|
UCAPAN BAJET 2005 Tuan Speaker, 1. Dengan hormatnya, saya mohon membentangkan Bajet Negeri bagi tahun 2005 untuk kelulusan Dewan Yang Mulia ini. 2. Saya mengucapkan syukur kehadrat Allah S.W.T. kerana dengan izinNya jua saya dapat membentangkan Bajet Negeri Sabah tahun 2005 di Dewan Yang Mulia ini. Bajet ini merupakan yang pertama sejak Kerajaan Barisan Nasional diberi mandat yang padu oleh rakyat jelata dalam pilihanraya umum yang berlangsung pada bulan Mac tahun ini. Mandat ini amat bermakna sekali untuk kita meneruskan tanggungjawab serta amanah dan kepercayaan yang rakyat letakkan di bahu Kerajaan hari ini untuk membina masa depan mereka dan negeri ini. Pencapaian pembangunan Kerajaan Barisan Nasional masa kini khususnya dalam konteks pembangunan infrastruktur, pengurusan kewangan Kerajaan Negeri, peningkatan kecekapan jentera pentadbiran Kerajaan dan agensiagensi mahupun syarikat-syarikat milik Kerajaan menunjukkan bahawa kita berada di landasan yang tepat dan selari dengan aspirasi rakyat secara keseluruhannya. Walaupun Bajet 2005 adalah tahun terakhir bagi Rancangan Malaysia ke-Lapan (RMK8), namun saya sifatkan ianya sebagai titik-tolak yang signifikan sebagai landasan kepada penyediaan perancangan pembangunan ekonomi dan sosial sebelum kita melangkah ke Rancangan Malaysia ke-Sembilan (RMK9). Tuan Speaker, 3. Tema "Menjamin Kesinambungan Kejayaan" dalam Bajet Negara 2005 yang dibentangkan pada 10 September 2004, oleh YAB Perdana Menteri Malaysia , telah memaparkan kejayaan pertumbuhan ekonomi negara yang semakin kukuh sebagai landasan untuk mencapai lebih banyak kejayaan di masa hadapan. Dengan kestabilan politik dan kerjasama yang erat di antara pemimpin Persekutuan dan negeri berserta dasar Kerajaan yang pragmatik, agenda pembangunan negeri juga semakin kukuh. Di masa-masa yang lalu, Kerajaan Negeri telah mengalami pelbagai cabaran akibat berlakunya penggunaan dan pengurusan sumber kewangan yang kurang produktif dan aset-aset Kerajaan yang diurus tidak berasaskan keutamaan. Kita tidak ada pilihan, melainkan untuk terus berusaha bersungguh-sungguh untuk mengukuhkan dan memantapkan pengurusan sumber-sumber negeri untuk menampung perbelanjaan yang bertambah dan menjamin pembangunan fizikal dan seterusnya, meningkatkan kualiti hidup rakyat negeri ini dari semasa ke semasa. Beberapa isu contemporary yang penting, seperti meningkatkan langkah-langkah keselamatan; pewujudan peluang-peluang pekerjaan; penyediaan infrastruktur dan utiliti asas; dan sosial seperti perumahan; mengurangkan kadar kemiskinan; dan pemuliharaan serta perlindungan alam sekitar, yang kini menjadi isu semasa akan diberi perhatian sewajarnya. Tuan Speaker, 4. Pada tahun 2001, sejurus selepas saya mengambilalih portfolio kewangan negeri, langkah-langkah redressal Kerajaan telah dilakukan demi untuk mengukuhkan pengurusan sumber-sumber negeri. Beberapa program penswastaan yang melibatkan komitmen besar ke atas perbelanjaan awam telah dikaji semula. Ini termasuklah memberi tumpuan untuk mengelakkan perbelanjaan awam yang berlebihan menerusi penekanan ke atas perbelanjaan berhemat, berintegriti dan telus. Begitu juga dengan langkah mengurus aset atau harta awam menerusi proses konsolidasi, di mana Kerajaan telah bersungguh-sungguh untuk merundingkan semula perjanjian-perjanjian lalu dan mempastikan semua urusan harta awam memihak kepada kepentingan awam dan tidak hanya sekadar memenuhi syarat-syarat perjanjian yang berat sebelah. 5. Kerajaan Negeri bertekad dan komited meneruskan agenda pembangunan walaupun berada dalam keadaan ini. Sungguhpun sumber kewangan negeri terbatas, pada hemat saya, ianya tidak sepatutnya menjadi halangan. Kerajaan Negeri akan terus berusaha untuk meningkatkan amalan budaya pengurusan yang cekap, berkesan dan terancang di antara jabatan-jabatan negeri dan persekutuan menerusi mekanisme penyelarasan dan konsolidasi. Penubuhan sebuah Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Negeri bagi maksud ini, adalah satu-satunya sumber kekuatan kita untuk memacu pertumbuhan di negeri ini dengan lebih dinamik lagi. Agensi-agensi awam negeri telah juga menunjukkan prestasi yang baik walaupun masih terdapat beberapa agensi memerlukan bantuan kewangan negeri untuk bayaran gaji dan operasi mereka. Mereka telah diarah untuk mewujudkan pelan korporat masing-masing yang pragmatic dan Kerajaan akan mengikhtiarkan bersama untuk memulihkan keupayaan mereka supaya dapat berdikari dari aspek kewangan. Tuan Speaker, 6. Kita juga akan terus berusaha dan mencari jalan merealisasikan sovereign competitive edge sejajar dengan seruan YAB Perdana Menteri; kerana kita akan terus berada dalam lingkaran kancah globalisasi dan sewajarnya, strategi-strategi yang dinamik adalah sentiasa berguna untuk memperhebatkan persaingan. Justeru, tema Bajet Negara 2005, akan menjadi nadi penggerak untuk strategi Bajet Negeri mahupun dalam persiapan Rancangan Malaysia ke-Sembilan bagi negeri Sabah . Pada setiap tahun jumlah peruntukan yang diperlukan adalah dalam lingkungan RM2 bilion untuk perbelanjaan tanggungan negeri; perbelanjaan perbekalan dan pembangunan. Kerajaan Negeri akan berusaha membekalkan peruntukan di sekitar purata 70 peratus hingga 75 peratus setahun daripada keperluan ini, termasuk mendapatkan bantuan pinjaman daripada Kerajaan Persekutuan. Sewajarnya pendekatan baru adalah diperlukan agar indeks pembangunan negeri tidak berada di tahap yang sama. Tuan Speaker, 7. Kita akan mengemaskini hubung-kait dasar dengan perancangan serta proses bajet mengikut keutamaan dasar yang lebih spesifik, sekali pun usaha pengemaskinian ini dilakukan secara berperingkat. Kerajaan akan tetap berhadapan dengan cabaran-cabaran tentang caramana membuat keutamaan dalam keadaan sumber kewangan negeri yang terhad. Oleh yang demikian adalah perlu untuk mewujudkan persekitaran pengurusan yang dapat memudahkan lagi penglibatan sektor awam dan sektor swasta dalam perancangan