Bismillahir Rahmanir Rahim

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

 

Tuan Speaker dan Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian

 

1.        Alhamdulillah, kita bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala, kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya jua kita dapat lagi bersama-sama di dewan yang mulia pada pagi ini sempena Pembukaan Rasmi Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri Sabah Yang Ke-13.

 

2.        Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada YAB Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman kerana dengan kepimpinan beliau, Barisan Nasional sekali lagi diberi amanah oleh rakyat untuk melaksanakan tanggungjawab demi kesejahteraan dan kemajuan negeri Sabah yang amat kita cintai. Saya percaya kejayaan cemerlang Barisan Nasional dalam pilihan raya umum lalu juga adalah hasil kegigihan dan kerja keras, kerjasama dan muafakat serta semangat setia kawan yang ditunjukkan oleh semua pihak, terutama di kalangan para pemimpin kerajaan dan rakyat bagi memastikan kesinambungan pembangunan dan kestabilan politik. Saya juga ingin mengucapkan syabas dan tahniah kerana Kerajaan Negeri Sabah merupakan Kerajaan Negeri yang pertama berjaya membentuk kerajaan sebaik sahaja keputusan pilihan raya umum diisytiharkan secara rasmi pada 8 Mac 2008. Untuk menjamin keharmonian dan kemakmuran, sebuah kerajaan yang mantap adalah amat perlu agar seluruh rakyat negeri ini dapat menikmati arus pembangunan yang berterusan. Saya juga mengalu-alukan kehadiran Ahli-ahli Yang Berhormat yang baru dipilih untuk bersama-sama kita di dalam dewan yang mulia ini.

 

EKONOMI NEGERI

 

3.        Kita sangat beruntung kerana dalam tempoh dua tahun pertama RMK-9, ekonomi negeri telah menunjukkan prestasi yang menggalakkan, sungguhpun ekonomi dunia pada keseluruhannya berhadapan dengan pelbagai cabaran, terutama sekali kelembapan ekonomi Amerika Syarikat dan kenaikan harga minyak. Ekonomi negeri dianggar bertumbuh pada kadar 5.5 peratus hingga 6.0 peratus dalam tahun 2006 dan 2007. Sehingga 31 Disember 2007, Simpanan Negeri berjumlah RM1,769.95 juta berbanding RM1,184.45 juta pada Disember 2006. Peruntukan yang terbesar dalam sejarah Bajet Negeri Sabah 2008 sebanyak RM2.3 bilion membuktikan kejayaan Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan YAB Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman memacu momentum pembangunan negeri Sabah ke arah kestabilan, kemajuan dan kemakmuran yang berterusan untuk rakyat. Anggaran Hasil bagi tahun ini adalah sebanyak RM2,333.19 juta. Syarikat berkaitan kerajaan (GLCs) negeri juga semakin berdaya maju dan kukuh dengan kemampuan membayar dividen sebanyak RM429.30 juta dan pinjaman bernilai RM119.72 juta pada tahun 2007. Pencapaian ini juga adalah hasil pengurusan yang berhemah dan bijaksana kepimpinan Kerajaan Negeri dalam mentadbir sumber-sumber kewangan negeri dengan penuh tanggungjawab.

 

4.        Kita kini berada dalam tahun ketiga pelaksanaan sebahagian besar projek-projek pembangunan yang telah dirancang di bawah RMK-9 dan ditambah lagi dengan peruntukan yang besar bagi melaksanakan Koridor Pembangunan Sabah, maka ekonomi negeri dijangka akan mencapai pertumbuhan yang menggalakkan ke tahap lebih daripada 6.0 peratus dalam tahun 2008.

 

5.        Sektor pertanian yang terus kukuh, sektor pembuatan yang aktif dan sektor pelancongan yang bertumbuh dengan sihat, akan menjadi pemacu kepada pertumbuhan ekonomi negeri masa depan. Harga-harga komoditi pertanian yang tinggi seperti kelapa sawit, koko dan getah adalah faktor-faktor yang menyumbang kepada pertumbuhan sektor pertanian negeri. Sektor pelancongan mencatat prestasi yang baik dengan merekodkan pertumbuhan dua (2) digit dalam tempoh dua tahun lalu. Pada tahun lalu, sektor pelancongan menyumbang sebanyak RM4.7 bilion dari segi kutipan hasil, menjadikan sektor ini sebagai sektor ketiga terbesar dari segi sumbangan kepada tukaran wang asing negeri. Ketibaan pelancong terus menunjukkan tren yang semakin meningkat, mencatatkan pertumbuhan 18.5 peratus untuk mencapai 2.5 juta orang pada tahun 2007. Jumlah ketibaan antarabangsa meningkat sebanyak 31.5 peratus untuk mencapai hampir 1 juta orang. Kekayaan khazanah semula jadi dan kepelbagaian budaya masyarakat di negeri ini akan terus membawa prospek yang besar bagi pertumbuhan sektor pelancongan.

