Negeri Sabah masih berada dalam kelompok negeri-negeri di Malaysia yang kurang maju, namun negeri ini mencatatkan kemajuan besar dalam beberapa indikator. Misalnya, kadar pembangunan sosial, kadar perbandaran (urbanisation rate), liputan bekalan air dan elektrik luar bandar serta perkhidmatan doktor; semuanya telah meningkat sejak satu dekad yang lalu. Pada keseluruhannya indeks ini telah meningkat daripada 86.8 peratus (1990) kepada 113.8 peratus (2000).

4. Dalam tempoh 5 tahun ke belakang, mulai tahun 1998, rakyat negeri ini telah menikmati pertambahan pelbagai kemudahan dengan bantuan Kerajaan Pusat. Sebagai contoh, dalam bidang pendidikan, bangunan sekolah telah bertambah dari 1,148 buah kepada 1,238 (hingga Ogos 2003), iaitu, pertambahan sebanyak 90 buah di serata negeri. Kini, Sabah mempunyai 15 buah kolej berbanding sebuah sahaja pada tahun 1998 di samping dua universiti awam. Dengan perkembangan ini sudah pasti taraf pendidikan yang dinikmati oleh rakyat adalah setanding dengan negeri-negeri yang lebih maju. Dalam aspek kesihatan, nisbah doktor kepada 1,000 pesakit dan nisbah bilangan pesakit kepada bilangan katil telah menurun, masing-masing 17 peratus, daripada 4,005 pesakit, dan 19 peratus, daripada 1,003 bilangan katil. Klinik gigi juga telah bertambah sebanyak 9 buah daripada 73 klinik. Dalam penyediaan rumah awam kos rendah, sebanyak 5,455 unit telah disiapkan menerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB), dan seramai 5,455 keluarga berpendapatan rendah telah berjaya memiliki rumah mereka sendiri.

5. Pencapaian ini mendorong kita untuk berusaha dengan lebih gigih lagi di samping rakyat memberi kerjasama yang erat serta sokongan padu kepada pelaksanaan program pembangunan yang dianjurkan oleh Kerajaan mahupun sektor swasta. Sebagaimana yang disarankan oleh YAB Perdana Menteri, kita masih memerlukan perubahan minda untuk memantapkan sikap dan nilai yang positif, seperti yakin terhadap kebolehan kita, melahirkan idea yang inovatif serta mempunyai daya saing dan daya tahan. Dalam menyahut seruan ini langkah strategik bertujuan melahirkan sumber tenaga manusia yang memiliki pengetahuan, kemahiran dan kreativiti serta nilai dan sikap yang positif akan diberi tumpuan menerusi pendedahan dan latihan bersesuaian dengan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Keupayaan serta kesanggupan kita untuk menguasai ilmu pengetahuan dan kemahiran memanfaatkan teknologi baru amat bergantung kepada kualiti insan. Pengukuhan asas ini akan menjayakan usaha kita membangun dan memajukan K-ekonomi dalam menyahut cabaran era globalisasi dan teknologi maklumat dan komunikasi. Kita akan berdiri teguh bersama-sama pimpinan pusat untuk memastikan kita boleh menyempurnakan seruan YAB Perdana Menteri agar "kita perlu mempertingkatkan sovereign competitive edge kita supaya kita mampu bersaing dengan global players di pasaran antarabangsa. Ini hanya akan dapat dicapai dengan meningkatkan produktiviti, mengurangkan kos perniagaan, memperolehi teknologi serta lebih berinovatif".

Tuan Speaker,

6. Lazimnya, kemajuan sesebuah negeri itu dilihat dari sudut kejayaan pembangunan fizikal seperti penyediaan kemudahan-kemudahan infrastruktur dan bangunan-bangunan. Namun, kualiti hidup rakyat, sama ada di bandar mahupun di desa, dan penyediaan infrastruktur sosial merupakan dimensi yang lebih asasi. Oleh itu, saya akan memastikan agar kemajuan fizikal dan peningkatan kualiti hidup rakyat diberi perhatian secara seimbang. Aspek-aspek seperti pewujudan peluang-peluang pekerjaan, mengurangkan kadar kemiskinan, pemuliharaan serta perlindungan alam sekitar akan diutamakan. Sektor swasta akan diberi galakan untuk menjadi jentera penggerak kepada pembangunan ekonomi negeri sejajar dengan dasar pusat. Saya yakin dengan usaha-usaha penyelarasan pelaksanaan program-program pembangunan Persekutuan, yang sedang berkembang pesat di negeri ini, dan program-program di bawah tanggungjawab Kerajaan Negeri, termasuk rancangan penswastaan kemudahan-kemudahan asas seperti bekalan air dan pelabuhan-pelabuhan, matlamat kita bersama akan tercapai. Insya Allah.

MATLAMAT PENSWASTAAN

7. Hasil daripada langkah-langkah redressal ke atas beberapa projek penswastaan dua tahun lalu, perbelanjaan wang awam ke atas penswastaan kenderaan dan perkhidmatan juruperunding air berjaya dikurangkan secara berkesan. Namun, pengurusan dan perkhidmatan bekalan air yang membebankan Kerajaan sekitar RM300.0 juta setahun akan diselesaikan melalui penswastaan secara total.

8. Kini, kerajaan sedang memberi perhatian yang serius untuk memastikan agar program penswastaan benar-benar membawa manfaat kepada rakyat dan kerajaan. Dalam konteks menyahut matlamat ini penswastaan Pelabuhan-Pelabuhan Sabah melalui Suria Capital Holdings akan menjadi contoh perintis yang baik. Penswastaan LPPS akan meningkatkan kualiti pengurusan serta mempercepatkan lagi pembangunan pelabuhan serta perkhidmatan yang moden. Di samping itu, perkembangan perkhidmatan ini juga akan membantu mewujudkan peluang pekerjaan, perniagaan dan sektor pengangkutan. Alhamdullilah, eksesais penswastaan pelabuhan ini berada di peringkat terakhir, iaitu sedang menunggu kelulusan Securities Commission.

9. Beberapa agensi yang menjadi sasaran pelaburan kerajaan juga menunjukkan prestasi pulangan pelaburan yang membanggakan. Di antara agensi-agensi yang dimaksudkan ialah Sabah Energy Corporation, Warisan Harta Sdn. Bhd., Sabah Development Bank, Sabah Credit Corporation (SCC), Progressive Insurance Sdn. Bhd., Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah (LPPS), Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB), Kumpulan SEDCO, Kota Kinabalu Industrial Park Sdn. Bhd. (KKIP), Sawit Kinabalu Sdn. Bhd., dan Sabah Land Development Board (SLDB). Kejayaan agensi-agensi ini juga membantu ke arah pembangunan dan kemajuan sosioekonomi.

10. Ternyata juga wujudnya agensi-agensi yang secara aktif menyumbang kepada perkembangan sektor perkhidmatan. Sebagai contoh, Lembaga Pelancongan Sabah berjaya menarik lebih ramai pelancong ke Sabah hingga sub-sektor pengangkutan, runcit, perhotelan dan restoran menyumbang sekitar 21 peratus daripada 50.9 peratus sumbangan sektor perkhidmatan kepada KDNK negeri pada tahun 2001. Pencapaian ini adalah lebih tinggi berbanding dengan pencapaian peringkat nasional bagi tahun yang sama.

Tuan Speaker,

11. Dalam usaha merangsang pertumbuhan ekonomi negeri secara mapan, aspek penyertaan Bumiputera perlu diambilkira. Badan kawal selia yang sedia ada akan diperkukuhkan lagi untuk mengawasi penyertaan dan kemajuan Bumiputera seiring dengan dasar Kerajaan Pusat.

Tuan Speaker,

12. Penglibatan sektor swasta di Sabah dalam menerajui pertumbuhan ekonomi, selain daripada sektor pertanian dan perkhidmatan, masih lembab. Oleh itu, peralihan dasar pertumbuhan yang memberi tumpuan kepada 'domestic-led growth' seperti diumumkan dalam Bajet Negara 2004 perlu diberi perhatian yang serius, khususnya oleh sektor perusahaan. Pelabur tempatan hendaklah memanfaatkan pelbagai peluang, skim serta insentif-insentif yang disediakan ke atas pelaburan dalam sektor perusahaan. Usaha ke arah memperluaskan aktiviti hiliran, khususnya yang berasaskan sumber-sumber tempatan, hendaklah diberi keutamaan. Dalam konteks ini sektor kelapa sawit boleh menjadi sasaran utama. Perkembangan ini akan menjana pelbagai produk nilai tambah yang sesuai untuk pasaran eksport.