supaya pelaksanaan program pembangunan lebih konsisten dan fokus kepada sasaran yang ditetapkan, dan tidak sentiasa bersandarkan kepada proses politik. Saya yakin dengan kestabilan politik dan keharmonian yang ada sekarang ini maka adalah bertepatan sekali betapa mustahaknya Kerajaan memberi tumpuan terhadap dasar yang membawa implikasi ke atas penggunaan sumber negeri mengikut susunan keutamaan perancangan. Tuan Speaker, 8. Dalam hubungan ini, pada awal tahun 2003 Halatuju Negeri telahpun dilancarkan yang mengutamakan pembangunan Sektor Pertanian, Sektor Pelancongan dan Sektor Pembuatan dalam sub-sector ekonomi. Dengan ini, Rangka Rancangan Jangka Panjang Sabah (RRJPS) yang selama ini menjadi teras perancangan pembangunan negeri mempunyai skop yang luas dan menggariskan pelbagai pendekatan digantikan dengan Halatuju Pembangunan dan Kemajuan Negeri Sabah. Setelah mengambilkira keupayaan pengurusan, sistem infrastruktur yang masih memerlukan peningkatan dan kemelesetan sumber kewangan negeri maka Kerajaan telah menyusun keutamaan dengan memberi tumpuan kepada tiga sektor utama ini. Dalam masa yang sama Kerajaan kerap memberi peringatan supaya kita sentiasa menonjolkan budaya perancangan yang komited, kreatif dan berinnovatif. Dalam hubungan ini, oleh kerana pembangunan sumber tenaga manusia adalah pemangkin kepada pertumbuhan dan produktiviti maka perancangan yang rapi dan terselaras untuk menghasilkan tenaga manusia yang berpengetahuan dan 'motivated' akan diberi tumpuan sewajarnya. Di samping itu, setiap tindakan yang melibatkan aset awam hendaklah dipastikan ianya diiringi dengan akauntabiliti, dan penggunaan sumber hendaklah di tahap kecekapan dan keberkesanan yang paling tinggi. Usaha akan juga diperhebatkan lagi untuk membuat peninjauan untuk mengesan sumber kekayaan dalam bidang-bidang seperti biodiversiti, bioteknologi melalui pembangunan pengetahuan dan kemahiran, pemodenan peralatan dan meningkatkan penggunaan aplikasi ICT dalam sistem pentadbiran awam. Justeru, dengan Halatuju Kerajaan yang mengandungi dasar spesifik ini, saya meletakkan harapan bahawa Sabah akan menjadi sebuah Negeri Maju Jaya menjelang tahun 2015. Dalam menunjukkan kesungguhan ini Bajet 2005 akan dijadikan sebagai lead-year kepada permulaan Rancangan Lima Tahun Malaysia yang ke Sembilan. Tempoh enam tahun ini hendaklah dimanfaatkan sepenuhnya dan akan dirangka keberkesanannya dalam tempoh setiap tiga tahun sebagai Rangka Pembangunan Medium- Term. Pengisytiharan Halatuju Kerajaan sekaligus mengiktiraf dan memerlukan penglibatan sektor swasta untuk sama-sama menerajui bidang-bidang berkenaan melalui pelaburan awam dan swasta dan dalam pemasaran yang mampu membawa pembangunan menerusi proses valueadded. Tuan Speaker, 9. Bajet Negeri 2005 akan menekankan kepada strategi-strategi untuk mengatasi kelembapan ke atas pencapaian matlamat dasar Kerajaan. Oleh itu, pada hemat saya terdapatnya keperluan bagi meningkatkan hubungan di antara Dasar, Perancangan Pelaksanaan dan Proses Bajet, di kalangan institusi-institusi negeri dan persekutuan, bagi mendapatkan impak terhadap sistem penyampaian, yang telahpun menjadi keutamaan Kerajaan. Di samping itu, Kerajaan akan sentiasa mempastikan agar disiplin fiskal terus terkawal tetapi membenarkan penyesuaian di mana perlu. Oleh yang demikian, berpaksikan kepada Empat Strategi yang terkandung dalam Bajet Negara 2005, iaitu :- (i) Meningkatkan keberkesanan pengurusan kewangan Kerajaan, kecekapan sistem penyampaian dan daya saing; (ii) Mempercepatkan peralihan ke arah ekonomi berasaskan nilai ditambah yang tinggi; (iii) Membangunkan sumber manusia atau human capital sebagai pemangkin pertumbuhan; dan (iv) Memastikan kesejahteraan rakyat melalui peningkatan kualiti kehidupan. Sehubungan dengan itu, strategi-strategi Bajet Kerajaan Negeri 2005 yang bertemakan "Perancangan dan Pengurusan Sumber Secara Berhemat dan Bermanfaat" adalah seperti berikut:- (i) Mengagihkan sumber kewangan berasaskan kepada perancangan Halatuju Kerajaan sebagai dasar spesifik; (ii) Meningkatkan amalan sistem penyelarasan dan rundingan bagi menentukan keutamaan-keutamaan yang strategik di kalangan organisasi negeri dan persekutuan; (iii) Meningkatkan ketelusan, akauntabiliti dan pemantauan terhadap prestasi pelaksanaan program pembangunan ekonomi dan sosial; (iv) Mengemaskini mekanisme bagi mencapai keputusan secara cekap dan berkesan berasaskan ketersediaan sumber untuk meningkatkan sistem penyampaian; dan (v) Memantau prestasi dan pencapaian sasaran perbelanjaan dan hasil yang dirancang. EKONOMI DUNIA Tuan Speaker, 10. Pertumbuhan ekonomi dunia diunjurkan menjadi lebih teguh serta lebih meluas berikutan kadar faedah yang terus rendah, dan kadar inflasi serta dasar pengembangan yang dilaksanakan oleh kebanyakan negara. Setakat ini, pemulihan ekonomi berlaku di Amerika Syarikat dan Negara Asia yang meningkat maju, terutama negara China , tetapi kurang mantap di kawasan Eropah. Pada tahun 2004, ekonomi dunia diunjurkan berkembang pada kadar 4.6 peratus, kemudian diramal berkembang secara sederhana pada kadar 4.4 peratus pada tahun 2005. Bagi Amerika Syarikat, pengembangan ekonomi diunjurkan pada 4.5 hingga 4.7 peratus dalam tahun 2004 dan 3.5 hingga 4.0 peratus pada tahun 2005. Ekonomi Negara-negara Kesatuan Eropah dijangka berkembang pada 2.0 peratus dalam tahun 2004 dan 2.3 peratus pada tahun 2005. Pertumbuhan ekonomi Jepun sebaliknya dijangka berkembang pada kadar sederhana iaitu 2.4 peratus pada tahun 2005, dari 4.5 peratus pada tahun 2004. Ekonomi China dijangka berkembang secara perlahan pada kadar 8.0 peratus, manakala ekonomi India akan berkembang pada kadar 6.0 peratus pada tahun 2005. EKONOMI NEGARA Tuan Speaker, 11. Ekonomi negara dijangka mengalami pertumbuhan pada 7.0 peratus tahun ini oleh kerana pertumbuhan ekonomi yang pesat dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun 2004, di mana kesemua sektor ekonomi mencatatkan pertumbuhan yang positif. Permintaan domestik terutama daripada sektor swasta terus menunjukkan pertumbuhan yang memberangsangkan dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini. Pelaburan swasta mula menunjukkan prestasi yang lebih positif dengan pertumbuhannya dijangka pada kadar 14.8 peratus tahun ini berbanding kadar negatif sebanyak 19.9 peratus pada tahun 2001. Sentimen perniagaan juga semakin bertambah baik. 12. Disebabkan asas-asas ekonomi yang kukuh, permintaan domestik yang tinggi dan pertumbuhan yang lebih meluas akan membolehkan ekonomi negara bertumbuh pada kadar 6.0 peratus dalam tahun 2005. Unjuran ini juga turut mengambilkira pertumbuhan ekonomi dunia yang dijangka berkembang sederhana pada kadar 4.4 peratus dalam tahun 2005 berbanding 4.6 peratus tahun ini disebabkan oleh inflasi dan harga minyak petroleum dan kadar faedah yang tinggi. 