KETUA MENTERI DAN MENTERI KEWANGAN SABAH
DI PERSIDANGAN DEWAN UNDANGAN NEGERI
PADA 16 NOVEMBER 2007(JUMAAT)
Bismillahir Rahmanir Rahim,
Tuan Speaker,
1. Saya mohon membentangkan Bajet Negeri bagi tahun 2008 untuk kelulusan Dewan yang Mulia ini.
Tuan Speaker,
2. Saya bersyukur ke Hadrat Allah SWT, kerana dengan Izin dan RahmatNya serta Taufik dan HidayahNya, sekali lagi saya berpeluang menunaikan tanggungjawab yang diamanahkan untuk membentangkan Bajet Negeri bagi tahun 2008 di Dewan yang Mulia ini.
Tuan Speaker,
3. Laungan Merdeka sempena sambutan Perayaan Kemerdekaan Malaysia pada bulan Ogos lalu masih segar di ingatan, dan ungkapan keramat itu mewujudkan rasa kebertanggungjawapan dan menimbulkan semangat perjuangan bangsa kerana laungan MERDEKA itulah yang selama ini menjadi sumber kekuatan, perpaduan dan kejayaan kita dalam menyatupadukan bangsa ke arah membangunkan negara dan negeri tercinta. Kemajuan demi kemajuan telah dicapai, dan walaupun masih banyak lagi ruang untuk kita terokai dan pertingkatkan, namun perpaduan di kalangan rakyat adalah satu pencapaian yang tinggi nilainya yang menjadi teras kekuatan, kestabilan, dan kejayaan kita selama ini.
4. Kewibawaan dan kebijaksanaan di kalangan pemimpin pusat dan negeri dalam menggubal pelbagai dasar pembangunan negara dan negeri telah menghasilkan manfaat dan impak ke atas kualiti hidup setiap lapisan rakyat, yang mampu kita nikmati dewasa ini. Pembangunan secara menyeluruh dalam pelbagai bidang, seperti penyediaan kemudahan asas awam, pembangunan luar bandar, pembangunan modal insan, kebudayaan, kebajikan, pembangunan ICT, pembangunan sumber alam semulajadi dan ‘bio-diversity’ telah menjadi tunjang untuk terus memacu program pembangunan ekonomi dan sosial di negeri ini. Taraf kualiti kehidupan khususnya di luar bandar, turut berubah kepada keadaan yang lebih baik. Kestabilan politik yang disertai dengan pentadbiran berkesan dan kerjasama semua lapisan pemimpin dan rakyat telah mengukuhkan lagi ikatan untuk mencapai matlamat yang lebih besar di masa hadapan, iaitu lebih banyak kemajuan dan peluang untuk semua. Rancangan Koridor Pembangunan Sabah (Sabah Development Corridor) yang akan dilancarkan dalam masa terdekat, akan membawa kesan-kesan pembangunan yang lebih komprehensif dan holistik, yang meliputi kawasan wilayah barat, tengah dan timur Sabah. Saya penuh yakin, Koridor Pembangunan Sabah ini akan membawa impak ke atas dua faktor utama, iaitu pertama, peningkatan kesedaran serta keyakinan di kalangan rakyat sebagai sumber tenaga untuk menggandakan penglibatan dan produktiviti mereka. Kedua, iklim persekitaran pembangunan akan menjadi pemangkin kepada penglibatan kerjasama sektor awam dan sektor swasta dalam memajukan ekonomi negeri menerusi nilai tambah serta penyediaan pelbagai perkhidmatan, perniagaan dan peluang-peluang pekerjaan.
Tuan Speaker,
5. Dalam Bajet Negeri Tahun 2007, saya telah menggariskan strategi Bajet Negeri bagi tempoh tiga tahun pertama di bawah RMKe-9 iaitu, hingga Kajian Separuh Penggal (Mid-Term Review), pada tahun hadapan. Justeru, Bajet tahun 2008, adalah bagi memastikan kemajuan yang berterusan, menerusi keberkesanan sistem penyampaian kerajaan, dan pengukuhan sumber kewangan negeri bagi mendokong Dasar Halatuju dan Pembangunan Negeri untuk menjadikan Negeri Sabah sebagai sebuah negeri maju yang gemilang dan terbilang pada tahun 2015.
6. Oleh itu, suasana kestabilan politik tanah air dan komitmen serta integriti kepimpinan di peringkat kerajaan persekutuan mahupun di peringkat negeri, adalah sumber pendorong utama untuk kita meningkatkan prestasi dan produktiviti. Tahun 2008 akan menampilkan perancangan pelaksanaan ke atas program pembangunan yang menyeluruh dalam RMKe-9 yang kini mengalami momentum pelaksanaan yang pesat dan proses ini dijangka akan menjadi rancak dengan penglibatan sektor swasta. Sejajar dengan usaha ini, dan disokong oleh program modal insan yang menjurus ke arah pembentukan sosial kapital yang begitu kritikal, akan membawa impak ke atas pencapaian dan makna matlamat agenda pembangunan. Berpaksikan kepada lima teras Misi Nasional iaitu: (1) Memberi fokus kepada meningkatkan ekonomi dalam rantaian nilai lebih tinggi; (2) Meningkatkan keupayaan pengetahuan dan inovasi negara serta memupuk minda kelas pertama; (3) Menangani masalah ketidakseimbangan sosio-ekonomi secara membina dan produktif; (4) Meningkatkan tahap dan kemapanan kualiti hidup dan (5) Mengukuhkan keupayaan institusi dan pelaksanaan; maka Strategi Bajet Negeri adalah seperti berikut:
Pertama: Memastikan keberkesanan institusi sektor awam negeri menerusi langkah rasionalisasi dan penyelarasan serta memperkukuh tadbir urus dan pengurusan kewangan yang berupaya mendokong sistem penyampaian dan mengukuhkan daya saing;
Kedua: Memesat dan memantapkan pembangunan dan penyediaan infrastruktur dan kemudahan-kemudahan asas ke arah merangsang perkembangan ekonomi dan sosial dan penglibatan sektor swasta;
Ketiga: Memastikan pembangunan dan penggunaan sumber asli diurus dengan mapan dan persekitaran alam semula jadi dilindungi secara berkesan;
Keempat: Membangunkan program modal insan sebagai agen dan pemangkin kepada pertumbuhan dan penyertaan ekonomi moden; dan
Kelima: Memastikan rakyat berpeluang meningkatkan kesejahteraan dan kualiti hidup yang berterusan.