13. Oleh yang demikian, strategi-strategi Bajet 2004 adalah seperti berikut:

  1. Meningkatkan pelaburan dalam sektor-sektor produktif yang berpotensi menjana pertumbuhan menerusi penyediaan dan pemantapan infrastruktur asas dan infostruktur dengan penglibatan pihak swasta;

  2. Meneruskan langkah redressal dan mengambil langkah konsolidasi ke atas penggunaan sumber kewangan ke arah mencapai matlamat bajet berimbang dalam jangka waktu tiga hingga lima tahun;

  3. Meningkatkan pembangunan sumber manusia yang berdaya saing dan inovatif;

  4. Memantapkan dan mempertingkatkan keberkesanan dan kecekapan sistem penyampaian agar lebih telus dan mesra serta menghala kepada kewujudan 'one stop centre'; dan

  5. Meningkatkan keharmonian serta tahap kualiti hidup dan kesejahteraan khususnya rakyat di luar bandar.

PRESTASI DAN PROSPEK EKONOMI GLOBAL

Tuan Speaker,

14. Ekonomi dunia telah mencatatkan kadar pertumbuhan sebanyak 3.0 peratus dalam tahun 2002. Namun, pada awal tahun 2003 momentum ini terganggu oleh beberapa faktor ketidaktentuan, antaranya kesan peperangan di Iraq dan wabak SARS.

15. Keadaan geopolitik semakin baik pada suku tahun kedua 2003. Persekitaran ekonomi yang dijangkakan lebih cerah telah meningkatkan kembali keyakinan para peniaga dan pengguna. Oleh itu, pada tahun 2003 ekonomi dunia diramal akan berkembang pada 3.2 peratus dan terus kukuh pada 4.1 peratus dalam tahun 2004.

PRESTASI DAN PROSPEK EKONOMI NEGARA

Tuan Speaker,

16. Ekonomi Malaysia terus kukuh dan berdaya tahan walaupun menghadapi faktor-faktor luaran yang tidak dijangka pada tahun 2003. Impak perang Iraq dan wabak SARS ke atas ekonomi tidak begitu teruk seperti mana yang dikhuatiri. Ekonomi negara diunjurkan bertumbuh pada kadar 4.5 peratus pada tahun 2003 dan antara 5.5 - 6.0 peratus pada tahun hadapan. Pertumbuhan ini dijangka akan terus diterajui oleh sektor pembuatan, yang lebih pelbagai. Sektor domestik juga dijangka akan berkembang dengan adanya beberapa insentif yang diberi kepada industri kecil dan sederhana dalam Bajet Negara 2004. Selain itu, eksport daripada sektor domestik juga dijangka akan meningkat pada tahun hadapan berikutan senario ekonomi global yang lebih cerah.

17. Sektor swasta akan terus menjadi enjin pertumbuhan untuk ekonomi Malaysia. Pelaburan swasta dijangka akan berkembang pesat pada kadar 9.9 peratus, manakala perbelanjaan sektor ini pula akan bertambah kukuh pada kadar 7.5 peratus. Dengan galakan daripada kerajaan, ini akan membuat sektor swasta lebih kompetitif, dinamik dan responsif terhadap perubahan persekitaran dan cabaran global semasa. Sektor swasta juga terus digalakkan untuk mewujudkan sumber-sumber pertumbuhan baru bagi mengekalkan momentum perkembangan ekonomi negara.

18. Sektor perkhidmatan dengan sumbangannya sekitar 56.8 peratus akan terus kekal menjadi penyumbang terbesar kepada KDNK negara. Industri pelancongan khususnya akan terus berkembang dengan adanya pelbagai aktiviti promosi yang agresif. Ketibaan pelancong mencatat rekod yang tinggi pada tahap 13.3 juta tahun lepas. Sektor kecil penjagaan kesihatan dan pendidikan telah menunjukkan peningkatan bilangan warga asing yang mendapatkan rawatan kesihatan dan pendidikan di negara ini.

19. Sektor pembuatan selaku penyumbang kedua terbesar kepada KDNK negara menunjukkan peningkatan dalam eksport produk elektrik dan elektronik; kimia dan produk kimia; dan tekstil dan aksesori pada tempoh enam bulan pertama tahun ini.

20. Bagi sektor pertanian, penekanan akan diberikan kepada usaha-usaha untuk meneroka aktiviti baru. Antara aktiviti yang dimaksudkan ialah memperhebatkan usaha untuk meraih peluang dalam pasaran makanan halal dan hasil keluaran akuakultur.

21. Pencapaian sektor luar negara adalah membanggakan. Pertumbuhan pada kadar 6.9 peratus dalam tempoh enam bulan pertama tahun 2003 adalah disebabkan oleh pengukuhan eksport komoditi dan perdagangan yang tinggi antara wilayah. Eksport barang-barang pembuatan, yang merupakan 82 peratus daripada jumlah eksport telah meningkat sebanyak 1.4 peratus berbanding dengan 0.6 peratus dalam tempoh yang sama tahun lalu. Pendapatan daripada komoditi utama pula menunjukkan pertumbuhan yang kukuh pada tahap 44 peratus, ekoran permintaan luar dan harga komoditi yang tinggi.

22. Kadar inflasi kekal pada tahap 1.1 peratus dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini. Kenaikan harga-harga umum yang minimum adalah disebabkan kenaikan kos pengangkutan dan perhubungan. Tekanan deflasi yang lemah di beberapa negara ekonomi utama dijangka dapat mengawal inflasi domestik tahun ini. Walau bagaimanapun, indeks harga pengeluar meningkat sebanyak 7 peratus tahun ini ekoran kenaikan harga minyak mentah.

23. Peluang pekerjaan juga dijangkakan akan bertambah baik dengan wujudnya indikator-indikator ekonomi yang positif. Oleh yang demikian, pertumbuhan tenaga kerja pada tahun ini dijangka akan terus kekal pada tahap 3.1 peratus seperti tahun sebelumnya.

PRESTASI DAN PROSPEK EKONOMI NEGERI

Tuan Speaker,

24. Ekonomi negeri dijangka bertambah baik pada tahun ini dan terus mencatat pertumbuhan yang positif walaupun keadaan ekonomi dunia menghadapi pergolakkan. KDNK negeri dijangka akan bertumbuh pada kadar 4.5 - 5.0 peratus tahun ini dan 5.0-5.5 peratus pada tahun 2004. Unjuran positif dan memberangsangkan ini mengambilkira perkembangan yang baik dan positif dalam senario ekonomi wilayah dan nasional, kestabilan geopolitik global, kenaikan belanjawan fiskal (sebanyak RM5.9 bilion telah diperuntukkan oleh Kerajaan Persekutuan kepada Sabah) termasuk penyediaan pelbagai insentif, pengukuhan pelaburan domestik dan kewangan Kerajaan, jangkaan positif bagi harga-harga komoditi utama dan pengurusan ekonomi makro yang pragmatik dan pro-pertumbuhan.

25. Prestasi perdagangan luar Sabah dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini amat membanggakan dengan lebihan dagangan mencapai RM 2.57 bilion. Jumlah ini melibatkan peningkatan sebanyak 84.3 peratus berbanding tempoh yang sama tahun 2002, iaitu, eksport dan import meningkat, masing-masing kepada 26.7 peratus (RM 8.79 bilion) dan 12.1 peratus (RM 6.22 bilion) yang mencerminkan perdagangan yang sihat.

Tuan Speaker,

26. Sektor pertanian kekal sebagai penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi negeri dengan komoditi kelapa sawit sebagai penyumbang terbesar. Pada tahun 2002, pengeluaran minyak sawit mentah di Sabah telah mencapai 4.2 juta tan metrik. Untuk tempoh enam bulan pertama tahun 2003 sahaja pengeluaran komoditi tersebut mencapai 2.4 juta tan metrik. Setakat bulan Jun 2003, eksport minyak sawit telah menjana pendapatan berjumlah RM 3.15 bilion, di mana jumlah ini adalah 37.5 peratus lebih tinggi berbanding pendapatan eksport tahun 2002. Eksport minyak sawit sahaja telah menyumbang sekitar 35.8 peratus daripada jumlah keseluruhan pendapatan eksport negeri ini. Komoditi eksport yang lain seperti biji koko dan getah juga telah mencatat pertumbuhan yang menggalakkan, masing-masing pada tahap 31.3 peratus dan 89.0 peratus dari segi pendapatan eksport dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini disebabkan harga-harga komoditi tersebut berada pada paras yang tinggi.