13. Pada tahun 2005, sektor swasta akan terus menjadi jentera kepada penjanaan pertumbuhan ekonomi negara. Peningkatan dalam penggunaan sektor swasta dijangka dapat dikekalkan dengan adanya kenaikan dalam tahap pendapatan dan pertambahan peluang-peluang pekerjaan. Pelaburan swasta juga dijangka meningkat, sementara pelaburan sektor awam dijangka berkurangan secara perlahan ekoran usaha-usaha Kerajaan menangani defisit fiskal. EKONOMI NEGERI Tuan Speaker, 14. Berasaskan tanda-tanda positif pemulihan ekonomi dunia, harga-harga komoditi yang lebih tinggi dan peningkatan keyakinan pengguna serta para peniaga untuk menjalankan perniagaan, adalah dijangkakan ekonomi negeri bertumbuh pada kadar 6.5 peratus hingga 7.0 peratus pada tahun 2004 berbanding anggaran pertumbuhan 2003 sebanyak 6.3 peratus. 15. Sektor perdagangan luar negeri juga kekal kukuh, mencatatkan lebihan dagangan yang semakin meningkat semenjak tahun 2001. Lebihan dagangan negeri telah meningkat daripada RM1.14 bilion pada tahun 2001 kepada RM5.68 bilion pada tahun 2003. Dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini sahaja, lebihan dagangan negeri meningkat sebanyak 30.7 peratus untuk mencapai RM1.78 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2003. Pertumbuhan yang memberangsangkan ini adalah disumbangkan oleh harga-harga yang tinggi bagi kebanyakan komoditi eksport negeri seperti minyak sawit mentah, getah, kayu bergergaji, papan lapis, kumai kayu, petroleum mentah, biji kelapa sawit, metanol, besi berikuet panas (HBI) dan kertas cetak dan kertas tulis tak bersalut. Negara China merupakan destinasi eksport negeri yang terbesar (tidak termasuk Semenanjung Malaysia dan Sarawak ). Ini diikuti oleh Korea Selatan , India dan Netherlands . Tuan Speaker, 16. Kerajaan Negeri telah dan akan terus berusaha menggerakkan sektorsektor produktif yang diberi keutamaan dalam Halatuju Negeri iaitu Pertanian, Pelancongan dan Pembuatan. 17. Sektor pelancongan misalnya, adalah di antara sektor yang menikmati pertumbuhan pesat walaupun sektor tersebut berhadapan dengan masalah kekhuatiran ancaman pengganas di peringkat global. Pendapatan daripada pelancong asing telah bertambah daripada hanya RM844 juta pada tahun 2000 kepada RM1.28 bilion dalam tahun 2003, manakala dari segi pendapatan tukaran asing pula, pendapatan daripada pelancong asing berada di tangga ke empat selepas hasil minyak sawit, petroleum mentah dan papan lapis dalam tahun 2003. Pendapatan daripada pelancong domestik telah meningkat daripada RM92 juta pada tahun 2000 kepada RM170 juta pada tahun 2003. Tuan Speaker, 18. Tren pertumbuhan yang memberangsangkan ini dijangkakan akan berterusan dalam tahun 2004 dan 2005. Dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun 2004, jumlah bilangan ketibaan pelancong mencatatkan sebanyak 1.28 juta orang berbanding 873,455 orang dalam tempoh yang sama tahun 2003. Ini menunjukkan pertambahan sebanyak 407,002 orang atau 46.6 peratus berbanding tempoh yang sama tahun 2003. Bilangan ketibaan pelancong asing adalah sebanyak 571,989 orang berbanding 394,895 orang manakala pelancong domestik juga bertambah sebanyak 708,468 orang berbanding 478,560 orang pada tempoh yang sama tahun 2003. Kadar penginapan hotel juga mencapai 77.9 peratus dalam tahun 2003 dan pada tahun ini sahaja semua hotel terutama yang bertaraf lima bintang telah mengalami hampir 100 peratus kadar penginapan hotel. Dengan adanya 71 penerbangan terus antarabangsa ke 10 buah negara dengan jumlah kapasiti tempat duduk sebanyak 11,162 setiap minggu, maka lebih banyak lagi bilik hotel diperlukan bagi menampung permintaan yang meningkat. Tuan Speaker, 19. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, terdapat perkembangan positif dalam sektor pembuatan, di mana eksport produk-produk pembuatan telah bertumbuh daripada RM2.61 bilion dalam tahun 2002 kepada RM2.71 bilion dalam tahun 2003. Dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini, nilai eksport barangan pembuatan bertumbuh sebanyak 32.1 peratus. Dari segi pelaburan baru pula, terdapat sebanyak 30 buah projek dengan jumlah pelaburan sebanyak RM284.58 juta telah memohon lesen pembuatan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini. Projek-projek ini berpotensi menjana 2,215 peluang pekerjaan di masa akan datang. Setakat bulan Julai tahun ini, terdapat 70 buah kilang telah beroperasi di Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP) dengan jumlah pelaburan sebanyak RM565.4 juta. Sebanyak 11 buah lagi kilang adalah dalam pembinaan dengan jumlah pelaburan sebanyak RM77.3 juta. Dengan insentif yang disediakan bagi penempatan semula kilang-kilang daripada Semenanjung Malaysia ke Sabah sebagaimana yang diumumkan dalam Bajet Negara 2005 baru-baru ini, maka banyak lagi kilang dijangkakan didirikan di Sabah dalam tempoh terdekat dan sederhana. Tuan Speaker, 20. Selaras dengan Dasar Pertanian Negeri Kedua, Kerajaan juga sedang berusaha bergerak ke arah menjadikan negeri Sabah sebagai Pusat Makanan dan hub Makanan Halal untuk negara. Untuk mencapai matlamat ini, Kerajaan Negeri telah mengenalpasti enam Taman Kekal Pengeluaran Makanan dan Zon Industri Akuakultur di berbagai daerah di negeri ini. Bagi membantu dan memudahkan pekebun kecil di dalam membangunkan kawasan-kawasan yang berpotensi ini, Kerajaan akan terus menyediakan prasarana yang diperlukan seperti jalanraya, bekalan air, sistem pengairan yang sempurna serta juga penyelidikan dan pembangunan (R & D), bekalan benih bermutu yang mencukupi, latihan dan kemahiran pemasaran. 