Tuan Speaker,
7. Dalam usaha ke arah mencapai matlamat Dasar Halatuju, kerajaan akan senantiasa menempuh pelbagai cabaran dan rintangan memandangkan rancangan pembangunan secara holistik yang perlu dicapai menjelang tahun 2015, memerlukan penyusunan rapi ke atas penggunaan sumber dan penyediaan perkhidmatan yang efektif. Dengan kelancaran perjalanan jentera pentadbiran awam, perbelanjaan berhemah serta usaha gigih yang ditunjukkan selama ini, kerajaan dapat membangunkan semula sumber asetnya, dan memanfaatkan pasaran komoditi yang memberangsangkan. Ini bukanlah idea atau elemen baru, tetapi adalah pencernaan elemen-elemen pengurusan dan pembangunan sumber-sumber oleh kerajaan negeri hari ini, yang meletakkan kepentingan negeri lebih daripada kepentingan individu. Justeru, kerajaan negeri telah dapat mengukuhkan kedudukan kewangan negeri, di mana Simpanan Negeri bertambah dari RM845.70 juta pada tahun 2005, kepada RM1,184.46 juta pada tahun 2006. Pada bulan September tahun ini Simpanan Negeri telah mencecah RM2,330.61 juta. Begitu juga dengan jumlah aset dalam Lembaran Imbangan tahun 2006 pada keseluruhannya, telah meningkat 44.4 peratus, iaitu daripada RM927.62 juta pada tahun 2005 kepada RM1,339.71 juta, pada tahun 2006. Buat pertama kalinya pada tahun 2006, kutipan hasil negeri melebihi RM2 ribu juta (RM2 billion) dalam bentuk tunai. Trend ini masih dapat dicapai pada tahun ini malah dijangka akan berterusan pada tahun hadapan, InsyaAllah. Walaupun pencapaian ke atas prestasi kewangan negeri ketika ini amat memberangsangkan, saya ingin menegaskan bahawa kerajaan akan terus mengamalkan perbelanjaan berhemah, tetapi tanpa menjejaskan penyediaan perkhidmatan kepada rakyat jelata malah akan sentiasa mengutamakan kemajuan dan kesejahteraan rakyat, khususnya yang tinggal di luar bandar. Disamping amalan perbelanjaan berhemah, Kerajaan Negeri akan terus memastikan pengurusan aset dan sumber kekayaan negeri seperti tanah, perhutanan dan alam sekitar, dan pembangunan sumber semulajadi, mengalami lonjakkan dan kepesatan hasil daripada pengurusan yang lebih baik.
Tuan Speaker,
8. Sektor awam yang menjadi tulang belakang utama atau penggerak dasar-dasar dan program-program pembangunan kerajaan telah dan akan sentiasa diberikan latihan bagi mempertingkatkan kemahiran, kebolehan dan daya kepimpinan yang tinggi. Saya yakin para penggerak sektor awam ini mempunyai keupayaan dan berwibawa dalam menjalankan dan menyempurnakan urusan sistem penyampaian. Pendekatan ini bukan sahaja dapat memberi kesan ke atas produktiviti penjawat awam tetapi dapat mengoptimakan penggunaan sumber melalui rasionalisasi yang efektif dan penyelarasan yang baik.
9. Negeri Sabah adalah negeri yang pertama mengumumkan penyemakan semula ke atas gaji pegawai dan anggota perkhidmatan awam selaras dengan kadar kenaikan gaji yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri pada 21 Mei 2007 yang melibatkan peruntukan RM97.0 juta. Saya yakin, kenaikan kadar gaji ini akan mendorong anggota perkhidmatan awam untuk meningkatkan prestasi perkhidmatan yang terbaik untuk rakyat dan seterusnya dapat memberi fokus dan sumbangan yang lebih bermakna. Di samping itu, kelayakan pinjaman perumahan bagi anggota perkhidmatan awam negeri telah dinaikkan kepada RM350 ribu maksimum daripada RM200 ribu. Begitu juga dengan kenaikan kadar elaun anggota pentadbiran luar bandar di kalangan Ketua Daerah, Ketua Kampung, Kapitan Cina dan Pengerusi JKKK, sesuai dengan perluasan peranan mereka sebagai penghubung antara kerajaan dengan rakyat dalam menyampaikan maklumat tentang dasar-dasar kerajaan yang relevan, untuk menjana program modal insan di kalangan penduduk luar bandar.
Tuan Speaker,
10. Saya ingin menegaskan bahawa kaedah dan kualiti pengurusan Hutan Simpan Negeri adalah antara yang terbaik di Negara ini kerana sumber negeri ditadbir urus dengan begitu berkesan walaupun banyak pendapat atau kritikan yang tidak bertanggungjawab dilemparkan untuk memperkecil-kecilkan usaha dan imej Jabatan Perhutanan dan sekaligus kerajaan negeri. Walaupun mengalami pengurangan dalam penuaian balak, sebanyak lebih kurang 30 peratus sebelum ini, disebabkan langkah-langkah diambil ke atas konservasi, namun sumber daripada hasil hutan masih dapat diraih setakat ini di antara RM400-RM500 juta setahun, yang mencerminkan peningkatan pulangan seunit padu meter melebihi RM100 meter padu berbanding tahun-tahun yang sudah. Dengan peluasan kaedah ‘Sustainable Forest Management’ (SFM) yang diamalkan di Deramakot ke kawasan-kawasan lain di Ulu Segama-Malua, Tangkulap-Pinangah, Kalabakan-Sapulut dan Trusmadi, fokus sekarang bukannya semata-mata ke atas pengeluaran balak, tetapi beralih kepada carbon trading, bio-diversiti, eko-pelancongan dan lain-lain produk. Inilah pendekatan kita dalam menjamin penjanaan kekayaan baru dalam jangka panjang yang bakal menggantikan pengeluaran balak secara tradisional. Kita akan lakukan rancangan ini bersungguh-sungguh dengan menggunakan segala instrumen kuasa yang ada, untuk memastikan agar 53 peratus kawasan tanah di negeri ini terus dilindungi menerusi konservasi hutan dan bio-diversiti. Pada masa yang sama, usaha ke atas pembangunan semula hutan menerusi program penanaman kayu dan pemuliharaan hutan, akan dilipatgandakan daripada saiz kawasan 270 ribu hektar, kepada tidak kurang 500 ribu hektar dalam masa sepuluh tahun.
Tuan Speaker,
11. Bagi merangsang pertumbuhan sektor pertanian, selain tanaman komersial, seperti kelapa sawit, getah dan koko, kerajaan juga memberi tumpuan serta galakan untuk membantu menjayakan pembangunan industri tenusu di negeri ini, khususnya di kawasan luar bandar. Industri tenusu yang telah dimulakan sejak tahun 1982 yang mampu menghasilkan 8 ribu liter susu segar, telah berjaya meningkatkan hasil susu tersebut kepada 8.4 juta liter pada tahun 2006, dan ini telah menjadikan Sabah sebagai pengeluar susu segar yang berkualiti dan tertinggi di negara ini. Kerajaan negeri amat prihatin terhadap kenaikan kos pengeluaran yang dialami oleh para penternak ini. Justeru, bagi memastikan industri ini tidak terjejas, maka insentif kadar subsidi disemak semula kepada 85 sen seliter daripada 50 sen seliter, tertakluk kepada kualiti susu. Pemberian insentif ini akan melibatkan penyediaan peruntukan sebanyak RM20.3 juta, pada tahun 2008, daripada anggaran RM16.5 juta tahun ini. Namun, kerajaan menegaskan agar para penternak ini meningkatkan tahap ‘cost-efficiency’ dan tidak terlalu bergantung kepada bantuan subsidi kerajaan semata-mata.