27. Sebagai sektor yang menjadi penyumbang utama kepada ekonomi negeri, sektor pertanian akan terus diberikan tumpuan sejajar dengan Halatuju negeri. Oleh itu, usaha intensif telah juga dilaksanakan untuk mempertingkatkan pengeluaran bahan makanan, ke arah menjadikan Sabah sebagai Pusat Pengeluaran Bahan Makanan negara di samping mengurangkan bil import makanan negeri. Kerajaan Negeri telahpun mengenal pasti tanah pertanian, seluas 1,005 hektar, yang sesuai untuk dijadikan zon Pengeluaran Bahan Makanan Kekal. Usaha ini juga merupakan pelengkap kepada Dasar Pertanian Negara Ketiga untuk menjadikan Sabah sebagai pusat makanan halal di rantau ini pada masa hadapan. Menyedari akan kekayaan biodiversiti negeri ini, usaha-usaha akan dijalankan untuk meneroka potensinya bagi membangunkan industri bioteknologi, ubat-ubatan tradisional dan herba. Majlis Biodiversiti Negeri telah ditubuhkan untuk tujuan ini, sementara Sabah Agro-Industrial Precinct (SAIP) telah dilancarkan awal tahun.

28. Sektor pelancongan merupakan sektor ekonomi yang pesat membangun, di samping mempunyai daya tahan. Kebanyakan negara di rantau ini mengalami kesan teruk akibat SARS dan pengeboman di Bali, namun keadaannya di Sabah agak berbeza. Dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, jumlah ketibaan pelancong asing ke negeri ini mencatatkan pertumbuhan sebanyak 24.6 peratus; seramai 237,830 berbanding 190,983 pelancong asing tiba pada tempoh yang sama tahun 2002. Tren ini mencerminkan potensi yang besar dalam sektor pelancongan di negeri ini, khususnya apabila aksesibiliti ke negeri ini dipertingkatkan. Kerajaan Negeri berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan dan Malaysia Airlines Berhad kerana membantu dan mengusahakan lebih banyak penerbangan terus ke destinasi-destinasi seperti Sydney, Balikpapan, Menado, beberapa negeri terpilih di China, Korea Selatan dan Jepun. Sektor pelancongan di negeri ini boleh dipertingkatkan lagi dengan mewujudkan lebih banyak produk pelancongan baru, menaiktaraf produk dan kemudahan yang sedia ada, menentukan alam sekitar yang bersih, memberi perkhidmatan berkualiti dan professional di hotel dan restoran, pengangkutan dan juga peluasan penyebaran maklumat. Faktor penting yang dapat memastikan sektor pelancongan terus berkembang pesat adalah suasana dan tahap keselamatan dalam negeri yang baik dan terkawal. Keadaan ini akan memberi keyakinan kepada kehadiran para pelancong, terutamanya pelancong asing. Insiden jenayah yang berlaku di sebuah destinasi pelancongan di Lahad Datu baru-baru ini adalah kes terpencil. Walau bagaimanapun, kita memandang serius terhadap insiden ini dan sekali lagi ditegaskan bahawa Kerajaan sentiasa mengambil langkah serta tindakan bagi meningkatkan keberkesanan dan keupayaan kawalan keselamatan terutamanya di kawasan perairan pantai timur Sabah.

29. Kerajaan Negeri dan Persekutuan akan terus memberi galakan terhadap penyertaan aktif dan inisiatif sektor swasta mahupun agensi Kerajaan kerana telah berjaya membangunkan produk pelancongan dan destinasi yang baru seperti Klias Peninsular River Cruise; Dinawan Island Resort; Pulau Tiga Resort; Tabin Wildlife; Langkayan Island Resort dan Sandakan English Tea House. Usaha mempromosi secara agresif oleh semua pihak yang diterajui Lembaga Pelancongan Sabah dan Lembaga Pelancongan Malaysia telah membolehkan lebih banyak acara wilayah dan antarabangsa diadakan di Sabah pada tahun 2003 dan ini sewajarnya mendapat pujian. Sikap proaktif sektor swasta dalam sektor pelancongan di negeri ini nampak lebih jelas lagi dengan adanya kelulusan sebanyak RM 70.7 juta kepada lapan orang pengusaha daripada Sabah dari Dana Pelancongan Khas dan Dana Infrastruktur Pelancongan yang disediakan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi yang diumumkan pada bulan Mei tahun ini.

Tuan Speaker,

30. Perkembangan sektor pembuatan masih memerlukan sokongan daripada sektor awam dan juga swasta. Eksport pembuatan yang terdiri daripada produk berasaskan kayu mencatatkan jumlah yang rendah kecuali papan lapis untuk tempoh enam bulan pertama tahun ini. Untuk tempoh yang sama, eksport barangan pembuatan berskala kecil yang lain termasuk metanol dan hot briquetted iron mencatatkan pertumbuhan positif dalam kuantiti eksport, masing-masing sebanyak 34.1 peratus (281,595 tan metrik) dan 18.5 peratus (432,307 tan metrik) disebabkan oleh tren pergerakan ke atas harga-harga barangan tersebut.

31. Sebagai negeri pengeluar minyak sawit yang utama, Kerajaan akan melipatgandakan usaha untuk meningkatkan aktiviti hiliran pemprosesan minyak kelapa sawit khususnya dalam bidang 'oleo-chemical' dan 'bio-mass' seperti yang ditekankan dalam Pelan Tindakan Perindustrian Negeri. Kelompok Industri Kelapa Sawit (POIC) di Sandakan, Tawau dan Lahad Datu akan dibangunkan untuk mewujudkan sinergi berkelompok industri minyak sawit di negeri ini. Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP) pula akan terus dipromosikan secara agresif. Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan akan bekerjasama dalam memberi fokus untuk mengurangkan atau mengatasi halangan-halangan yang selama ini telah membantutkan pertumbuhan industri di negeri ini. Insentif-insentif tanah perindustrian di KKIP; penswastaan perkhidmatan Pelabuhan-Pelabuhan Sabah; pemberian perkhidmatan industri membantu pemohon-pemohon; dan insentif khas oleh Kerajaan Persekutuan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi dan Bajet 2004 adalah antara lain langkah-langkah yang diambil sebagai tarikan pelaburan. Sementara itu, sektor swasta hendaklah bersikap proaktif dan mengambil kesempatan ke atas segala peluang dan insentif-insentif yang disediakan. Di antara insentif-insentif ini, termasuklah peningkatan pengecualian cukai daripada 85 peratus kepada 100 peratus untuk syarikat-syarikat di Sabah, Sarawak dan koridor Pantai Timur di Semenanjung Malaysia. Insentif ini diberikan bersama dengan Status Perintis dan insentif-insentif elaun cukai. Selain itu, insentif khas juga akan diberikan kepada syarikat-syarikat yang mengeluarkan produk-produk berasaskan 'bio-mass' kelapa sawit.

Tuan Speaker,

32. Negeri Sabah adalah antara negeri pengeluar minyak mentah petroleum dan gas asli pada kuantiti yang besar. Oleh itu, Kerajaan Negeri bercadang agar pihak Petronas membangunkan industri penapisan minyak, petrokimia dan loji LNG di Sabah.

Tuan Speaker,

33. Seperti tahun-tahun lepas, pelaburan daripada pihak swasta di negeri ini tertumpu kepada sektor hartanah. Pinjaman daripada bank komersial kepada sektor hartanah sahaja mencapai 30.5 peratus atau RM 3.7 bilion daripada jumlah pinjaman yang dikeluarkan setakat penghujung bulan Mac 2003. Pinjaman kepada sektor ini bertumbuh pada tahap 12 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu. Jumlah pinjaman yang diberikan kepada sektor pembuatan; sektor perdagangan, borong dan runcit, restoran dan hotel; serta sektor pertanian, masing-masing sekitar 14 peratus, 13 peratus, dan 11 peratus daripada jumlah pinjaman. Walau bagaimanapun, pelaburan baru dalam sektor pembuatan daripada pihak swasta terus lembab dalam suku pertama tahun ini dengan hanya 6 projek baru dan 2 projek pembesaran yang telah diluluskan oleh MIDA dengan jumlah pelaburan sekitar RM84.4 juta. Dengan insentif yang diberikan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi pada tahun ini dan Bajet Negara 2004, sektor pembuatan terutama industri kecil dan sederhana dijangka akan berkembang. Setakat 31 Ogos 2003, seramai 10,314 pemohon daripada semua daerah dalam negeri ini telah mendapat manfaat daripada Skim Kredit Mikro yang telah diumumkan di bawah Pakej Rangsangan pada bulan Mei tahun ini. Jumlah permohonan yang diluluskan di bawah skim tersebut dalam tempoh tiga bulan sejak bulan Mei tahun ini ialah RM 24.6 juta.