21. Pada suku pertama tahun 2004, nilai eksport minyak sawit mencapai RM1.70 bilion. Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 11.8 peratus berbanding tempoh yang sama tahun 2003. Nilai eksport minyak sawit menyumbang sebanyak 33.7 peratus kepada jumlah nilai eksport negeri. Nilai eksport getah merekodkan RM40.8 juta atau 7.5 peratus dalam suku pertama tahun 2004 berbanding RM25.9 juta dalam tempoh yang sama tahun 2003. Pertambahan ini adalah kerana harga getah yang baik. Pelaburan dalam sektor pertanian terus tumbuh seperti yang digambarkan oleh pertambahan dalam jumlah pinjaman yang dikeluarkan bagi sektor tersebut sebanyak 16.7 peratus atau RM1.43 bilion setakat penghujung bulan Jun 2004. Tuan Speaker, 22. Pada penghujung bulan Jun 2004, pelaburan dalam hartanah perumahan mencapai RM3.12 bilion, yang mencerminkan peningkatan sebanyak 13.5 peratus berbanding tahun 2003. Begitu juga dengan hartanah komersil yang tumbuh sebanyak 17.0 peratus untuk mencapai RM1.23 bilion dalam tempoh yang sama. Jumlah pinjaman yang dikeluarkan oleh bank-bank komersil kepada sektor borong dan runcit, dan sektor restoran dan hotel juga menunjukkan pertumbuhan yang positif sebanyak 9.2 peratus dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini. Tuan Speaker, 23. Perbelanjaan swasta (private consumption) juga kukuh pada tahun 2004. Keadaan ini digambarkan oleh pertambahan dalam kredit pengguna sebanyak 13.2 peratus dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini serta peningkatan di dalam jumlah pembelian kenderaan bermotor yang tinggi. Dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini sahaja, jumlah import kenderaan bermotor meningkat sebanyak 34.3 peratus, disebabkan oleh peningkatan keupayaan daya beli pengguna dan kadar faedah yang rendah. Tuan Speaker, 24. Walaupun harga minyak mentah meningkat, kadar inflasi negeri tetap berada pada kadar yang rendah iaitu 0.8 peratus dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun 2004. Harga am pakaian dan kasut, perabot isirumah dan sewaan juga turut menurun. 25. Bagi tahun 2005, pertumbuhan ekonomi negeri dijangkakan kukuh tetapi berkembang secara lebih perlahan di sekitar 6.0 peratus berbanding tahun 2004 ekoran persekitaran global yang mencabar, kenaikan dalam kadar faedah di Amerika Syarikat, jangkaan pertumbuhan ekonomi yang perlahan di Negara China dan kenaikan dalam harga petroleum. Bidangbidang pertumbuhan baru yang berpotensi dijangka akan dijana daripada sektor pertanian terutamanya dalam sektor kecil pengeluaran makanan; pemprosesan hiliran kelapa sawit yang diterajui oleh Palm Oil Industrial Cluster (POIC); sektor pelancongan kesihatan dan spa; serta industri petrokimia. Dengan adanya kekayaan biodiversiti di negeri ini, maka sektor bioteknologi adalah satu bidang yang berdaya maju untuk dibangunkan. Ini akan menawarkan peluang pertumbuhan yang besar kepada Sabah di masa hadapan. HASIL NEGERI BAGI TAHUN 2005 Tuan Speaker, 26. Pada tahun 2005, hasil negeri dianggarkan berjumlah RM1,505.94 juta. Anggaran hasil yang disemak bagi tahun 2004 adalah sebanyak RM1,653.12 juta berbanding asal sebanyak RM1,565.63 juta yang menunjukkan peningkatan sebanyak 5.6 peratus atau RM87.49 juta. Hasil pada tahun 2004 melebihi anggaran tahun 2005 adalah disebabkan oleh terdapat bayaran 'one off' berjumlah RM147.00 juta daripada eksesais penswastaan Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah. 27. Cukai Jualan merupakan penyumbang utama kepada sumber hasil negeri semenjak tahun 2003 di mana pendapatan daripada Cukai Jualan adalah sebanyak RM391.07 juta atau 21.0 peratus daripada jumlah hasil negeri sebanyak RM1,879.62 juta, manakala anggaran disemak bagi Cukai Jualan pada tahun 2004 dijangka mencapai sebanyak RM356.00 juta atau 22.0 peratus daripada hasil negeri pada tahun 2004. Bagi tahun 2005, Cukai Jualan dianggarkan mencapai sejumlah RM416.00 juta atau 28.0 peratus daripada jumlah hasil negeri tahun 2005. Tuan Speaker, 28. Perkembangan yang menggalakkan ini adalah berikutan harga minyak sawit mentah berada pada kedudukan yang baik sejak tahun 2003, di mana harga minyak sawit mentah telah mencapai RM1,600 se tan metrik dalam tempoh sembilan bulan lalu. Pendapatan melalui cukai jualan atas minyak sawit mentah akan bertambah pada tahun 2005 memandangkan Kerajaan Negeri telah bersetuju agar kadar Cukai Jualan yang dikenakan atas minyak sawit mentah dinaikkan daripada 5.0 peratus kepada 7.5 peratus berkuatkuasa tahun 2005. Justeru, Cukai Jualan melalui minyak sawit mentah sahaja dijangka boleh menghasilkan sebanyak RM360.00 juta atau 24.0 peratus daripada hasil pendapatan negeri pada tahun 2005. Jumlah tersebut melebihi 20.0 peratus anggaran disemak pada tahun 2004 sebanyak RM300.00 juta. Cukai Jualan daripada jualan tiket loteri dan mesin slot dianggarkan tidak berubah iaitu, masing-masing sebanyak RM50.00 juta dan RM6.00 juta. Tuan Speaker, 29. Hasil Perhutanan yang merupakan penyumbang kedua terbesar dijangka berjumlah RM339.56 juta atau 23.0 peratus daripada hasil negeri pada tahun 2005. Bagi tahun 2004 anggaran disemak dijangka meningkat sebanyak RM79.61 juta atau 35.3 peratus kepada RM305.20 juta berbanding anggaran asal sebanyak RM225.59 juta. Peningkatan adalah disebabkan oleh pengeluaran kayu balak telah melebihi 3 juta meter padu setakat September 2004. Adalah dianggarkan bahawa pengeluaran kayu balak boleh mencapai 4.5 juta meter padu. Bagi tahun 2005, pengeluaran kayu balak adalah dianggarkan sebanyak 4.2 juta meter padu di mana 3.2 juta meter padu adalah bagi kegunaan tempatan dan selebihnya adalah untuk tujuan eksport. 