Tuan Speaker,
12. Menangani kemiskinan di Sabah adalah satu tanggungjawab yang tidak ada kompromi. Kerajaan negeri bersama-sama kerajaan persekutuan, akan membanteras kemiskinan dari setiap aspek, baik dari segi penyediaan keperluan asas, misalnya perumahan rakyat, bekalan air dan elektrik luar bandar mahupun aktiviti ekonomi yang boleh menjana pendapatan dan mengurangkan perbelanjaan. Usaha murni ini boleh dilaksanakan melalui program-program ekonomi yang berdaya saing dan mapan, secara berkelompok, khusus untuk golongan miskin dan termiskin dengan melibatkan agensi-agensi pembimbing untuk melaksanakan pelbagai program dalam sektor pertanian, perikanan, penternakan dan perniagaan kecil-kecilan, serta pembangunan sumber manusia. Program Mini Estet Sejahtera (MESEJ) yang dikendalikan oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah adalah di antara program yang diyakini berkesan menangani masalah kemiskinan, di mana sembilan (9) daripada tiga puluh (30) program adalah dalam beberapa peringkat pelaksanaan di kawasan-kawasan yang sesuai. Pada tahun hadapan, sebanyak RM14 juta adalah diperuntukkan untuk MESEJ. Dalam bidang pendidikan untuk pelajar-pelajar luar bandar, sebanyak RM13 juta telah diperuntukkan bagi program biasiswa. Sebagai tanda kesungguhan kerajaan untuk memajukan masyarakat luar bandar, maka dengan ini sebanyak RM36 juta diperuntukkan bagi pelbagai program pembangunan kecil luar bandar. Kerajaan yakin kemiskinan akan dapat ditangani melalui pendekatan yang realistik dan berterusan. Ini adalah satu agenda besar yang bernilai murni, yang melibatkan kerjasama semua pihak di setiap peringkat di negeri ini.
Tuan Speaker,
13. Langkah redressal yang ditekankan sejak lima tahun lalu, bersama-sama dengan usaha ke arah meningkatkan pengurusan kapasiti, bagi agensi-agensi awam negeri, adalah kritikal dalam penyertaan ekonomi, agar mereka dapat memainkan peranan aktif dalam pembangunan sosio-ekonomi untuk menangani kemiskinan, khususnya di luar bandar. Agensi-agensi negeri, kini telah juga diberi peluang untuk mengurus dana persekutuan sebanyak RM180.48 juta (daripada Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri dan dana Felda Sabah) sepanjang RMK9, di mana daripada jumlah tersebut, sebanyak RM66.06 juta telahpun disalurkan. Ini merupakan satu pengiktirafan kepada agensi-agensi negeri, yang telah meningkatkan tadbir urus yang baik dan memiliki penyata kewangan yang kemaskini. Di samping itu, kerajaan negeri menyediakan pemberian sebanyak RM103.00 juta untuk pengurusan dan RM54.33 juta untuk program pembangunan kepada agensi-agensi negeri pada tahun hadapan. Di antara agensi-agensi kerajaan yang mendapat pemberian negeri ialah Lembaga Pelancongan Sabah, Taman-Taman Sabah, Korporasi Pembangunan Desa, Ko-Nelayan, SAFODA, Lembaga Industri Getah Sabah, Yayasan Usaha Maju, Lembaga Sukan Negeri Sabah dan Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah.
14. Agensi-agensi kerajaan yang maju dan kukuh seperti Yayasan Sabah, Sawit Kinabalu Berhad, Sabah Development Bank, Perbadanan Pinjaman Sabah, Warisan Harta Sabah Bhd., Progressive Insurance Bhd., Kumpulan SEDCO, Sabah Energy Corporation dan Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar, pada tahun 2006 berupaya membayar dividen dan pinjaman negeri yang diperolehi berjumlah RM155 juta. Agensi-agensi berkenaan juga dapat memainkan peranan sosial mereka dalam pelaksanaan ‘Corporate Social Responsibility’ (CSR), di mana banyak agensi-agensi negeri telahpun mengamalkan peranan ini. Saya mengesyorkan agar program CSR berkenaan dapat mendokong antaranya latihan keusahawanan bumiputera dan program kebajikan. Syarikat GLCs yang lain seperti KKIP Sdn. Bhd., yang kini menunjukkan keuntungan melebihi paras RM1 juta sejak tahun 2005 dan POIC Sdn. Bhd. akan terus memainkan peranan mereka dalam pertumbuhan sektor perindustrian dan sektor perkhidmatan.
Tuan Speaker,
15. Kejayaan yang dialami oleh negara-negara maju adalah ditentukan oleh tahap penguasaan ilmu, kemahiran, inovasi dan usaha gigih rakyatnya, termasuklah insan yang berintegriti tinggi serta beretika mulia. Semua ini adalah menjurus ke arah mendokong pendekatan Islam Hadhari yang menekankan kekuatan akhlak, intelektual, mampu berdikari, berdaya saing, melihat kehadapan, inovatif serta cekap menangani cabaran-cabaran secara rasional dan praktikal. Dalam usaha menyediakan prasarana ke arah ini, kerajaan negeri akan terus menyediakan kawasan tapak yang dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan awam seperti Sandakan Education Hub yang meliputi kawasan seluas 1,356 ekar untuk institusi-institusi pengajian tinggi, pusat-pusat penyelidikan dan kolej swasta. Untuk tujuan ini, sebanyak RM200.0 juta diperuntukan dalam RMKe-9, di mana RM15.0 juta disediakan pada tahun hadapan. Di samping itu, struktur organisasi di Institut Latihan Teknik dan Perdagangan (ILTP) Papar, sedang dikaji semula dengan tujuan untuk dinaiktaraf ke tahap yang lebih tinggi, sebagai persediaan kepada usaha meningkatkan kemahiran teknik yang diperlukan di masa hadapan. Di masa yang sama, cawangan-cawangan perpustakaan termasuk perpustakaan bergerak dan desa, dan penyiapan pembinaan bangunan lapan (8) tingkat, Bangunan Ibu Pejabat Perpustakaan Kota Kinabalu, akan diteruskan. Bagi kesemua kemudahan-kemudahan ini, sebanyak RM13.83 juta adalah disediakan pada tahun hadapan. Di bawah program Pembangunan Sumber Manusia pula, lebih banyak program latihan kemahiran diadakan untuk membolehkan para belia lepasan sekolah rendah dan menengah mendapat pekerjaan atau ‘self-employment’. Saya berharap, melalui kaedah rasionalisasi Kementerian Belia Dan Sukan akan bekerjasama menjayakan apa jua program pembangunan belia yang dianjurkan. Dalam aspek pembangunan yang lain, kecerdasan dan kesihatan tubuh badan dan mental adalah juga perlu dalam kehidupan seharian. Justeru, program-program sukan adalah digalakkan, terutamanya kepada para golongan belia. Untuk ini, Kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM6.8 juta. Manakala program latihan kemahiran akan diperluaskan kepada golongan belia di luar bandar, termasuklah orang kurang upaya dan ibu tunggal, agar mereka boleh berdikari dan berupaya menyara kehidupan yang lebih bermakna dalam arus pembangunan negeri.
16. Kerajaan negeri amat peka dan menyedari akan peranan wanita sebagai nadi dalam pembangunan di negeri ini sesuai dengan cogankata Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang Negara. Tidak dinafikan bahawa atas kepercayaan yang diberikan, kaum wanita telah membuktikan kemampuan mereka dalam memikul dan melaksanakan tanggungjawab yang besar dan mencabar, demi mencemerlangkan negeri ini. Sebagai membuktikan lagi kesungguhan kerajaan dalam meningkatkan martabat kaum wanita di negeri ini, kajian Pelan Induk Pembangunan Wanita untuk tempoh sepuluh tahun telahpun diluluskan. Tujuan Pelan Induk ini ialah untuk menyediakan halatuju dan rangka kerja tindakan bagi meningkatkan kemajuan kaum wanita Sabah dalam arus perdana pembangunan ke arah pencapaian matlamat kesaksamaan gender dan untuk ini sebanyak RM500 ribu disediakan.