Tuan Speaker,

34. Langkah-langkah fiskal yang telah diperkenalkan oleh Kerajaan Persekutuan untuk merangsang ekonomi telah meningkatkan perbelanjaan awam di negeri ini. Ini termasuk perbelanjaan untuk pembinaan rumah kos rendah, sekolah, makmal komputer, pusat latihan kemahiran, jalanraya dan bekalan air serta elektrik di kawasan luar bandar. Daripada sumber kewangan Negeri, perbelanjaan pembangunan digunakan untuk membaiki sistem pembentungan, kemudahan jalanraya kepada kawasan produktif, pengambilan tanah untuk pembangunan, pemetaan dan pengkomputeran untuk mempercepatkan pemprosesan permohonan tanah, tebatan banjir, pengeluaran benih untuk sektor pertanian, meningkatkan pengeluaran bahan makanan di pelbagai daerah, memperkukuhkan sektor ternakan dan perikanan serta membangunkan lebih banyak produk-produk pelancongan.

Tuan Speaker,

35. Dengan kedudukan ekonomi yang bertambah baik, keyakinan pengguna sedang meningkat seperti yang digambarkan oleh peningkatan bilangan kereta, van dan kereta pacuan empat roda yang diimport untuk tempoh enam bulan pertama tahun 2003. Kadar import kereta naik sebanyak 5.4 peratus (dengan jumlah bilangan 7,706 unit), manakala import van dan kereta pacuan empat roda meningkat, masing-masing sebanyak 15 peratus (795 unit) dan 11 peratus (656 unit). Peningkatan penggunaan persendirian juga telah meningkat melalui penggunaan kad kredit di mana perbelanjaan telah meningkat sebanyak 20 peratus hingga mencapai RM 172.7 juta dalam tempoh suku pertama tahun ini berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Tuan Speaker,

36. Kadar inflasi kekal rendah pada tahun ini. Untuk tempoh enam bulan pertama tahun 2003, kadar inflasi berada di tahap 1.0 peratus iaitu lebih rendah daripada kadar inflasi nasional pada tahap 1.2 peratus. Dengan kadar faedah yang rendah pada masa ini, kadar inflasi dijangka tidak akan meningkat dengan signifikan dalam tempoh terdekat ini

ANGGARAN HASIL

Tuan Speaker,

37. Jumlah hasil Negeri Sabah pada tahun 2004 dianggarkan sebanyak RM1,565.63 juta berbanding anggaran hasil yang disemak sebanyak RM1,616.47 juta bagi tahun 2003. Anggaran asal tahun 2003 ialah sebanyak RM1,560.00 juta. Ini bermakna hasil negeri telah mencapai sasarannya dengan kelebihan sebanyak 4 peratus. Anggaran Hasil 2004 ini adalah munasabah mengikut perancangan kewangan negeri yang diusahakan menuju ke arah 'sustainable revenue'. Dalam analisis perbandingan anggaran hasil 2004 dengan tahun-tahun sebelum ini amat nyata sumbangan hasil hutan telah merosot secara mendadak. Sebagai contoh, pada tahun 1979 ia mencapai RM 1.1 bilion dan menyumbang sebanyak 77 peratus kepada hasil negeri berjumlah RM 1.43 bilion. Kini, hasil hutan hanya berupaya menyumbang sekitar RM 225.6 juta atau 14 peratus kepada hasil negeri tetapi jumlah hasil negeri masih boleh dikekalkan di tahap RM 1.5 bilion.

38. Anggaran hasil tahun 2004, menunjukkan bahawa Peruntukan dan Sumbangan daripada Kerajaan Persekutuan dijangka terus menjadi sumber kewangan utama Negeri Sabah pada tahun 2004 iaitu sebanyak RM 371.21 juta atau 24 peratus daripada jumlah hasil negeri yang dianggarkan.

39. Kerajaan Negeri akan meneruskan usaha membuat tuntutan ke atas 'Pemberian Untuk Menggantikan Cukai Import/Eksais Ke Atas Barang Petroleum'. Amaun yang dituntut ialah berjumlah RM 200 juta bermula dari tahun 2000 dengan pertambahan sebanyak 5 peratus dicadangkan bagi setiap tahun berikutnya. Bagi tahun 2004, jumlah tuntutan yang dikemukakan ialah sebanyak RM 243 juta. Kerajaan negeri akan terus berusaha merundingkan dengan Kerajaan Persekutuan bagi mendapatkan pampasan tersebut. Di samping itu, Kabinet Negeri juga telah memberi persetujuan agar 'Pemberian Khas' kepada Negeri Sabah dapat dikaji semula memandangkan kajian terakhir dilakukan pada tiga puluh tahun yang lalu. 'Pemberian Khas' sebanyak RM 26.70 juta setahun diterima sejak tahun 1973. Pemberian dan sumbangan Persekutuan yang lain termasuklah 'Pemberian Bagi Membiayai Perbelanjaan Mengurus' (RM 38 juta), 'Pemberian Mengikut Kiraan Kepala' (RM 38 juta), 'Sumbangan Kepada Kos Pelaksanaan Projek Pembangunan Persekutuan' (RM 20 juta) dan 'Pemberian Pertambahan Hasil (RM 4 juta).

Tuan Speaker,

40. Cukai Jualan merupakan penyumbang kedua terbesar kepada hasil negeri pada tahun 2004, iaitu sebanyak 18 peratus daripada jumlah keseluruhan hasil yang dianggarkan, berjumlah RM286 juta. Sumbangan daripada cukai jualan atas minyak kelapa sawit dianggarkan sebanyak RM230 juta, namun pendapatan ini mungkin lebih tinggi sekiranya prestasi kini dapat dikekalkan. Sumber ini merupakan antara alternatif yang berpotensi memberi pulangan yang baik akibat kesan daripada kaedah yang diperkenalkan pada tahun lalu dan dilaksanakan pada tahun ini. Pungutan cukai jualan ke atas loteri dan mesin slot pada tahun 2004 dianggarkan pada tahap yang sama seperti tahun ini iaitu, masing-masing sebanyak RM 50 juta dan RM 6 juta. Kadar dan kaedah pungutan bagi cukai jualan pada tahun hadapan adalah tidak berubah.

Tuan Speaker,

41. Hasil hutan dianggarkan sebanyak RM 225.59 juta pada tahun hadapan. Daripada jumlah ini, 'Royalti dan Bayaran Keluaran Hutan' diramalkan sebanyak RM 162.10 juta; kutipan daripada 'Royalti Eksport Kayu Diproses' diramal berjumlah RM 8.3 juta; 'Premium Kayu Balak' dianggarkan sebanyak RM 45.09 juta; dan hasil lain sebanyak RM 10.10 juta. Ramalan hasil yang dikemukakan oleh Jabatan Perhutanan adalah berdasarkan pengeluaran balak pada tahun 2004 berjumlah 3 juta meter padu sahaja di mana 2.9 juta meter padu untuk kegunaan tempatan dan selebihnya untuk dieksport.

Tuan Speaker,

42. Salah satu penyumbang utama kepada hasil negeri ialah Royalti Petroleum. Pada tahun 2004 pihak Petronas menjangkakan jumlah royalti yang dibayar kepada Negeri Sabah sebanyak RM 152.64 juta. Pada tahun ini, bayaran royalti petroleum melebihi RM 200 juta (berbanding dengan anggaran asal RM153 juta) oleh kerana harga minyak melonjak dari bulan Januari hingga bulan Mac. Sumbangan royalti petroleum diramalkan sebanyak 10 peratus daripada jumlah anggaran hasil Negeri Sabah bagi tahun 2004.

Tuan Speaker,

43. Hasil Tanah dijangka akan terus menjadi penyumbang penting dalam kutipan hasil Negeri Sabah. Pendapatan daripada tanah diramal mencapai jumlah RM 147.36 juta atau 9 peratus daripada anggaran hasil negeri tahun 2004. Pendapatan daripada 'Sewa Tanah' dianggarkan bertambah dari RM 40 juta pada tahun ini kepada RM 41 juta pada tahun hadapan. Jabatan Tanah dan Ukur telah mengambil langkah meningkatkan kutipan sewa tanah sejak tahun 2002 berikutan tindakan penguatkuasaan sewa tanah yang bersepadu yang diambil oleh jabatan tersebut. Baki hasil tanah sebanyak RM 106.36 juta termasuk hasil melalui 'Premium dari Jualan Tanah' yang diramalkan sebanyak RM 100 juta pada tahun hadapan.

Tuan Speaker,

44. Pada tahun 2004 hasil daripada sumber air juga dijangka akan bertambah berbanding dengan anggaran disemak pada tahun ini berjumlah RM 78.81 juta. Adalah dianggarkan hasil air akan mencapai RM 89.51 juta atau 6 peratus hasil negeri.