30. Pendapatan daripada Royalti Petroleum dijangka sebanyak RM194.87 juta atau 13.0 peratus daripada keseluruhan hasil negeri pada tahun 2005. Anggaran disemak pada tahun 2004 meningkat sebanyak RM102.24 juta atau 66.9 peratus kepada RM254.88 juta berbanding anggaran asal sebanyak RM152.64 juta. Faktor utama peningkatan ini adalah kerana harga minyak petroleum telah meningkat secara mendadak melebihi paras 50.00 Dolar Amerika se tong pada pertengahan tahun 2004. Pihak Petronas mengambil sikap berhati-hati dengan tidak menganggarkan terlalu tinggi pada tahun hadapan kerana ketidakpastian tren harga minyak. Tuan Speaker, 31. Peruntukan dan Sumbangan Kerajaan Persekutuan terus menjadi antara sumber utama pendapatan negeri pada tahun 2005. Pada tahun 2004, jumlah anggaran disemak pemberian Persekutuan adalah sebanyak RM220.50 juta berbanding anggaran asal tahun ini sebanyak RM371.20 juta. Penurunan yang ketara ini adalah berikutan dengan penerimaan cukai jualan ke atas barangan petroleum kepada sebanyak RM50 juta sahaja berbanding dengan anggaran RM243 juta yang berasaskan perkiraan Kerajaan Negeri terhadap pampasan ekoran daripada pemansuhan bagi duti import dan eksais. Sehubungan dengan itu, anggaran bagi tahun hadapan berjumlah RM180.17 juta sahaja atau 12 peratus daripada jumlah keseluruhan hasil negeri pada tahun 2005. 32. Sungguhpun demikian, Kerajaan Negeri telahpun mengadakan beberapa siri perbincangan dengan pihak Kerajaan Persekutuan untuk membuat kajian semula ke atas Pemberian Khas Persekutuan sebanyak RM26.70 juta setahun untuk Negeri Sabah yang perlu disemak. Kerajaan Persekutuan pada dasarnya telah memperlihatkan respon yang positif dan telah bersetuju untuk mengadakan rundingan ke atas perkara ini. Tuan Speaker, 33. Hasil daripada Tanah masih berada dalam kumpulan penyumbang teratas pada tahun 2005 walaupun merosot sedikit sejak tiga tahun kebelakangan ini. Kerajaan Negeri melalui Jabatan Tanah dan Ukur sedang dan akan mengambil langkah dan usaha untuk meningkatkan pendapatan dan mengurangkan pembayaran tunggakan. Ini termasuklah meminda Ordinan Tanah Bab 68, menyemak dan mengkaji semula kadar bayaranbayaran dan caj-caj yang lama, penguatkuasaan yang lebih berkesan dan penambahbaikan sistem kutipan hasil. 34. Pada tahun 2005, jabatan tersebut menjangkakan pendapatan sebanyak RM147.88 juta atau 10.0 peratus daripada keseluruhan hasil yang dianggarkan. Sewa Tanah dijangka dapat menyumbang sebanyak RM41.00 juta, manakala Premium dari Jualan Tanah dianggarkan menyumbang sebanyak RM100.50 juta dengan RM20.00 juta dikutip daripada premium tambahan bagi tujuan penukaran atau pembahagian penggunaan tanah bagi kilang kelapa sawit pada tahun 2005. Tuan Speaker, 35. Pendapatan daripada Air dijangka sebanyak RM93.31 juta yang menunjukkan peningkatan sebanyak 8.0 peratus pada tahun 2005 berbanding anggaran disemak sebanyak RM86.32 juta tahun 2004. Eksesais untuk menswastakan sepenuhnya pengurusan dan perkhidmatan bekalan air masih diteruskan. Seperti yang saya nyatakan dalam ucapan bajet tahun 2004, tujuan utama Kerajaan Negeri mengambil tindakan ini ialah bagi mempastikan ianya tidak lagi membebankan kerajaan dan pada masa yang sama rakyat mendapat bekalan air dan perkhidmatan yang lebih baik. 36. Sejumlah RM30.00 juta dijangka dapat diterima daripada agensi-agensi kerajaan melalui Pembahagian Untung dan Pungutan, manakala Pembayaran Balik Pinjaman dijangka mencapai RM50.00 juta. Sejumlah RM8.00 juta juga dianggarkan dapat dikutip melalui Faedah atas Wang Tunai dan Simpanan Jangka Pendek berasaskan kadar faedah semasa. Hasil daripada Sewa Bangunan Kerajaan seperti tahun ini dianggarkan terus kekal pada tahap RM21.00 juta. Tuan Speaker, 37. Sumber-sumber tetap yang lain walaupun kecil akan terus memainkan peranan dalam membantu Negeri Sabah mencapai sasaran hasil pada tahun 2005. Jabatan Hidupan Liar telah mengemukakan anggaran sebanyak RM13.00 juta bagi tahun 2005. Jabatan Perkhidmatan Haiwan dan Perusahaan Ternak dijangka dapat meningkatkan hasil sebanyak RM8.86 juta berbanding RM6.73 juta yang dianggarkan pada tahun ini. Sejumlah RM6.78 juta diramalkan dapat diperolehi daripada Pihak-Pihak Berkuasa Tempatan melalui bayaran saluran najis pada tahun 2005. Hasil Dalam Negeri dan Lesen-lesen dijangka meningkat sedikit sebanyak RM3.22 juta berbanding dengan anggaran asal RM3.00 juta pada tahun 2004. Anggaran yang disediakan oleh Jabatan Pertanian juga menunjukkan sedikit peningkatan pada tahun 2005 iaitu sebanyak RM2.57 juta berbanding RM2.00 juta yang dianggarkan pada tahun 2004. Jabatan Pelabuhan dan Dermaga menganggarkan sasaran RM2.29 juta pada tahun 2005 berbanding RM2.18 juta pada tahun ini. Sumbangan daripada Jabatan Perikanan tidak banyak berubah sebanyak RM428 ribu berbanding dengan RM425 ribu yang dianggarkan pada tahun ini. Pendapatan daripada Jabatan Keretapi dijangka mengalami sedikit penurunan sebanyak RM992 ribu bagi tahun 2005 berbanding RM1.09 juta tahun 2004. ANGGARAN PERBEKALAN Tuan Speaker, 38. Bagi Perbelanjaan Perbekalan, sebanyak RM1,667.31 juta adalah dicadangkan. Jumlah tersebut merupakan penurunan sebanyak RM77.57 juta atau 4.45 peratus berbanding dengan anggaran yang disemak bagi tahun 2004 iaitu sebanyak RM1,744.88 juta. Dengan mengambilkira anggaran hasil bagi tahun 2005 sebanyak RM1,505.94 juta, defisit Akaun Hasil Negeri keseluruhan adalah sebanyak RM161.37 juta, dan baki terkumpul sebanyak RM223.52 juta yang mana akan didaftarkan pada penghujung tahun 2005. 39. Sebanyak RM503.46 juta adalah disediakan untuk Emolumen. Jumlah tersebut merupakan satu peningkatan sebanyak RM21.57 juta atau 4.48 peratus berbanding anggaran yang disemak tahun 2004 sebanyak RM481.89 juta. Pertambahan ini adalah untuk menampung kenaikan gaji tahunan, pembayaran penyelarasan gaji, dan untuk menyelesaikan Akaun Pendahuluan Diri berikutan daripada keputusan Kerajaan untuk membayar bonus. 