17. Dari aspek kemajuan ekonomi, pujian harus diberikan kepada kaum wanita luar Bandar, yang sanggup menyahut cabaran dalam menjayakan skim mikro kredit dengan sasaran menangani kemiskinan di luar bandar yang dikendalikan oleh Yayasan Usaha Maju. Mereka bukan sahaja telah bersungguh-sungguh memanfaatkan kemudahan kewangan yang disediakan demi untuk meningkatkan kualiti dan taraf hidup keluarga mereka, malah mampu membuat bayaran balik kepada pinjaman yang diberikan dengan prestasi sehingga 96 peratus. Syabas kita ucapkan kepada wanita-wanita Sabah khususnya mereka yang terlibat dalam pinjaman mikro kredit ini. Pinjaman secara kumulatif yang dikeluarkan sehingga penghujung September 2007 bernilai RM15.69 juta melibatkan 3,825 peminjam di mana daripada jumlah ini 1,547 orang adalah golongan miskin dan yang termiskin.
Tuan Speaker,
18. Pembangunan ICT akan terus diperhebatkan dan dipelbagaikan melalui aktiviti dan program ICT, bagi membangunkan sistem untuk meningkatkan serta menambahbaik pengurusan sektor awam dengan tujuan untuk memberi impak lebih berkesan kepada sistem penyampaian, serta usaha mengurangkan jurang digital di kalangan rakyat jelata. Pembangunan ICT akan juga menjadi penyumbang kepada pewujudan K-Ekonomi, dengan tumpuan diberikan kepada sektor-sektor strategik seperti pelancongan, pertanian, pembuatan dan pembelajaran. Untuk mendokong hasrat ini, kerajaan negeri akan bekerjasama dengan kerajaan persekutuan dan sektor swasta, untuk membangunkan sebuah MSC Cyber Centre dan memperluaskan liputan broadband. Di samping itu, kemudahan-kemudahan inkubator, penyelidikan dan pembangunan (R&D) akan disediakan bagi pembangunan technoprenuers. Manakala kapasiti asli dalam bentuk yang kreatif akan dibangunkan melalui Creative Multimedia Content. Untuk meneruskan komitmen kerajaan negeri dalam peningkatan pembangunan ICT bagi tahun 2008, sejumlah RM17.84 juta akan disediakan.
Tuan Speaker,
19. Penyertaan kaum bumiputera dalam arus perdana pembangunan adalah penting bagi meningkatkan taraf kedudukan sosio-ekonomi mereka. Sehubungan itu kerajaan akan terus memberi perhatian dengan menyediakan peruntukan melalui agensi-agensi pelaksananya bagi melaksanakan program-program yang relevan, khususnya untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam bidang keusahawanan. Program dan projek seperti latihan bagi pelajar-pelajar remaja, graduan dan wanita akan ditambah. Bagi memudahkan usahawan bumiputera memasarkan produk-produk serta menjalankan perniagaan mereka, premis perniagaan dan premis perindustrian khususnya dalam perusahaan kecil dan sederhana (SME) akan turut disediakan. Sebagai tambahan ke atas peruntukan daripada kerajaan persekutuan, dan menerusi peranan langsung agensi-agensi kerajaan, sejumlah RM12.97 juta diperuntukkan oleh kerajaan negeri untuk tujuan ini.
Ekonomi Dunia
20. Ekonomi dunia diunjurkan berkembang secara sederhana pada kadar 5.2 peratus dalam tahun 2007, dan 4.8 peratus pada tahun 2008, walaupun terdapat masalah yang berkaitan dengan pasaran sub-prime Mortgage di Amerika Syarikat, yang dijangka akan dapat diselesaikan menjelang penghujung tahun ini. Ekonomi Amerika Syarikat, diunjurkan berkembang pada kadar 1.9 peratus dalam tahun 2008, sementara pertumbuhan ekonomi di Kesatuan Eropah, dijangka berkembang secara sederhana kepada 2.1 peratus dalam tahun 2008. Bagi Asia, pertumbuhan ekonomi di negara China dan India, pada tahun 2008, adalah secara sederhana dengan pertumbuhan masing-masing dijangka sebanyak 10 peratus dan 8.4 peratus. Manakala pertumbuhan ekonomi Jepun dijangka bergerak perlahan dan menurun, daripada 2 peratus pada tahun 2007 kepada 1.7 peratus dalam tahun 2008.
21. Walaupun pertumbuhan yang sederhana diunjurkan bagi ekonomi dunia, namun ekonomi Malaysia dijangka berada pada tahap yang teguh (resilient) oleh kerana pertumbuhan dalam ekonomi Malaysia adalah didorongi oleh permintaan domestik yang kukuh dan dirangsang (spurred) oleh perbelanjaan kerajaan, kenaikan gaji kakitangan awam, pembangunan infrastruktur, aktiviti-aktiviti pembinaan dan pembangunan di beberapa koridor pembangunan. Insentif-insentif khas yang disediakan bagi beberapa koridor pembangunan akan menarik pelaburan yang lebih besar dalam ekonomi. Dan dengan kestabilan dalam ekonomi makro sebagaimana yang ditunjukkan oleh kadar inflasi yang sederhana dan kewangan kerajaan yang kukuh, pertumbuhan ekonomi dijangka sebanyak 6 peratus tahun ini dan 6.5 peratus pada tahun hadapan. Namun, cabaran utama yang dihadapi ekonomi Malaysia di masa hadapan adalah mentransformasikan ekonomi kepada fasa pembangunan yang lebih tinggi melalui peningkatan dalam produktiviti, daya saing dan inovasi ke arah sebuah ekonomi yang berasaskan pengetahuan atau K-Ekonomi.
Tuan Speaker,
Ekonomi Sabah
22. Bagi ekonomi Negeri Sabah, sektor luaran akan terus menjadi penggerak utama. Pertumbuhan ekonomi sebanyak 10 peratus pada suku pertama tahun ini, dan dengan dagangan dunia diunjurkan meningkat kepada 7.9 peratus daripada 7.1 peratus pada tahun ini momentum pertumbuhan dijangka berterusan dalam tahun 2008. Di samping itu negara-negara yang pesat membangun seperti China dan India, sebagai destinasi eksport negeri yang terbesar, pertumbuhan eksport negeri akan kekal cerah dalam beberapa tahun akan datang. Negara China yang merupakan destinasi eksport negeri yang terbesar merangkumi 20 peratus daripada jumlah eksport negeri, menyumbang sebanyak RM6.7 billion dalam suku kedua tahun 2007, manakala India sebanyak 11 peratus (RM1.63 billion). Pada suku kedua tahun 2007, lebihan dagangan negeri telah mencecah sebanyak RM2.4 billion. Eksport minyak sawit sahaja berjumlah RM5.0 billion, iaitu 34.6 peratus daripada jumlah eksport sebanyak RM14.4 billion pada suku kedua tahun 2007. Eksport minyak sawit telah meningkat kepada RM8.1 billion iaitu peningkatan sebanyak 14.1 peratus, daripada tahun sebelumnya, ekoran kenaikan dalam harga minyak sawit. Barangan eksport kedua terbesar adalah petroleum mentah, yang dinilai RM7.6 billion atau 20 peratus daripada jumlah eksport negeri. Ini diikuti oleh eksport produk-produk kayu balak, hot briquetted iron, metanol, getah dan biji koko.