45. Seperti yang dinyatakan sebentar tadi, bahawa Kerajaan Negeri telah memberi 'equivalent subsidy' sebanyak 70 peratus ke atas perbelanjaan pengurusan dan perkhidmatan bekalan air maka Kerajaan Negeri telah memutuskan supaya pengurusan dan perkhidmatan bekalan air di negeri ini diswastakan keseluruhannya. Kerajaan Negeri akan memastikan bahawa eksesais ini tidak lagi membebankan kewangan Kerajaan Negeri dan pada masa yang sama rakyat mendapat bekalan air dan perkhidmatan yang lebih baik.

Tuan Speaker,

46. Pendapatan daripada 'Pungutan, Pembahagian Untung dan Faedah' dianggarkan sebanyak RM 62.15 juta pada tahun 2004 di mana sebanyak 80.4 peratus daripada amaun ini merupakan hasil melalui pembayaran dividen dan faedah atas pinjaman kepada Badan-Badan Berkanun.

47. Kerajaan Negeri akan menerima RM 210 juta daripada 'Penjualan Pelaburan' menerusi penswastaan operasi tujuh buah pelabuhan di Sabah daripada Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah kepada Suria Capital Holdings Bhd. Setakat ini sebanyak RM 63 juta telah diterima pada tahun ini sebagai deposit dan pendahuluan manakala selebihnya RM 147 juta dibayar pada awal tahun hadapan apabila semua urusan berkaitan penswastaan selesai dan pengendalian operasi pelabuhan-pelabuhan diambilalih oleh Suria Capital Holdings Bhd. Dengan pengambilalihan ini, kapasiti kemudahan dan perkhidmatan di pelabuhan-pelabuhan berkenaan dijangka akan beroperasi lebih baik dan seterusnya dapat mempercepatkan pertumbuhan ekonomi Negeri Sabah, kerana perkhidmatan pelabuhan yang cekap adalah begitu kritikal sekali kepada pelaburan pihak swasta.

Tuan Speaker,

48. Bagi tujuan penyelarasan akaun berhubung dengan pertukaran pinjaman kepada ekuiti atau pemberian, adalah dianggarkan sebanyak RM 20 juta pada tahun 2004 diperolehi di bawah 'Perolehan daripada Pemindahan Pinjaman-Pinjaman Kepada Kumpulan Wang Badan-Badan Berkanun'.

49. Hasil melalui Sewa Bangunan-Bangunan Kerajaan dijangka kekal pada tahap RM 21 juta tahun ini dan juga 2004. Daripada perkhidmatan Saluran Najis di bawah pihak Berkuasa Tempatan, sebanyak RM 5 juta sahaja dianggarkan. Sebanyak RM 21.67 juta adalah dijangkakan dapat dikutip pada tahun ini. Walau bagaimanapun, memandangkan kedudukan kewangan pihak-pihak terlibat masih belum memberangsangkan maka sasaran tersebut tidak dapat dicapai. Dengan keputusan Kerajaan Negeri, mulai 1 Januari 2000, semua pihak Berkuasa Tempatan di negeri hanya perlu membayar kos penyelenggaraan sahaja kepada Jabatan Kerja Raya. Bayaran-bayaran lain seperti pembayaran balik kos modal, bayaran faedah, bayaran caj untuk kos pembangunan dan kos penyeliaan tidak lagi dikenakan.

Tuan Speaker,

50. Penyumbang-penyumbang tetap yang lain dijangka tidak mengalami perubahan yang ketara pada tahun hadapan. Namun beberapa agensi ini telah menunjukkan peningkatan berbanding dengan pendapatan mereka beberapa tahun yang lalu.

Tuan Speaker,

51. Hasil daripada Haiwan dan Perusahaan Ternak dianggarkan dapat memungut sebanyak RM 6.71 juta berbanding dengan anggaran disemak sebanyak RM 5.67 juta pada tahun ini. Jualan susu segar dan ternakan dijangka menyumbang ke arah peningkatan ini. Sumbangan daripada Hasil Dalam Negeri dan Lesen-Lesen juga dianggarkan akan meningkat dari RM 2.998 juta kepada RM 3.005 juta. Hasil daripada Pelabuhan dan Dermaga diramal bertambah dari RM 1.898 juta kepada RM 2.185 juta. Begitu juga hasil daripada Jabatan Hidupan Liar yang diramalkan akan menyumbang RM 12.9 juta tahun hadapan berbanding dengan hasil disemak tahun ini sebanyak RM 11.62 juta. Kutipan melalui Pertanian dianggarkan mencapai RM 2 juta berbanding anggaran disemak berjumlah RM 1.97 juta. Peningkatan ini dijangka diperolehi melalui jualan koko dan kelapa kering. Manakala hasil melalui Perikanan dijangka boleh menghampiri RM 500 ribu. Pendapatan daripada perkhidmatan Keretapi diramal sebanyak RM 1.09 juta.

RANGKA RANCANGAN PEMBANGUNAN

Tuan Speaker,

52. Kerajaan Negeri telahpun meluluskan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kelapan (KSP-RMK8), 2001-2005. Selain untuk mengetahui sejauh mana pencapaian kita, tujuan kajian separuh penggal bagi setiap rancangan pembangunan lima tahun adalah untuk menyelaraskan dan menyemak semula rancangan kita sejajar dengan pendekatan baru yang ditekankan dalam Halatuju negeri yang bersesuaian dengan kemampuan sumber kewangan untuk tempoh dua tahun akan datang. Di samping itu, Bajet dua tahun yang bermula pada tahun 2004 adalah untuk memastikan kelancaran pelaksanaan projek pembangunan yang dapat memudahkan jabatan membuat perancangan dan menjalankan kerja-kerja awal dalam tahun pertama supaya pelaksanaan fizikal boleh bermula tahun berikutnya mengikut jadual. Pendekatan ini bukan sahaja memastikan sumber kewangan yang terhad dibahagikan mengikut perancangan malah dapat dibelanjakan sebaik-baiknya.

53. Rangka Rancangan Jangka Panjang Sabah (RRJPS) yang merupakan Rancangan Pembangunan Lima Belas Tahun Negeri Sabah telah dilancarkan oleh Kerajaan Barisan Nasional dalam tahun 1995, ketika ini masih dijadikan garis panduan dalam menyalurkan peruntukan bagi pembangunan. Sebagai pelengkap kepada RRJPS, rancangan Halatuju kerajaan telah menekankan aspek-aspek yang berikut:

Walau bagaimanapun, fokus utama Halatuju pada keseluruhannya adalah untuk merealisasikan agenda-agenda berikut:-

54. Semua ini merupakan cabaran-cabaran yang kita harus ditangani bersama. Mengambilkira peruntukan negeri yang terhad maka kita perlu merancang strategi-strategi yang boleh mempercepatkan pemenjanaan produk dan perkhidmatan yang mempunyai nilai tambah (higher value-added products and services) untuk memperkukuhkan perkembangan ekonomi negeri seiring dengan matlamat Rangka Rancangan Jangka Panjang Sabah (RRJPS). Namun demikian, RRJPS perlu dikaji semula untuk disesuaikan dengan perkembangan semasa di peringkat negeri, negara dan global.

ANGGARAN PERBEKALAN

Tuan Speaker,

55. Saya mencadangkan sejumlah RM 1,667.04 juta diperuntukkan bagi Bajet 2004 bagi maksud perbelanjaan perbekalan dan pembangunan. Ini merupakan penurunan sebanyak RM 7.83 juta atau pun 0.47 peratus berbanding dengan anggaran asal tahun 2003 iaitu sebanyak RM 1,674.88 juta. Daripada jumlah tersebut sebanyak RM 280 juta adalah disediakan untuk Kumpulan Wang Pembangunan.

56. Di bawah perbelanjaan Perbekalan, sebanyak RM 478.52 juta dicadangkan bagi Emolumen yang merupakan satu peningkatan sebanyak RM 38.30 juta atau 8.7 peratus berbanding anggaran tahun 2003 sebanyak RM 440.22 juta. Pertambahan ini adalah untuk menampung kenaikan gaji tahunan dan juga penyelarasan gaji dalam Skim Perkhidmatan Sistem Saraan Malaysia.

57. Peruntukan sebanyak RM 505.51 juta yang dicadangkan untuk Perbelanjaan Berulang menunjukkan peningkatan sebanyak RM 116.73 juta atau 30.02 peratus berbanding dengan anggaran yang disemak sebanyak RM 388.78 juta dalam tahun 2003. Peningkatan ini disebabkan di antaranya, pertambahan peruntukan bagi mengendalikan pembaharuan dan penyelenggaraan bangunan-bangunan kerajaan; penyelenggaraan kemudahan bekalan air; penyelenggaraan kenderaan; perjalanan dan pengangkutan; pembelian susu penternak; sistem perparitan utama; penyewaan kenderaan sewa loji; dana pembangunan usahawan kecil; latihan pembangunan sumber manusia serta pemberian biasiswa di institusi pengajian tinggi swasta dan awam; dan program serta aktiviti ke arah kemajuan wanita di bawah Majlis Penasihat Wanita Sabah.