40. Peruntukan sebanyak RM530.21 juta yang dicadangkan untuk Perbelanjaan Berulang menunjukkan penurunan sebanyak RM18.19 juta atau 3.31 peratus berbanding dengan anggaran yang disemak sebanyak RM548.41 juta dalam tahun 2004. Jumlah tersebut di sediakan di antaranya, bagi perjalanan dan pengangkutan; penyenggaraan kenderaan, pengurusan dan operasi Jabatan Air, mengendalikan pembaharuan dan penyenggaraan bangunan-bangunan kerajaan, jambatan-jambatan keretapi, tanah luncur dan payahan; menaiktaraf jalanraya; caruman bagi pemeliharaan kawasan-kawasan Pihak Berkuasa Tempatan; pembelian susu daripada penternak; bantuan-bantuan sosial dan kebajikan termasuklah untuk warga tua dan golongan kurang upaya; bayaran sewasewa pejabat; dan program kerajaan elektronik Sabah. Ia adalah untuk menambahbaik dan meningkatkan 'capacity building' agensi-agensi pelaksana bagi menjamin persekitaran tempat kerja yang selesa, mesra alam dan mesra rakyat, kebajikan dan sosial yang terjamin, meningkatkan taraf hidup penduduk luar bandar, memudahkan pelaksanaan tanggungjawab, meningkatkan kawalseliaan dan penguatkuasaan, dan tenaga kerja yang terlatih dan berpengetahuan, serta celik IT. Tuan Speaker, 41. Sejumlah RM633.64 juta yang dicadangkan untuk Perbelanjaan Khas bagi tahun 2005 menunjukkan penurunan sebanyak RM80.95 juta atau 11.33 peratus berbanding dengan anggaran yang disemak sebanyak RM714.59 juta bagi tahun 2004. Pada tahun ini Kerajaan bercadang untuk meningkatkan sumbangan bagi Kumpulan Wang Pembangunan kepada RM287.60 juta, dan sebanyak RM7.00 juta bagi Kumpulan Wang Pinjaman untuk Badan-badan Berkanun dan Lain-lain. Sebanyak RM117.00 juta adalah disediakan untuk Perkhidmatan Am Perbendaharaan yang termasuk Dana Khas Industri Kelapa Sawit untuk menggalakkan industri hiliran, pembelian komputer, penggantian kenderaan yang lanjut usia dan tidak ekonomik untuk diperbaiki, penyewaan kenderaan swasta, pembayaran tunggakan kepada konsesi air, pertukaran pinjaman-pinjaman kepada pemberian bagi Lembaga Industri Getah, KKIP Sdn. Bhd., Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah, serta pelupusan pinjaman Safoda, bantuan kepada sekolah-sekolah, badanbadan keagamaan dan badan-badan bukan kerajaan (NGOs); pengurusan dan operasi agensi-agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Jabatan Ketua Menteri serta Kementerian Belia Dan Sukan Sabah. Tuan Speaker, 42. Pengagihan peruntukan Perbelanjaan Perbekalan bagi tahun 2005 adalah seperti berikut:-
ANGGARAN PEMBANGUNAN Tuan Speaker, 43. Pengagihan peruntukan bagi Anggaran Pembangunan adalah bergantung kepada siling Rancangan Malaysia Kelapan yang disemak, bagi semua Kementerian. Di samping itu, tahun 2005 merupakan tahun akhir RMK8 di mana kebanyakan projek berada dalam tempoh penghujung pelaksanaan. Justeru, peruntukan negeri bagi pembangunan tahun 2005 melibatkan sejumlah RM442.29 juta di mana RM427.18 juta adalah dalam bentuk pemberian langsung; sebanyak RM10.11 juta adalah pinjaman wang negeri kepada Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar dan KKIP Sdn. Bhd., masing-masing mendapat RM4.73 juta dan RM5.38 juta; manakala sebanyak RM5.0 juta adalah untuk Simpanan Luar Jangka. 44. Bagi pengagihan mengikut sektor pula, sejumlah RM297.29 juta atau 67.22 peratus adalah bagi pelaksanaan program dan projek pembangunan di bawah Sektor Ekonomi. Ini diikuti oleh Sektor Sosial yang menerima sejumlah RM104.92 juta atau 23.72 peratus, manakala RM35.08 juta atau 7.93 peratus adalah dicadang bagi Sektor Pentadbiran Am. Lebihan sebanyak RM5.0 juta atau 1.13 peratus adalah untuk tujuan Kontingensi. Tuan Speaker, 45. Sumber pendapatan kepada Kumpulan Wang Pembangunan Negeri adalah terdiri daripada caruman perbekalan negeri sebanyak RM287.60 juta. Selainnya adalah merupakan sumber kewangan daripada Kerajaan Persekutuan. Saya ingin mengambil kesempatan di Dewan Yang Mulia ini untuk merakamkan ucapan terima kasih di atas keprihatinan pemimpin Kerajaan Persekutuan terhadap sumber kewangan khususnya Pinjaman Persekutuan sebanyak RM269.18 juta, RM28.52 juta adalah pemberian terus daripada Kerajaan Persekutuan, Pelbagai Bayaran Balik Negeri sebanyak RM15.00 juta dan Bayaran Balik Pemberian Persekutuan sebanyak RM14.81 juta. 46. Dengan jumlah anggaran perbelanjaan keseluruhan pembangunan sebanyak RM726.28 juta dalam tahun 2005 berbanding dengan anggaran pendapatan sebanyak RM615.11 juta, Kerajaan mempunyai rancangan untuk membiayai perbelanjaan defisit menerusi bantuan kewangan daripada Kerajaan Persekutuan. Tuan Speaker, 47. Pengagihan peruntukan Perbelanjaan Pembangunan Negeri yang dicadangkan bagi tahun 2005 adalah seperti berikut:-
Tuan Speaker, 48. Di antara program pembangunan yang ditanggung oleh Kementerian Pembangunan Infrastruktur sebanyak RM20.48 juta adalah meliputi pelaksanaan projek-projek pembangunan di bawah kementeriankementerian yang menerajui Halatuju Kerajaan. Jumlah tersebut adalah terbahagi kepada Jalan Raya ke Kawasan Pertanian sebanyak RM3.60 juta; Jalan Raya ke Kawasan Perindustrian sebanyak RM12.88 juta; dan Jalan Raya ke Kawasan Pelancongan berjumlah RM4.00 juta. Selain daripada peruntukan Kerajaan Negeri, sektor-sektor dalam halatuju pembangunan negeri juga memperolehi peruntukan sumbangan daripada Kerajaan Persekutuan dalam bentuk pemberian dan bayaran balik persekutuan yang dianggarkan sebanyak RM29.60 juta. 49. Sebanyak RM118.78 juta atau 62.9 peratus daripada keseluruhan peruntukan Kementerian Pembangunan Infrastruktur adalah diperuntukan kepada Jabatan Air dalam mana sejumlah RM54.00 juta adalah disediakan bagi Program Khas Bekalan Air yang melibatkan tiga syarikat konsesi air. Peruntukan untuk pembinaan saluran najis bagi daerah Papar dan Semporna, masing-masing sebanyak RM9.9 juta dan RM4.7 juta juga disediakan dalam 2005. 