23. Selain sektor eksport, pertumbuhan akan disokong oleh penggunaan swasta. Pada suku kedua tahun 2007, import barangan pengguna termasuk makanan, minuman, tembakau dan minyak sayur berkembang sebanyak 17.1 peratus, mencapai RM1.3 billion. Kenaikan gaji kakitangan awam baru-baru ini, akan meningkatkan lagi penggunaan domestik, dan oleh itu kadar inflasi naik sedikit daripada kadar semasa sebanyak 2 peratus, sebagaimana yang dicatat pada lapan bulan pertama tahun ini.
Tuan Speaker,
24. Seiringan dengan prospek pertumbuhan yang baik, sentimen para pelabur tetap kukuh sesuai dengan kenaikan sebanyak 12.3 peratus dalam jumlah pinjaman yang dikeluarkan oleh bank-bank komersial pada enam bulan pertama 2007. Kebanyakan pelaburan adalah dalam sektor hartanah, sektor perladangan, industri berasaskan agro, dagangan borong dan runcit, sektor perhotelan dan restoran, serta sektor binaan. Sektor hartanah merangkumi sebanyak 28.7 peratus (RM7.0 billion) daripada jumlah pinjaman oleh bank-bank komersial yang bernilai RM24.4 billion. Pinjaman-pinjaman komersial yang dikeluarkan kepada sektor borong, runcit, perhotelan dan restoran berjumlah RM2.9 billion manakala pinjaman-pinjaman yang dikeluarkan kepada sektor perladangan dan industri berasaskan agro, masing-masing berjumlah RM2.0 billion dan RM1.8 billion. Sektor binaan merangkumi RM1.6 billion daripada jumlah pinjaman yang dikeluarkan dalam enam bulan pertama tahun ini. Dengan kelonggaran dalam pemilikan asing ke atas rumah kediaman bernilai lebih RM250 ribu, pengecualian cukai keuntungan hartanah yang berkuatkuasa pada 1 April tahun ini, dan kebenaran kepada pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja mengeluarkan baki caruman untuk pembayaran pinjaman perumahan berkuatkuasa 1 Januari 2008, pelaburan dalam sektor kediaman dijangka meningkat.
Tuan Speaker,
25. Dengan iklim pelaburan yang bertambahbaik, sektor pembuatan telah dapat menarik lebih banyak pelaburan tahun ini. Pada separuh tahun pertama 2007, jumlah kelulusan pelaburan bagi sektor pembuatan adalah sebanyak RM2.7 billion berbanding RM632 juta pada tahun 2006. Jumlah besar pelaburan adalah ditumpukan kepada bio-disel, biomass, minyak sawit dan industri makanan (makanan laut).
26. Bagi menyokong inisiatif sektor swasta, pelaburan awam akan ditumpukan kepada penyediaan kemudahan-kemudahan infrastruktur asas dan awam. Pada masa yang sama, kerajaan akan meneruskan usaha untuk mengurangkan kemiskinan dan merapatkan jurang pembangunan di antara wilayah dalam negeri. Dengan ini peruntukan negeri sebanyak RM839.28 juta adalah dicadangkan, dan dengan tambahan sebanyak RM4 billion daripada kerajaan persekutuan bagi tahun 2008, kepesatan pelaksanaan projek dijangka akan lebih pantas. Pelaburan awam bagi menyokong pembangunan Koridor Pembangunan Sabah dan projek-projek mercu tanda (flagship) akan diberi penekanan.
Tuan Speaker,
27. Penggunaan awam (public consumption) diunjurkan teguh ekoran jangkaan kenaikan dalam perbelanjaan sebagai sebahagian daripada usaha-usaha yang sedang berjalan untuk menambahbaik sistem penyampaian kerajaan, dan membina kapasiti kakitangan awam. Dari segi bekalan, komposisi pertumbuhan dijangka datangnya daripada sektor pertanian, sektor pembuatan, sektor binaan dan sektor perkhidmatan. Sektor perkhidmatan terus menjadi pemacu utama pertumbuhan dalam tahun 2007, dan dijangka berkembang dengan begitu pesat yang diterajui oleh industri pelancongan, sektor borong dan dagangan runcit, serta sektor perhotelan dan restoran. Dengan pengaruh sektor minyak kelapa sawit, prospek sektor pertanian adalah menggalakkan. Pengeluaran minyak sawit mentah meningkat sebanyak 82,000 tan untuk mencapai 3.4 juta tan dalam lapan bulan pertama tahun 2007 berbanding tempoh yang sama tahun lepas. Harga minyak sawit dijangka kekal baik melebihi RM2 ribu se tan, kerana dijangka terdapat permintaan tinggi daripada negara-negara pengguna. Dengan harga getah telah mencapai RM7 ringgit se kilogram, pertumbuhan jumlah eksport getah adalah sebanyak 25.3 peratus manakala nilai eskport telah mencapai rekod yang tinggi sebanyak RM488.7 juta pada tahun 2006, berbanding dengan RM282.9 juta pada tahun sebelumnya. Prospek yang cerah bagi komoditi getah dijangka akan menjana lebih banyak pelaburan dalam sektor perladangan getah.
Tuan Speaker,
28. Industri pelancongan kekal maju, kerana Sabah terus menjadi destinasi terkenal, bukan sahaja dalam pelancongan alam semula jadi dan pengembaraan, malah juga bagi “Meetings, Incentives, Convention and Exhibition (MICE)”. Dalam sembilan bulan pertama tahun 2007, kedatangan pelawat ke dalam negeri ini telah mencatat pertambahan sebanyak 14.4 peratus (1,749,843 pelawat) berbanding tempoh yang sama dalam tahun 2006. Pelawat antarabangsa telah bertambah sebanyak 23.4 peratus (640,788 pelawat), manakala pelawat domestik mencatat pertumbuhan sebanyak 9.4 peratus (1,079,055 pelawat). Permintaan bagi bilik-bilik hotel juga menggalakkan, sebagaimana yang dicerminkan dalam kenaikan yang kukuh dalam kadar-kadar bilik hotel. Kadar penginapan (occupancy rate) hotel kekal tinggi pada purata 72 peratus dalam lima bulan pertama tahun 2007. Dalam lapan bulan pertama tahun ini, terdapat pertambahan 578 bilik hotel dalam pasaran, dengan pembukaan tujuh buah hotel dalam negeri. Pada ketika ini terdapat dua buah hotel atau resort baru yang sedang dalam pembinaan, manakala lapan buah hotel lagi telah dirancang, dan ini akan menambah sebanyak 2,000 bilik hotel dalam pasaran, apabila kesemuanya siap kelak. Sektor borong dan dagangan runcit, telah juga bertambah, dengan pembinaan dan pembukaan lebih banyak kompleks-kompleks membeli belah sekaligus peningkatan kadar pengisian premis-premis perniagaan berkenaan.
Tuan Speaker,
29. Bagi sektor pembuatan pula, eksport barangan pembuatan dalam tahun 2006 mencatat pertumbuhan yang ketara sebanyak 11.4 peratus, berikutan permintaan yang tinggi bagi produk-produk kayu balak. Eksport produk-produk kayu balak meningkat kepada RM 3 billion dalam tahun 2006, daripada RM 2.7 billion dalam tahun 2005. Trend ini digambarkan akan berterusan, kerana eksport produk-produk kayu balak telah merekodkan kenaikan sebanyak 9.3 peratus dalam suku kedua tahun 2007, berjumlah RM 1.6 billion, daripada RM 1.5 billion dalam tempoh yang sama dalam tahun 2006.