58. Cadangan sejumlah RM 683.01 juta untuk Perbelanjaan Khas bagi tahun 2004 menunjukkan penurunan sebanyak RM 162.86 juta atau 19.25 peratus berbanding dengan anggaran yang disemak sebanyak RM 845.88 juta bagi tahun 2003. Namun terdapat peningkatan dalam beberapa kepala seperti pencaruman kepada Kumpulan Wang Pembangunan; Perkhidmatan Am Perbendaharaan bagi peruntukan pelaburan ekuiti dalam SESB Sdn Bhd; pembelian kenderaan untuk menggantikan kenderaan yang telah melampaui tempoh hayat ekonominya; pertukaran pinjaman negeri untuk mengemaskini akaun pinjaman negeri di samping membaiki kedudukan kewangan agensi atau syarikat kerajaan seperti KKIP Sdn. Bhd, Lembaga Industri Getah Sabah; pengurusan agensi-agensi seperti Korporasi Pembangunan Desa; dan sebanyak RM 95.75 juta diagihkan kepada Jabatan Air untuk pengurusan keperluan bekalan air negeri di mana sebanyak RM 55 juta ialah untuk bayaran kepada syarikat konsesi yang membekalkan air di bandar-bandar utama.

PENGAGIHAN ANGGARAN PERBEKALAN

Tuan Speaker,

59. Pengagihan peruntukan Perbelanjaan Perbekalan bagi tahun 2004 mengikut Kementerian adalah seperti berikut:-

Jadual I

  KEMENTERIAN RM Juta Peratus
(i) Kementerian Kewangan 546.42 32.78
(ii) Kementerian Pembangunan Infrastruktur 373.53 22.41
(iii) Jabatan Ketua Menteri 266.26 15.97
(iv) Kementerian Pertanian dan Industri Makanan 165.79 9.94
(v) Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna 79.25 4.75
(vi) Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar 61.58 3.70
(vii) Kementerian Pembangunan Luar Bandar 46.92 2.81
(viii) Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan 43.22 2.60
(ix) Kementerian Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat 23.67 1.42
(x) Kementerian Belia dan Sukan 16.19 0.97
(xi) Kementerian Pembangunan Perindustrian 5.28 0.32
(xii) Perbelanjaan tidak termasuk dalam Kementerian 15.55 0.93
(xiii) Perbelanjaan Tanggungan 23.38 1.40
  JUMLAH 1,667.04 100.00

ANGGARAN PEMBANGUNAN

Tuan Speaker,

60. Dalam tempoh dua tahun pertama RMK8, Kerajaan Negeri telah menyediakan sebanyak RM774.91 juta untuk perbelanjaan pembangunan negeri. Ditambah lagi dengan peruntukan bagi tahun 2003 sebanyak RM 433.64 juta, ini menjadikan perbelanjaan pembangunan berjumlah RM 1,208.55 juta atau 63.3 peratus daripada jumlah perbelanjaan RMK8 yang disemak sebanyak RM 1,907.82 juta.

61. Perbelanjaan negeri bagi Pembangunan tahun 2004 melibatkan sejumlah RM 444.17 juta. Jumlah ini adalah RM 10.53 juta atau 2.4 peratus lebih tinggi daripada anggaran tahun ini sebanyak RM 433.64 juta. Sebanyak RM 246.82 atau 55.6 peratus adalah dicadangkan untuk melaksanakan program dan projek sambungan dan bakinya sebanyak RM 197.35 juta atau 44.4 peratus adalah untuk program dan projek baru. Daripada RM 444.17 juta tersebut, sebanyak RM 280 juta akan dibiayai daripada Caruman Kumpulan Wang Pembangunan manakala bakinya sebanyak RM 164.17 juta dicadang dibiayai melalui bantuan kewangan persekutuan.

62. Peruntukan yang dicadangkan bagi Anggaran Pembangunan tersebut adalah terbahagi kepada RM 429.47 juta dalam bentuk pemberian langsung; sebanyak RM9.70 juta adalah pinjaman wang Negeri kepada Lembaga Pembangunan Perumahan Negeri dan KKIP Sdn Bhd, masing-masing mendapat RM4.48 juta dan RM5.22 juta; manakala sebanyak RM5.0 juta adalah untuk Simpanan Luar Jangka.

63. Daripada jumlah perbelanjaan Pembangunan yang dicadangkan sebanyak RM 298.15 juta atau 67.1 peratus diperuntukkan untuk Sektor Ekonomi. Sejajar dengan penekanan baru yang dibentangkan dalam rancangan Halatuju negeri, sektor ini adalah penerima terbesar. Peruntukan adalah untuk projek-projek pertanian dan pembangunan tanah; kewangan dan industri; pembangunan infrastruktur dan pengangkutan; pembangunan pelancongan; kemudahan awam dan pembangunan sumber manusia. Adalah diharapkan agar peruntukan yang disediakan ini akan dapat membawa dan mempercepatkan pembangunan sosioekonomi di negeri Sabah.

64. Baki peruntukan sebanyak RM 104.66 juta atau 23.6 peratus adalah disediakan untuk Sektor Sosial untuk projek-projek pembangunan masyarakat dalam dan luar bandar; perpustakaan; perkhidmatan kebajikan, belia dan sukan; pembangunan perumahan dan pekan-pekan baru; wanita dalam pembangunan; dan membangunkan kawasan bandaraya dan pihak berkuasa tempatan. Ini diikuti dengan sejumlah RM 36.36 juta atau 8.2 peratus untuk sektor Pentadbiran Am yang merangkumi pelaksanaan bengkel dan bangunan; pembelian loji dan kelengkapan; tanah dan ukur; dan pembinaan mahkamah-mahkamah syariah; dan RM 5.00 juta atau 1.1 peratus lagi diletakkan di bawah simpanan luar jangka.

PENGAGIHAN ANGGARAN PEMBANGUNAN

Tuan Speaker,

65. Pengagihan peruntukan Perbelanjaan Pembangunan yang dicadangkan bagi tahun 2004 mengikut Kementerian adalah seperti berikut:-

Jadual II

  KEMENTERIAN RM Juta Peratus
i Kementerian Pembangunan Infrastruktur 186.35 41.95
ii Kementerian Pertanian dan Industri Makanan 78.13 17.59
iii Jabatan Ketua Menteri 72.46 16.31
iv Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan 25.76 5.80
v Kementerian Pembangunan Luar Bandar 22.50 5.07
vi Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna 15.90 3.58
vii Kementerian Kewangan 13.38 3.01
viii Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar 13.18 2.97
ix Kementerian Pembangunan Perindustrian 8.94 2.01
x Kementerian Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat 2.00 0.45
xi Kementerian Belia dan Sukan 0.57 0.13
xii Simpanan Luar Jangka 5.00 1.13
  JUMLAH 444.17 100.00

66. Kementerian Pembangunan Infrastruktur adalah penerima peruntukan yang terbesar iaitu sebanyak RM 186.35 juta atau 41.9 peratus. Ini diikuti oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, dan Jabatan Ketua Menteri, masing-masing sebanyak RM 78.13 atau 17.5 peratus dan RM 72.46 juta atau 16.3 peratus.

67. Untuk membangunkan sektor pertanian, pelancongan dan pembuatan, selain peruntukan yang disediakan di bawah Kementerian Pertanian Dan Industri Makanan, Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, dan Kementerian Pembangunan Perindustrian masing-masing, jumlah yang diperuntukkan kepada Kementerian Pembangunan Infrastruktur juga meliputi peruntukan sebanyak RM 15.64 juta bagi melaksanakan projek-projek pembangunan di bawah kementerian-kementerian tersebut seperti Jalan Raya ke Kawasan Pertanian sebanyak RM 7.24 juta; Jalan Raya ke Kawasan Perindustrian sebanyak RM 6.65 juta; dan Jalan Raya ke Kawasan Pelancongan sebanyak RM 1.75 juta.

68. Sebanyak RM 129.04 juta atau 69.2 peratus daripada keseluruhan peruntukan Kementerian Pembangunan Infrastruktur adalah diperuntukkan kepada Jabatan Air dalam mana sejumlah RM 63 juta adalah untuk Program Khas Bekalan Air yang melibatkan tiga syarikat konsesi air.

69. Peruntukan di bawah Jabatan Ketua Menteri juga termasuk peruntukan bagi Tanah dan Ukur sebanyak RM 31.29 juta di mana sejumlah RM 11 juta adalah untuk pampasan tanah di kawasan Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP). Selain itu, sejumlah RM 20 juta adalah disediakan bagi program Pembangunan Khas di bawah Jabatan Ketua Menteri.