50. Peruntukan di bawah Jabatan Ketua Menteri juga termasuk peruntukan bagi Jabatan Tanah dan Ukur sebanyak RM31.22 juta di mana sejumlah RM11.00 juta adalah untuk bayaran pampasan tanah di kawasan Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP). Selain itu, sejumlah RM25.00 juta adalah disediakan bagi projek Pembangunan Khas di bawah Jabatan Ketua Menteri. 51. Bagi memenuhi keperluan Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri, program Peruntukan Khas bagi ADUN di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah (KPLBS) telah dinaikkan kepada RM26.00 juta daripada jumlah asal RM13.95 juta yang disediakan dalam tahun 2004. Peruntukan bagi Projek Pembangunan Kecil di bawah kementerian yang sama juga ditambah ke jumlah RM7.00 juta sebagaimana yang dipohon oleh pihak kementerian tersebut. Satu pecahan kepala telah diwujudkan di bawah KPLBS untuk program pemindahan mangsa-mangsa daripada kawasankawasan perkampungan yang mudah dilanda banjir di mana sejumlah RM997,500 telah diberikan untuk tujuan tersebut. PERANAN AGENSI DAN SYARIKAT MILIK KERAJAAN Tuan Speaker, 52. Semasa ucapan belanjawan baru-baru ini, YAB Perdana Menteri telah meletakkan budaya berprestasi tinggi sebagai agenda nasional dan mahu supaya Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) sebagai peneraju utama. Dalam perkara ini, Kerajaan Negeri juga akan mengambil langkahlangkah supaya budaya berprestasi tinggi turut menjadi budaya korporat Badan-Badan Berkanun dan syarikat milik Kerajaan Negeri. Garispanduan berkaitan dengan peranan dan tanggungjawab Kementerian, Lembaga Pengarah serta Ketua Pegawai Eksekutif Badan- Badan Berkanun milik Kerajaan Negeri akan dikuatkuasakan dalam tempoh terdekat ini. Di samping itu, garispanduan ini juga meliputi di antara lain aspek pengurusan kewangan serta peranan Unit Audit Dalaman. Saya percaya bahawa kefahaman semua pihak berkenaan kepada peranan dan tanggungjawab masing-masing adalah amat penting bagi membolehkan mereka dapat menyumbang dengan lebih berkesan. Adalah diharapkan garis panduan berkenaan akan menjadi asas kepada usaha-usaha kita untuk menerapkan nilai-nilai profesionalisma serta budaya kecemerlangan di kalangan semua pihak yang terlibat di dalam pengurusan Agensi-agensi Kerajaan Negeri. 53. Saya mendapati masih ada di antara Agensi-agensi Kerajaan Negeri terutama di kalangan Badan-Badan Berkanun yang belum mempunyai manual pengurusan (management manual) organisasi. Ketiadaan Manual Pengurusan memungkinkan keadaan dan aliran kerja tidak terurus dan menyebabkan berlakunya percanggahan dengan peraturan-peraturan yang sedia ada. Saya ingin tegaskan bahawa agensi-agensi berkenaan perlu terus berusaha memperkemaskan dan memperbaiki pengurusan dan perancangan korporat masing-masing. PERANAN WANITA DAN BELIA Tuan Speaker, 54. Sejajar dengan konsep Masyarakat Penyayang, Kerajaan Negeri akan terus mempastikan Majlis Penasihat Wanita Sabah dan Majlis Belia Sabah serta beberapa NGO berkenaan memainkan peranan masingmasing dalam pembangunan ekonomi dan sosial serta kebajikan yang boleh membawa manfaat kepada seluruh masyarakat. Peranan mereka adalah amat penting sekali terutama dalam konteks menangani gejala sosial seperti penyalahgunaan dadah, jenayah ragut, jenayah dan gangguan seksual termasuklah sumbang mahram serta keganasan ke atas wanita dan kanak-kanak. Kerajaan komited untuk memberi sokongan kepada program-program untuk membanteras gejala-gejala negatif ini. Untuk membolehkan mereka menjalankan aktiviti-aktiviti dengan lebih berkesan Kerajaan telah meluluskan sebidang tanah seluas 3.75 ekar di Kota Kinabalu dan peruntukan RM5 juta sebagai sumbangan bagi pembinaan sebuah bangunan Wisma Wanita. Ini merupakan satu pengiktirafan Kerajaan terhadap sumbangan wanita selama ini. Di samping itu, Kerajaan juga akan menyediakan geran kepada NGO dan pertubuhan kebajikan yang terpilih. Saya menyeru agar NGO berkenaan dapat memanfaatkan juga geran yang disediakan oleh Kerajaan Persekutuan. 55. Wanita dan belia juga berperanan penting dalam bidang kemahiran dan keusahawanan. Oleh yang demikian, pihak Kerajaan akan menggalakkan mereka agar terus melibatkan diri dalam latihan-latihan keusahawanan, kepimpinan dan kemahiran teknikal melalui institusi-institusi latihan yang disediakan oleh Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan. Kerajaan Negeri juga berharap agar mereka dapat menjadi tenaga kerja terlatih dan mahir yang dapat menyumbang ke arah merealisasikan Halatuju Kerajaan. PEMBANGUNAN SUKAN Tuan Speaker, 56. Kita juga mengambil berat mengenai perkembangan sukan di negeri ini khususnya dalam konteks sukan berprestasi tinggi dan sukan untuk kesihatan. Kita akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Belia dan Sukan Malaysia agar kita dapat melahirkan dan mempertingkatkan kualiti ahli-ahli sukan di negeri ini serta menggalakkan rakyat mengamalkan budaya sukan untuk melahirkan warganegara yang sihat. Negeri Sabah mempunyai bakat-bakat sukan yang berpotensi seperti yang dibuktikan melalui kejohanan-kejohanan sukan yang telah berlangsung. Kerjasama rapat antara Majlis Sukan Negara dan Majlis Sukan Negeri akan terus kita perkukuhkan demi kemajuan sukan di negeri ini. KESELAMATAN NEGERI Tuan Speaker, 57. Langkah-langkah kawalan keselamatan yang dijalankan oleh pasukan keselamatan di perairan dan sempadan negeri Sabah telah menampakkan kesan yang amat meyakinkan. Sumbangan mereka ini amat besar ertinya kepada penduduk-penduduk negeri ini. Suasana yang aman lagi selamat yang kita nikmati ini tidak hanya berlaku sendirinya tanpa adanya program kawalan keselamatan yang komprehensif lagi professional. Keadaan yang aman ini juga dapat mendorong perkembangan positif sektor yang lain seperti sektor ekonomi, yang berupaya memberi galakan kepada perkembangan industri pelancongan dan mampu meningkatkan keyakinan para pelabur dalam negeri. Pelaksanaan beberapa projek pengkalan Tentera Laut Di Raja Malaysia di pantai