30. Pembinaan hartanah kediaman, perhotelan, lot-lot kedai komersial dan gedung perniagaan, akan mempengaruhi lanskap negeri terutamanya Bandaraya Kota Kinabalu, dalam dua hingga lima tahun akan datang. Pada enam bulan pertama 2007 sahaja, 13 projek kediaman dan 21 projek lot-lot kedai komersial telah dimulakan di bandaraya ini. Dalam sektor perindustrian, projek-projek besar dalam pembinaan ialah Palm Oil Industrial Cluster di Lahad Datu, dan KKIP’s Small and Medium Industry (SMI) Ready Build Factories.
31. Sektor kecil kejuruteraan sivil, dijangka bertambah dalam tahun ketiga RMK9. Projek-projek infrastruktur utama, termasuklah Jejantas Karamunsing (flyover), jalanraya Sapulut-Kalabakan, jalanraya Sipitang-Tenom, Sandakan Northern Ring Road dan menaiktaraf jalanraya Sukau-Kinabatangan. Projek-projek besar bekalan air yang sedang dalam pembinaan ialah di Kota Belud, Sandakan, Kudat dan Papar. Dengan terdapatnya pertambahan dalam permintaan domestik, aktiviti-aktiviti pembinaan, serta persekitaran luaran yang stabil dan pertumbuhan ekonomi negeri dijangka dalam sekitar 6 peratus pada tahun 2007 dan 2008.
Tuan Speaker,
Hasil Negeri
32. Hasil Negeri Sabah dianggarkan sebanyak RM2,333.19 juta pada tahun 2008. Amaun ini apabila dibandingkan dengan hasil disemak bagi tahun 2007 berjumlah RM2,265.69 juta, menunjukkan peningkatan sebanyak RM67.50 juta. Kerajaan negeri mempunyai keyakinan penuh, bahawa sasaran baru ini boleh dicapai dengan melihat prestasi yang begitu menggalakkan tahun ini, di mana sasaran asal hasil negeri, iaitu RM1,899.49 juta, yang dijangka dapat dikutip pada tahun ini, kini disemak semula kepada RM2,265.69 juta, iaitu peningkatan sebanyak RM366.20 juta, atau 19 peratus. Pecahan anggaran hasil bagi tahun 2008 mengikut tiga (3) kategori utama ialah: RM882.26 juta atau 38 peratus melalui Hasil Cukai, RM1,183.96 juta atau 51 peratus melalui Hasil Bukan Cukai dan RM266.97 juta atau 11 peratus melalui Terimaan Bukan Hasil.
Tuan Speaker,
33. Cukai Jualan terus mengungguli kategori Hasil Cukai. Pada tahun lalu, kutipan melalui Cukai Jualan berjumlah RM656.07 juta. Manakala pada tahun ini, anggaran disemak ialah RM738.00 juta berbanding dengan anggaran asal berjumlah RM579.00 juta, yang menunjukkan peningkatan lebih kurang 27 peratus. Bagi tahun 2008, sebanyak RM833.00 juta dianggarkan dapat diperolehi melalui Cukai Jualan, atau hampir 36 peratus daripada jumlah keseluruhan hasil negeri.
Tuan Speaker,
34. Cukai Jualan Minyak Sawit Mentah sekali lagi adalah penyumbang tertinggi bagi satu item dengan anggaran RM765.00 juta, atau lebih kurang 33 peratus daripada keseluruhan hasil negeri bagi tahun hadapan. Dengan harga dijangka terus berada di atas RM2 ribu setan metrik, anggaran disemak bagi tahun 2007 berjumlah RM670.00 juta, peningkatan hampir 30 peratus berbanding anggaran asal sebanyak RM517.00 juta. Dua item lain dalam komponen ini ialah Cukai Jualan Tiket Loteri dan Cukai Jualan melalui Mesin Slot masing-masing dianggarkan sebanyak RM60.00 juta dan RM8.00 juta.
35. Juga penyumbang penting di bawah kategori Hasil Cukai ialah Sewa Tanah. Anggaran disemak bagi tahun 2007 ialah RM42.00 juta, meningkat sedikit berbanding anggaran asal sebanyak RM40.00 juta. Jabatan Tanah dan Ukur yakin, bahawa dengan pendekatan dan kemudahan baru, kutipan pada tahun 2008 boleh ditingkatkan sehingga RM48.00 juta. Sebanyak RM1.26 juta dijangka dapat dikutip melalui Cukai Pelabuhan dan Dermaga pada tahun hadapan, sedikit penurunan berbanding dengan anggaran asal sebanyak RM1.30 juta pada tahun ini. Dengan ini, jumlah keseluruhan Hasil Cukai dianggarkan berjumlah RM882.26 juta bagi tahun 2008, peningkatan sebanyak RM101.01 juta atau hampir 13 peratus berbanding anggaran hasil disemak RM781.25 juta pada tahun ini.
Tuan Speaker,
36. Seperti pada tahun-tahun sebelumnya, Royalti terus menjadi penyumbang utama di bawah kategori Hasil Bukan Cukai dengan anggaran berjumlah RM708.62 juta, atau lebih kurang 30 peratus daripada hasil negeri bagi tahun 2008. Sebanyak RM466.33 juta dianggarkan oleh PETRONAS sebagai bayaran Royalti Petroleum kepada Negeri Sabah pada tahun hadapan. Amaun ini mewakili hampir 20 peratus jumlah keseluruhan hasil negeri pada tahun 2008. Anggaran disemak bagi tahun 2007 ialah RM365.37 juta, pertambahan lebih 10 peratus berbanding anggaran asal sebanyak RM330.80 juta. Perlu dinyatakan di sini bahawa tiga elemen penting, iaitu jumlah pengeluaran, harga minyak mentah dan kadar tukaran wang asing, akan menentukan jumlah sebenar bayaran Royalti Petroleum yang bakal diterima.
37. Jabatan Perhutanan menganggarkan hanya RM235.00 juta dapat dikutip melalui Royalti dan Bayaran Keluaran Hutan pada tahun 2008, berbanding dengan anggaran disemak berjumlah RM355.30 juta bagi tahun ini. Royalti Eksport Kayu Diproses dianggarkan sebanyak RM7.30 juta pada tahun hadapan, menunjukkan sedikit penurunan berbanding dengan anggaran disemak RM7.58 juta bagi tahun ini. Hasil keseluruhan daripada sektor perhutanan dijangka menurun kerana penurunan pengeluaran balak pada tahun hadapan kepada 3.5 juta meter padu di mana 3 juta meter padu untuk kegunaan tempatan manakala selebihnya bagi tujuan eksport.
38. Bayaran Premium juga merupakan satu lagi penyumbang penting dalam kategori Hasil Bukan Cukai. Hanya RM136.00 juta dijangka dapat dikutip melalui Premium pada tahun hadapan, berbanding dengan anggaran disemak RM154.15 juta tahun ini. Penurunan dijangka daripada Premium Kayu Balak di mana RM36.00 juta sahaja dianggarkan pada tahun 2008, berbanding dengan anggaran disemak RM54.00 juta bagi tahun 2007. Walau bagaimanapun, Premium dari Jualan Tanah dijangka dapat menyumbang RM100.00 juta pada tahun hadapan, lebih kurang sama dengan anggaran disemak sebanyak RM100.15 juta pada tahun ini.