70. Untuk memperhebatkan lagi pembangunan luar bandar program Peruntukan Khas bagi ADUN di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar telah ditambah kepada RM 13.95 juta daripada RM 11.55 juta yang disediakan dalam tahun 2003. Selain itu, peruntukan bagi projek pembangunan kecil di bawah kementerian yang sama terus dikekalkan sebanyak RM 5 juta mengikut rancangan kementerian tersebut.

PERUNTUKAN PERSEKUTUAN

Tuan Speaker,

71. Saya amat gembira untuk memaklumkan Dewan yang mulia ini bahawa Kerajaan Pusat akan terus memberikan bantuan kewangan kepada kita pada tahun hadapan. Sebagaimana yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan kita adalah layak menerima bantuan persekutuan dalam bentuk Imbuhan Balik Persekutuan, Pinjaman Persekutuan dan juga Pemberian Cara Langsung. Untuk tahun hadapan, kita menjangkakan akan menerima sejumlah RM 644.94 juta di mana pecahannya adalah Imbuhan Balik Persekutuan sebanyak RM 19.38 juta; Pinjaman Persekutuan sebanyak RM 39.16 juta; dan Pemberian Cara Langsung sebanyak RM 586.40 juta.

72. Tidak dinafikan bahawa peruntukan ini akan banyak membantu kita dalam pembangunan di negeri ini. Oleh itu, saya ingin merakamkan penghargaan yang tidak terhingga kepada pemimpin pusat dalam sokongan mereka ini. Jumlah RM 5.9 bilion peruntukan untuk Negeri Sabah seperti yang telah diumumkan dalam pembentangan Bajet Negara baru-baru ini, sudah pasti ia akan merangsang ekonomi dan sosial negeri ke tahap yang lebih tinggi dari tahun yang lalu. Butiran mengenai peruntukan ini walaupun belum diketahui daripada Kementerian Kewangan Malaysia namun saya penuh yakin peruntukan sebesar ini akan dapat mengatasi pelbagai masalah besar berkaitan dengan kemudahan-kemudahan infrastruktur yang begitu kritikal kepada pihak swasta untuk menjadi tunggak kepada pembangunan ekonomi negeri ini.

BADAN-BADAN BERKANUN DAN AGENSI-AGENSI

Tuan Speaker,

73. Di awal ucapan ini, saya telah menyebut bahawa peranan agensi-agensi Kerajaan, mahupun syarikat-syarikat yang diwujudkan di bawahnya, merupakan rancangan awal Kerajaan memberi kepercayaan kepada agensi-agensi ini untuk menyumbang ke arah mempercepatkan pembangunan ekonomi dan sosioekonomi. Entiti-entiti ini tidak terkongkong dengan sistem birokrasi Kerajaan, iaitu beroperasi secara pihak swasta supaya berupaya menghadapi cabaran-cabaran dalam era globalisasi dan liberalisasi. Malangnya ada sesetengah agensi berkenaan tidak mengamalkan 'good practices' menyebabkan hingga kini terus bergantung kepada sumber-sumber kewangan Kerajaan.

74. Garis panduan telah banyak diperkenalkan di samping latihan-latihan kemahiran yang diberikan. Para pengurus juga didedahkan kepada konsep atau sistem pengurusan terkini, yang mengambilkira pengalaman global namun kesan pengetahuan yang diperolehi ke atas prestasi pengurusan masih berada di bawah tahap yang kita inginkan. Justeru, saya syorkan supaya agensi-agensi berkenaan melakukan rombakan dan penyusunan semula ke atas sistem pengurusan masing-masing agar lebih 'prudent, responsible and responsive'.

75. Persepsi peranan dan aktiviti sosioekonomi yang lazim dianggap sebagai menghasilkan produk dan perkhidmatan tanpa untung perlu diubah. Mereka perlu terus memikirkan dan berusaha melaksanakan penggabungan sumber-sumber dan aset-aset bagi projek-projek sosioekonomi dan projek-projek komersial yang viable. Melalui pendekatan sedemikian, saya percaya mereka mampu berdikari dan tidak lagi bergantung kepada pembiayaan kewangan daripada Kerajaan Negeri lagi. Justeru, pengurangan peruntukan kewangan daripada Kerajaan Negeri tidak seharusnya dijadikan alasan untuk terus berdiam diri. Kerajaan yakin mereka berkemampuan menghadapi masalah berkenaan. Oleh itu saya menyeru supaya para pengurus merancang dan meningkatkan usaha dengan bersungguh-sungguh bagi menjadikan organisasi mereka 'sustainable' dan bertukar kepada 'profit-centre'.

76. Kementerian pengawal hendaklah mengawasi dan menyelaras secara berkesan dengan teliti peranan dan aktiviti setiap agensi di bawah naungan masing-masing. Jalinan strategik dan 'smart partnership' atau perkongsian pintar di antara agensi-agensi berkenaan akan ditekankan terutama untuk peranan dan aktiviti yang saling berkaitan atau bertindih. Cara begini saya percaya, dapat meningkatkan 'delivery system' dan meminimakan kos penyediaan sesuatu perkhidmatan atau produk.

77. Agensi seperti Sabah Energy Corporation Sdn Bhd, Sawit Kinabalu Bhd, Sabah Credit Corporation (SCC), Perbadanan Pembangunan Ekonomi Negeri Sabah (SEDCO), Sabah Development Bank Berhad (SDB), Progressive Insurance Sdn. Bhd. dan Warisan Harta Sabah Sdn. Bhd. yang telah menunjukkan prestasi cemerlang dan boleh dibanggakan dengan berterusan membuat pembayaran dividen kepada Kerajaan Negeri hampir pada setiap tahun. Untuk tahun ini sahaja, Kerajaan Negeri menjangka akan menerima sejumlah RM 52.5 juta bayaran dividen daripada agensi-agensi berkenaan. Prestasi cemerlang agensi-agensi ini sepatutnya dicontohi dan dijadikan inspirasi oleh agensi-agensi lain untuk maju.

TINDAKAN PROAKTIF PIHAK BERKUASA TEMPATAN

Tuan Speaker,

78. Kebanyakan Penguasa Tempatan sepertimana agensi-agensi Kerajaan Negeri yang lain juga menghadapi masalah pembiayaan dan masih terus mengharapkan peruntukan tahunan daripada Kerajaan Negeri. Di antara punca masalah berkenaan ialah kegagalan pihak pengurusan mengenal pasti potensi sumber/aset-aset yang sedia dimiliki seperti tanah dan sebagainya, kelemahan sistem pelaksanan projek dan sistem pemungutan cukai.

79. Sistem pengurusan yang berkaitan dengan pelaksanaan projek-projek pembangunan dan pemungutan cukai harus diperkemaskan dan diperbaiki. Ini kerana kedua-dua sistem berkenaan adalah berkait secara langsung dengan pengenalpastian projek-projek yang sesuai dan berdaya maju serta keberkesanan pemungutan hasil-hasil yang dijana oleh kegiatan-kegiatan ekonomi setempat.

80. Sehubungan dengan itu juga, Penguasa-Penguasa Tempatan seharusnya bijak di dalam usaha-usaha mengeksploitasi sepenuhnya sumber-sumber hasil/aset yang sedia ada untuk mewujudkan satu persekitaran yang 'friendly and condusive' (mesra dan merangsang) kepada aktiviti-aktiviti perniagaan setempat. Hanya dengan wujudnya keadaan sedemikian, akan menggalakkan perkembangan aktiviti-aktiviti perniagaan baik dari dalam mahupun pelabur-pelabur dari luar bagi menjana hasil yang lebih banyak kepada Penguasa-Penguasa Tempatan berkenaan.

PENUTUP

Tuan Speaker,

81. Saya sedar tahun demi tahun, dalam setiap pembentangan bajet, pucuk pimpinan akan mengingatkan mesej yang sama, iaitu, pada rakyat biasa pertumbuhan ekonomi diterjemahkan sebagai kesejahteraan bagi mereka (sosial ekuiti). Secara lumrah yang penting bagi mereka ialah peningkatan pendapatan, khususnya di kalangan berpendapatan rendah, dan menikmati kualiti hidup yang semakin baik. Walaupun Indeks Komposit Pembangunan semakin baik, namun banyak lagi yang kita harus lakukan untuk menyempurnakan tanggungjawab kita sebagai pentadbir negeri ini.