timur Sabah dan di Teluk Sepanggar adalah satu testimoni ke atas kesungguhan Kerajaan Pusat bagi meningkatkan kawalan keselamatan yang berterusan. Oleh itu Kerajaan Negeri amat menyanjung tinggi jasa bakti dan pengorbanan pasukan keselamatan yang menjamin keamanan selama ini. PENUTUP Tuan Speaker, 58. Ahli-ahli Yang Berhormat yang berada dalam Dewan yang Mulia ini termasuk Anggota-anggota Pentadbiran Kerajaan Negeri adalah bertanggungjawab untuk mempastikan bahawa apa jua dasar dan perancangan yang kita buat hendaklah yang terbaik untuk rakyat jelata. Tidak ada ruang untuk kita membuat sesuatu keputusan semata-mata untuk mencuba atau membuat eksperimen. Saya membuat peringatan ini kerana dengan sumber-sumber negeri yang serba mengalami kekurangan berbanding dengan perbelanjaan mengikut perancangan pembangunan dan juga komitmen-komitmen lalu, kita hendaklah mempastikan agar setiap perbelanjaan awam yang dilakukan ianya dapat meransang kegiatan ekonomi tidak kira di luar bandar atau dalam bandar. Perbelanjaan awam adalah merupakan pelaburan awam yang terbesar yang dapat menarik penyertaan sektor swasta untuk bergiat dan menerajui pembangunan ekonomi setempat. Sejak tahun 2003, komitmen Kerajaan Negeri menerusi tiga sektor utama mengalami peningkatan peruntukan sebanyak 34.0 peratus bagi sektor pelancongan, 15.0 peratus untuk sektor pertanian dan dengan bantuan Kerajaan Persekutuan, sektor pembuatan mengalami peningkatan melebihi tiga kali ganda. Ini adalah satu langkah permulaan yang baik untuk mendokong Dasar Halatuju Kerajaan. Oleh yang demikian, saya yakin perkembangan ini akan menjadi pemangkin untuk menggalakkan pelaburan sektor swasta dalam bidang-bidang ini. Tuan Speaker, 59. Pembangunan seimbang di kawasan bandar dan luar bandar akan diberi perhatian yang sewajarnya. Pembangunan sosio-ekonomi bagi masyarakat di luar bandar untuk memperbaiki taraf hidup mereka dalam semua bidang menerusi perkhidmatan dan pembangunan infrastruktur asas yang dilaksanakan oleh pelbagai agensi pelaksana Kerajaan Negeri dan Persekutuan akan dipesatkan. Kerajaan akan mempastikan penyelarasan yang padu di kalangan agensi-agensi ini agar dapat memainkan peranan mereka secara berkesan khususnya dalam konteks peningkatan pendapatan dan pembasmian kemiskinan. Pembinaan rumahrumah kos rendah serta program pemulihan perumahan kampung akan ditingkatkan. Peruntukan Kerajaan negeri di bawah kawalan langsung Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah dan Pejabat-pejabat Daerah telah meningkat sebanyak 35.3 peratus berbanding dua tahun lalu. Saya sedar bahawa peningkatan perbelanjaan awam sahaja adalah tidak memadai jika ianya tidak disusuli dengan sistem penyampaian yang berkesan. Oleh itu kaedah-kaedah ke atas penyampaian perkhidmatan akan diperkemaskinikan menerusi tiga aspek iaitu (i) di antara golongan masyarakat tertentu dan agensi pelaksana; (ii) di antara wakil-wakil rakyat selaku penggubal dasar dengan golongan masyarakat tertentu dan seterusnya, (iii) di antara penggubal dasar dengan agensi pelaksana. Tuan Speaker, 60. Penerapan dan pelaksanaan dasar Islam Hadhari yang telah disarankan oleh YAB Perdana Menteri telah menekankan kepada keadilan sosial, kebebasan beragama serta toleransi antara kaum. Ini bermaksud, pembangunan yang hendak kita terjemahkan pada hari ini meliputi semua kelompok masyarakat tanpa mengira bangsa, agama ataupun keturunan. Pendekatan holistik seperti inilah yang mampu membangunkan masyarakat negara ini sebagai masyarakat yang bersatu padu dan dinamik. Meskipun kita terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama, kita tetap maju dan mampu bersaing di persada dunia tanpa terpaksa berhadapan dengan isu perkauman atau perselisihan agama. Tuan Speaker, 61. Cabaran-cabaran yang besar yang kita semua akan hadapi bukan sahaja meliputi ancaman-ancaman luar seperti kenaikan harga minyak dan juga kenaikan kadar faedah tetapi kita akan terus berhadapan dengan 'global uncertainties' yang mungkin menimbulkan ketegangan dan persaingan yang boleh menggugat perancangan kita. Oleh itu kita hendaklah terus bersatupadu dan menjalin perpaduan dan persefahaman yang jitu kerana ini adalah sumber kekuatan yang ada pada kita untuk mengatasi segala masalah-masalah yang boleh menggagalkan usaha Kerajaan. Kita amat bertuah sekali kerana ekonomi negara dalam keadaan yang kukuh. Agenda pembangunan untuk negeri Sabah akan terus diperhebatkan terutama selepas Kerajaan Barisan Nasional memenangi pilihanraya barubaru ini. Usaha akan terus dilipatgandakan untuk mempastikan semua program pembangunan dan penyampaian perkhidmatan-perkhidmatan memberi impak ke atas taraf dan kualiti hidup rakyat bukan diiringi dengan slogan-slogan kosong. Dengan kesempatan ini saya ingin merakamkan penghargaan kepada perkhidmatan awam yang menjaditulang belakang kepada jentera pentadbiran kerajaan. Justeru, selaras dengan keputusan Kerajaan Persekutuaan untuk membayar bonus, Kerajaan Negeri telah membuat keputusan untuk melaksanakan bayaran bonus kepada semua anggota perkhidmatan yang layak atas sumbangan mereka ke arah membangunkan negeri ini. Separuh daripada bayaran bonus telahpun dilakukan pada bulan November, manakala sebahagian lagi akan dibayar pada bulan Januari 2005. Kerajaan Negeri juga telah bersetuju untuk membantu Pihak Berkuasa Tempatan dan agensi-agensi Kerajaan yang kurang mampu untuk membayar bonus kakitangan mereka yang layak. Sungguhpun demikian, saya ingin mengingatkan agar Pihak Berkuasa Tempatan dan Agensi-agensi berkenaan dapat berdikari dan tidak lagi bergantung semata-mata kepada pihak Kerajaan di masa hadapan. Apa yang diharapkan daripada anggota perkhidmatan awam mahupun seluruh rakyat jelata Sabah ialah sama-sama berganding bahu dan bekerjasama tanpa berbelah-bagi dengan pemimpin-pemimpin Kerajaan untuk terus membina masa depan yang lebih cemerlang bagi rakyat Malaysia di negeri ini. Tuan Speaker, Saya mohon mencadangkan. |