39. Perolehan Dari Jualan Barang-barang dianggarkan dapat menghasilkan sebanyak RM137.03 juta, sedikit peningkatan berbanding dengan anggaran disemak RM135.20 juta bagi tahun ini. Jualan Air, merupakan penyumbang utama dalam komponen ini dengan jumlah RM103.98 juta, diikuti oleh Jualan Sarang Burung, dengan sumbangan sebanyak RM18.00 juta, Jualan Susu Segar RM8.50 juta, manakala RM2.06 juta daripada Jualan Benih-benih Pertanian, RM1.28 juta daripada Jualan Benih Sawit, RM1.20 juta daripada Jualan Alat-alat Tulis, dan RM1.00 juta daripada Jualan Ternakan dan Hasilnya.
40. Sebanyak RM120.09 juta dianggarkan dapat perolehi melalui Faedah dan Perolehan dari Pelaburan pada tahun hadapan. Di bawah komponen ini, Dividen Perbadanan-Perbadanan Awam adalah penyumbang tertinggi dengan anggaran RM80.00 juta pada tahun 2008 manakala anggaran disemak pada tahun ini dijangka berjumlah RM70.00 juta. Pada tahun hadapan, Faedah atas Baki Wang Tunai dan Simpanan Jangka Pendek dianggarkan berjumlah RM32.00 juta. Lain-lain termasuklah Faedah dari Pinjaman-Pinjaman kepada Badan-Badan Berkanun (RM4.00 juta), Faedah dari Pinjaman-Pinjaman kepada Perbadanan-Perbadanan Awam (RM2.00 juta), dan Faedah daripada Pinjaman yang lain (RM2.00 juta).
41. Di bawah komponen Sewaan, hanya RM15.17 juta dianggarkan pada tahun 2008, manakala anggaran disemak bagi tahun ini berjumlah RM20.56 juta. Penurunan ini disebabkan oleh perjanjian sewaan di antara Kerajaan Negeri Sabah dengan Sime Darby Sdn. Bhd. atas bangunan Wisma Sime Darby di Kuala Lumpur yang akan tamat pada bulan Jun tahun hadapan. Di bawah Kontrak sewaan baru dijangka akan hanya bernilai RM10.00 juta setahun. Sewa melalui Bangunan Wisma Tun Fuad dianggarkan sebanyak RM1.20 juta pada tahun 2008.
42. Melalui Bayaran Perkhidmatan dan Ikhtisas, sebanyak RM13.51 juta dianggarkan pada tahun 2008, lebih kurang sama dengan anggaran disemak iaitu RM13.73 juta pada tahun ini. Antara penyumbang dalam komponen ini ialah Jabatan Perhutanan (RM4.00 juta), Jabatan Cetak (RM2.30 juta), Jabatan Air (RM1.52 juta), Jabatan Kerja Raya (RM1.20 juta), Jabatan Haiwan (RM1.20 juta) dan Jabatan Keretapi (RM690 ribu).
43. Sebanyak RM47.91 juta dijangka daripada Pelbagai Hasil di bawah kategori Hasil Bukan Cukai, lebih kurang sama dengan jumlah disemak RM47.20 juta bagi tahun ini. Item terbesar dalam komponen ini ialah Perolehan daripada Pemindahan Pinjaman-Pinjaman kepada Kumpulan Wang Badan-Badan Berkanun dan Lain-lain yang dijangka dapat menyumbang sebanyak RM20.00 juta pada tahun ini dan juga pada tahun 2008. Hasil-hasil pelbagai lain termasuk Pelbagai Hasil Hutan (RM13.00 juta), Hasil-hasil Lain Tanah dan Ukur (RM8.00 juta), Pelbagai Hasil Air (RM2.50 juta) dan Lebihan yang Terdapat Balik (RM1.00 juta).
Tuan Speaker,
44. Kategori terakhir Hasil Negeri iaitu Terimaan Bukan Hasil dijangka dapat meyumbang sebanyak RM266.97 juta, atau lebih kurang 11 peratus daripada jumlah keseluruhan hasil negeri pada tahun hadapan. Kategori ini sebahagian besarnya merangkumi Geran dan Pemberian daripada Kerajaan Persekutuan yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan dan bakinya sebanyak RM303 ribu daripada Pulangan Balik Perbelanjaan. Geran dan Pemberian Persekutuan termasuklah Pemberian Bagi Membiayai Perbelanjaan Mengurus Bagi Jabatan-Jabatan di bawah Senarai Bersama dengan RM50.60 juta, Pemberian Mengikut Kiraan Kepala (RM42.95 juta), Pemberian Khas (RM26.70 juta), Sumbangan kepada Kos Perlaksanaan Projek Pembangunan Persekutuan (RM20.95 juta), Pemberian Pertambahan Hasil (Bahagian Pertama) (RM4.00 juta) dan Pemberian Bagi Membiayai Perbelanjaan Mengurus Jabatan Muzium (RM1.4 juta).
45. Mengenai Pemberian untuk menggantikan Duti Import dan Eksais ke atas Barangan Petroleum yang dimansuhkan mulai tahun 2000, kerajaan persekutuan telah bersetuju bahawa bayaran sebanyak RM120.00 juta setahun akan diberikan kepada Negeri Sabah mulai tahun ini. Jumlah ini adalah lebih baik berbanding dengan peruntukan sebanyak RM50.00 juta setahun yang disediakan bagi item ini sebelum ini. Adalah menjadi tanggungjawab penting bagi kerajaan negeri untuk terus giat membuat perundingan dengan Kerajaan Persekutuan agar Pemberian Khas dalam Perlembagaan Persekutuan dapat dikaji semula. Pemberian Khas sebanyak RM26.70 juta adalah amaun yang sama sejak tahun 1973. Respon positif yang diberikan oleh Perbendaharaan Persekutuan dalam perjumpaan terakhir adalah menggalakkan, dan saya yakin ini akan menghasilkan penyelesaian yang positif dalam masa terdekat.
46. Bermula pada tahun hadapan, dua kod baru diwujudkan iaitu Bon dan Sumbangan daripada Entiti-Entiti Tertentu di bawah kategori Terimaan Bukan Hasil. Ini adalah bertujuan bagi menampung kemungkinan menerima pendapatan melalui bon dan sumbangan atau derma daripada entiti-entiti tertentu. Langkah ini akan memperkukuhkan lagi kapasiti kewangan negeri.
Tuan Speaker,
47. Saya mencadangkan sejumlah RM2,301.15 juta diperuntukkan bagi Perbelanjaan Perbekalan untuk tahun 2008. Dengan Anggaran Hasil bagi tahun 2008 sebanyak RM2,333.19 juta, Anggaran Negeri bagi tahun hadapan mempunyai lebihan sebanyak RM32.04 juta. Alhamdulillah, dengan pengukuhan dan kestabilan kewangan pada masa ini membolehkan saya mencadangkan satu jumlah peruntukan yang terbesar dalam sejarah Bajet Negeri Sabah yang pernah disediakan bagi meneruskan momentum pembangunan Negeri Sabah ke arah Kestabilan Dan Kemajuan Yang Berterusan.
Tuan Speaker,
48. Cadangan anggaran untuk Emolumen adalah sebanyak RM596.41 juta meningkat sebanyak RM28.56 juta atau 5.02 peratus berbanding anggaran yang disemak tahun 2007 sebanyak RM567.85 juta. Selain daripada kenaikan gaji tahunan dan penyelarasan gaji mulai Julai, 2007, pertambahan ini adalah untuk menampung pengisian beberapa jawatan kosong dan pewujudan jawatan baru berikutan penyelarasan struktur Sistem Saraan Malaysia (SSM) dan bagi jabatan yang berperanan kritikal. Manakala, sebanyak RM730.84 juta disyorkan untuk Perbelanjaan Berulang, meningkat sebanyak RM20.42 juta atau 2.87 peratus berbanding dengan anggaran tahun ini sebanyak RM710.42 juta. Seterusnya, sebanyak RM973.90 juta disyorkan untuk Perbelanjaan Khas.