82. Kita bangga dengan pencapaian kemerdekaan Sabah melalui Malaysia 40 tahun lalu, namun kedudukan kewangan negeri masih belum mantap. Kerajaan kolonial telah meninggalkan negeri ini 40 tahun lalu. Sumber hutan kita hampir pupus. Program penswastaan, yang sepatutnya menguruskan aset kerajaan secara lebih produktif, sebaliknya mengakibatkan pembaziran wang awam dan liabiliti beratus-ratus juta ringgit berbanding dengan manfaatnya. Begitu juga, dengan keadaan kos perniagaan dan pelaburan belum mencapai ke tahap competitive. Sistem penyampaian kerajaan juga masih perlu meningkatkan kualiti perkhidmatannya. Dalam konteks ini, tahap pekerja-pekerja yang mahir di Sabah masih berada di peringkat yang rendah. Sebagai contoh, pada tahun 2000 hanya 7 peratus daripada tenaga pekerja mempunyai latihan pendidikan tertiary berbanding dengan 14 peratus kadar purata di peringkat kebangsaan.

Tuan Speaker,

83. Saya yakin Bajet Negeri 2004 akan dijadikan sebagai 'a turning point' ke arah mengukuhkan kewangan negeri menjelang tahun 2006. Sebagaimana yang dinyatakan sebentar tadi, eksesais penswastaan operasi pelabuhan-pelabuhan di Sabah hendaklah menjadi titik tolak bagi mendasari urusan penswastaan. Penyediaan perkhidmatan pelabuhan yang moden dan cekap sudah pasti akan merangsang pertumbuhan ekonomi Negeri Sabah. Begitu juga, penswastaan bekalan dan perkhidmatan air, secara total, bukan sahaja akan menangani masalah bekalan air yang berkualiti tinggi tetapi juga akan mengurangkan tanggungan bebanan subsidi setiap tahun.

Tuan Speaker,

84. Eksesais penswastaan yang dilaksanakan juga adalah seiring dengan dasar 'domestic-led' dan 'private sector-led' ekonomi. Dalam memperhebatkan penyertaan pihak swasta Rancangan Palm Oil Industrial Cluster (POIC) di Sandakan, Tawau dan Lahad Datu akan diberi sokongan untuk menjana penghasilan produk asli yang mempunyai nilai tambah yang tinggi melalui perkembangan aktiviti hiliran. Selain itu, Kerajaan juga telah mengambil tindakan proaktif untuk memastikan sesuatu projek yang melibatkan pihak swasta disempurnakan dalam masa yang ditetapkan. Demi kepentingan rakyat dan negeri langkah ini telah pun dilaksanakan dalam beberapa kes Forest Management Unit (FMU), pembangunan hartanah di Tanjung Aru dan penswastaan Koperasi Pembangunan Desa.

85. Kerajaan Pusat dan Negeri tetap dengan komitmennya dalam penyediaan infrastruktur yang strategik bagi merangsangkan pertumbuhan ekonomi negeri dan meningkatkan kualiti hidup rakyat. Sebagai contoh, pembinaan semula sistem perkhidmatan keretapi Sabah, yang melibatkan pelaburan lebih kurang RM393.00 juta, akan meningkatkan lagi perkhidmatan pengangkutan, khususnya dalam merangsang sektor perusahaan dan pelancongan. Perkhidmatan ini dijangkakan akan beroperasi pada tahun 2007.

86. Seiring dengan dasar ekonomi negeri yang ingin mengalakkan sektor swasta menerajui pembangunan dan kemajuan ekonomi, keberkesanan dan kecekapan sistem penyampaian (delivery system) hendaklah dikemaskini agar mampu memenuhi kehendak pihak swasta. Kelewatan dalam pemprosesan dan kelulusan permohonan akan hanya merugikan kerajaan dan rakyat negeri ini. Oleh itu, saya akan usahakan ke arah kewujudan 'one-stop centre' sebagai 'clearing house' yang berkesan mampu mengatasi kelemahan yang sedia ada. Fungsi 'one-stop centre' ini hendaklah dijadikan sebagai satu insentif untuk menarik lebih banyak pelaburan ke Negeri Sabah.

Tuan Speaker,

87. Sambil kita berusaha untuk merangsang perkembangan ekonomi, Kerajaan juga adalah komited untuk membina sebuah masyarakat yang bersatu padu dan harmonis. Oleh itu, program sosial, sama ada di bawah tanggungan negeri mahupun persekutuan, akan diperhebatkan. Program-program seperti membantu ibu tunggal dan memperkasakan pergerakan pertubuhan wanita akan terus disokong di bawah peruntukan NGO. Dana Khas untuk perusahaan kecil, khususnya dalam mempromosikan kraftangan tradisional, akan disediakan untuk membantu peniaga-peniaga dan pengusaha-pengusaha kecil terutama sekali di luar bandar. Berhubung dengan perkembangan ICT dan infostruktur kerajaan juga sedang berusaha untuk menangani jurang digital. Sebagai contoh, infokiosk telah diwujudkan di daerah Ranau. Di Keningau, Desa Net akan diperkenalkan. Kemudahan ini adalah sebagai tambahan kepada unit yang sedang memberi perkhidmatan di daerah Papar, Kudat dan Kota Belud. Melalui projek-projek seperti ini masyarakat desa akan turut menikmati rahmat pembangunan dan kemajuan negeri. Sudah pasti kualiti hidup yang diusahakan oleh kerajaan akan membawa kepada kesejahteraan dan keharmonian rakyat.

88. Sebagai sebuah Kerajaan yang bertanggungjawab, Kerajaan Barisan Nasional akan memastikan semua pihak, khususnya agensi dan syarikat kerajaan mengamalkan budaya pengurusan yang cekap dan mencapai kedudukan kewangan yang sihat. Dalam hubungan ini, salah satu langkah yang berkesan ialah Kerajaan Negeri telah mengenal pasti betapa pentingnya mekanisme serampang dua mata, iaitu, memantapkan penyelarasan di peringkat kuasa yang paling tertinggi di antara agensi-agensi persekutuan dan agensi-agensi negeri. Dengan amalan "Coordination and Consolidation at the Highest Order', Insya Allah, kedua-dua pihak akan bergerak bersama untuk menepati 'Satu Matlamat'. Contoh terbaik yang telah dilaksanakan ialah, menghidupkan semula Jawatankuasa Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat/Pembasmian Kemiskinan Negeri dan Daerah untuk mencapai matlamat pembasmian kemiskinan di Negeri Sabah.

MENGENANG JASA DAN BUDI YAB DATO' SERI DR. MAHATHIR MOHAMAD, PERDANA MENTERI MALAYSIA

89. Kita amat bertuah dikurniakan dengan pemimpin yang telah berjaya melonjakkan nama negara ke tahap yang amat membanggakan. Dasar-dasar pentadbiran yang diperkenalkan telah membawa pembangunan dan kemajuan dalam semua sektor di negara ini. Bagi pihak Kerajaan dan rakyat Negeri Sabah, saya ingin dengan sepenuh ikhlasnya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas kepimpinan dan sumbangan YAB Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad kepada Negeri Sabah khasnya dan Malaysia amnya. Kebijaksanaan kepimpinan beliau mempertahankan ekonomi negara dan seterusnya merangsang pertumbuhan ekonomi meskipun dilanda pelbagai cabaran terutamanya ketidaktentuan iklim ekonomi dunia mengkagumkan banyak pihak. Formula yang digunakan bagi memantapkan keadaan ekonomi Malaysia kini diiktiraf di peringkat global. Bagi Negeri Sabah, kita amat berterima kasih kerana negeri ini sentiasa diberikan perhatian yang sewajarnya selama era kepimpinan beliau khususnya dalam konteks perancangan dan pelaksanaan dasar-dasar pembangunan negara. Pada masa yang sama Kerajaan Negeri akan memberi sokongan yang tidak berbelah bagi kepada YAB Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai pengganti beliau.

Tuan Speaker,

90. Sumbangan anggota Perkhidmatan Awam selama ini adalah memuaskan walaupun banyak lagi ruang untuk diperbaiki dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan awam. Dalam cabaran untuk memperbaiki lagi sistem penyampaian (delivery system) dalam perkhidmatan awam saya menyeru agar semua anggota perkhidmatan awam akan lebih prihatin dan memikul tanggungjawab mereka dengan penuh komitmen, kesedaran dan kecemerlangan untuk merealisasikan dasar kerajaan seperti yang terkandung dalam Halatuju Negeri. Bagi menghargai sumbangan dan jasa anggota perkhidmatan awam serta mengambilkira keupayaan kewangan negeri, kerajaan bersetuju untuk membayar bonus setengah bulan gaji pada tahun ini, kepada mereka yang layak. Kerajaan yakin keistimewaan ini akan mendorong anggota perkhidmatan awam untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka dengan lebih cemerlang lagi.

Tuan Speaker saya mohon mencadangkan.