Tuan Speaker,
49. Tumpuan Bajet 2008 antaranya adalah untuk mengukuhkan pengurusan kapasiti operasi jabatan-jabatan yang memberi sumbangan ketara dalam pemungutan hasil seperti Jabatan Perhutanan, Jabatan Air, Jabatan Tanah dan Ukur dan sebagainya. Dalam bajet 2008, Jabatan Perhutanan diperuntukkan sejumlah RM83.70 juta berbanding dengan RM78.47 juta dalam tahun ini, bagi menampung program-program seperti: Pembangunan dan Pemuliharaan Hutan; Promosi Hasil Perhutanan; Pengembangan dan Pelajaran Perhutanan; Program Pendidikan Alam Sekitar; Penyelidikan Sektor Hutan Asli, Peladangan Hutan dan Sektor Hasil Hutan. Jabatan Air pula diperuntukkan sejumlah RM281.84 juta dalam bajet 2008 bagi menampung program seperti Operasi Pengeluaran Air; Operasi Penyenggaraan; Pemantapan Sistem Pemungutan Hasil, Penguatkuasaan, Perkhidmatan Pengguna dan Perhidmatan Bencana Alam. Jabatan Tanah dan Ukur diperuntukkan sejumlah RM62.70 juta bagi melaksanakan program-program seperti Pengurusan Tanah dan Penguatkuasaan, Pengukuran Cadastral, Pemetaan, Infrastrukur Data Spatial, Penyenggaraan dan Pembangunan Sumber.
Tuan Speaker,
50. Kerajaan juga memberi penekanan ke atas kapasiti pengurusan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan agensi-agensi kerajaan supaya dapat dipertingkatkan untuk menemui hasrat rakyat jelata menerusi perkhidmatan yang baik terutamanya dalam kebersihan dan pengindahan persekitaran. Di bawah peruntukan Kementerian Kerajaan Tempatan Dan Perumahan (KKTP), sejumlah RM44.21 juta disediakan sebagai caruman dan pemberian dan lain-lain perbelanjaan, antaranya; Penggantian Kadar, Caruman Pemeliharaan Kawasan, Rancangan Pembetungan, Bayaran Lampu Jalan Raya, Pembinaan Sistem Saluran, Penyenggaraan Taman dan Kemudahan Awam, Penyenggeraan Titian umum dan sebagainya. Dewan Bandaraya Kota Kinabalu pula diperuntukkan sejumlah RM11.8 juta sebagai pemberian ke atas pengurusan dan operasi.
Tuan Speaker,
51. Pejabat Hal Ehwal Anak Negeri Sabah di bawah Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan yang akan dipertanggungjawabkan ke atas pengurusan dan Pentadbiran Mahkamah Anak Negeri daripada pejabat-pejabat daerah, diperuntukan sebanyak RM18.16 juta. Selain memperkasakan Pejabat Hal Ehwal Anak Negeri, bajet yang diberikan adalah bertujuan untuk memudahkan pembayaran elaun-elaun Ketua Daerah, Ketua Anak Negeri, Wakil Ketua Anak Negeri, Ketua Masyarakat Cina dan Ketua Kampung. Berikutan ini, kerajaan seterusnya menghargai peranan Pengerusi-Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dengan menaikkan elaun Pengerusi JKKK daripada RM100.00 kepada RM200.00 sebulan. Untuk maksud ini, sejumlah RM7.2 juta diperuntukkan kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar. Usaha ini adalah juga sebagai mengiktiraf dan memantapkan lagi institusi Mahkamah Anak Negeri dan institusi JKKK sejajar dengan keperihatinan kerajaan bahawa kepimpinan di peringkat akar umbi adalah penting sebagai usaha membawa kemajuan kepada masyarakat luar bandar. Sesungguhnya, masyarakat desa dan luar bandar, iaitu golongan akar umbi, adalah kumpulan terbesar yang menjadi penyokong dan pendokong dasar-dasar kerajaan dalam memastikan kejayaan dan kecemerlangan kerajaan.
Tuan Speaker,
52. Penguasaan ilmu, memiliki dan menambah bidang kemahiran bagi melahirkan tenaga kerja yang serbaboleh atau multi-skilled dan multi-talented workers, adalah harapan dan wawasan kita. Justeru, sebagai elemen penting untuk melahirkan generasi yang berpengetahuan, berdaya saing dan berdaya tahan, program pembangunan sumber manusia sebagai modal insan diperuntukkan sebanyak RM55.8 juta. Peruntukan ini meliputi pemberian biasiswa sejumlah RM25.0 juta; bagi latihan dan kursus dalam perkhidmatan awam sejumlah RM10.0 juta; dan pemberian kepada sekolah-sekolah persendirian adalah sejumlah RM8.0 juta. Peruntukan sebanyak RM9.8 juta lagi adalah juga disediakan untuk latihan tenaga kerja yang dikendalikan melalui latihan vokasional dan kemahiran oleh Jabatan Pertanian, Jabatan Perhutanan dan Jabatan Pembangunan Sumber Manusia.
Tuan Speaker,
53. Kerajaan sentiasa prihatin terhadap tanggungjawabnya, bagi membela golongan yang kurang bernasib baik dan mereka yang memerlukan sokongan dan bantuan. Oleh itu, program sosial dan kebajikan am akan diteruskan melalui bantuan am, bantuan orang tua, bantuan kepada anak-anak yatim dan miskin, dan lain-lain dengan peruntukan sejumlah RM29.03 juta. Atas keprihatinan kerajaan, sebuah pusat orang cacat pengelihatan yang menelan belanja RM5.0 juta sedang dibina di Sandakan. Di samping itu, sejumlah RM26.07 juta disediakan untuk program-program pembangunan masyarakat, di mana sebanyak RM23.0 juta adalah untuk pengagihan minuman susu secara percuma kepada murid-murid sekolah rendah, pemberian peralatan dan pakaian serta kasut sekolah. Bantuan orang susah sebanyak RM50 ribu bagi setiap kawasan Ahli Dewan Undangan Negeri akan juga diteruskan.
Tuan Speaker,
54. Pengagihan peruntukan Perbelanjaan Perbekalan bagi tahun 2008 mengikut Kementerian adalah seperti berikut:-
|
Bil. |
Kementerian |
2008 (RM Juta) |
Peratus |
|
1. |
Kementerian Kewangan |
721.87 |
31.37 |
|
2. |
Kementerian Pembangunan Infrastruktur |
497.07 |
21.60 |
|
3. |
Jabatan Ketua Menteri |
354.97 |
15.43 |
|
4. |
Kementerian Pertanian dan Industri Makanan |
241.18 |
10.48 |
|
5. |
Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna |
93.08 |
4.04 |
|
6. |
Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar |
86.40 |
3.75 |
|
7. |
Kementerian Pembangunan Luar Bandar |
53.73 |
2.33 |
|
8. |
Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan |
73.83 |
3.20 |
|
9. |
Kementerian Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat |
49.44 |
2.15 |
|
10. |
Kementerian Belia dan Sukan |
28.67 |
1.24 |
|
11. |
Kementerian Pembangunan Perindustrian |
8.27 |
0.35 |
|
12. |