 

6.        Satu lagi sumber pertumbuhan pada tahun lalu ialah sektor berasaskan kayu balak. Pada tahun lalu, subsektor pembalakan telah bertumbuh pada kadar 11.3 peratus dengan pengeluaran kayu balak (logs) mencapai 5.9 juta meter padu. Didorong oleh harga yang tinggi, kesemua produk berkaitan kayu balak seperti kumai kayu, kepingan venir dan kayu bergergaji telah mencatatkan pertumbuhan eksport yang lebih tinggi.

 

7.        Negeri Sabah terus mencatatkan imbangan perdagangan yang positif dalam tempoh dua tahun pertama RMK-9. Pada tahun 2007, lebihan dagangan negeri adalah berjumlah RM7.5 bilion, melibatkan peningkatan sebanyak 41.5 peratus berbanding tahun sebelumnya. Eksport yang kukuh disumbangkan sebahagian besarnya oleh eksport kelapa sawit yang mana telah bertumbuh sebanyak 56 peratus untuk mencapai RM12.7 bilion dalam tahun 2007. Eksport minyak isirong sawit yang berjumlah RM1.5 bilion (melibatkan pertumbuhan sebanyak 42.4 peratus) dalam tahun 2007 dijangka mendahului eksport papan lapis (yang pada masa ini berjumlah RM1.8 bilion) dalam tempoh beberapa tahun akan datang. Pada tahun 2007, eksport petroleum mentah negeri mencecah RM8.0 bilion. Angka ini adalah yang tertinggi dalam tempoh 5 tahun yang lalu. Eksport Besi Bersalut Panas (HBI) turut mencatatkan prestasi pertumbuhan yang tinggi pada tahap 98 peratus melibatkan nilai RM1.0 bilion.

 

8.        Perkembangan positif juga dapat dilihat dalam sektor pembinaan yang digambarkan oleh banyaknya aktiviti pembinaan di negeri ini. Akibatnya, permintaan kepada bahan-bahan binaan seperti “keluaran besi, gelek rata atau keluli” (flat-rolled products of iron and steel) meningkat 35.2 peratus (RM381.5 juta), manakala tiub, paip dan “saluran, paip dan pasangan besi dan keluli” (fittings of iron and steel) bertumbuh 66.4 peratus (RM836.0 juta) dan import bagi jentera jengkaut (excavators, bulldozers) bertambah sebanyak 12.8 peratus (2,068 unit) dalam tahun yang sama. Pinjaman yang telah diberikan kepada sektor pembinaan mencecah RM1.8 bilion pada tahun 2007.

 

9.        Pelaburan swasta telah didorong oleh peningkatan pelaburan dalam sektor pembuatan berasaskan pertanian, sektor perumahan dan hartanah, serta sektor perhotelan, restoran, borong dan runcit. Pertumbuhan yang tertinggi dialami di sektor pembuatan berasaskan pertanian (agro-based) pada tahap 30 peratus atau bersamaan RM4.5 bilion pada tahun 2007. Salah satu daripada faktor yang menyumbang kepada pertumbuhan tersebut ialah pelaburan dalam POIC Lahad Datu. Peningkatan dalam pelaburan swasta juga digambarkan oleh jumlah pinjaman yang dikeluarkan yang mana telah bertumbuh sebanyak 52.3 peratus untuk mencapai RM35.2 bilion pada tahun 2007. Keyakinan pengguna pula kekal positif dengan mencatatkan pertumbuhan dua digit dalam kredit kepenggunaan pada tahap 17.6 peratus (RM2.0 bilion). Pinjaman isi rumah (household loans) pula telah bertumbuh pada kadar 12.2 peratus untuk mencapai RM13.8 bilion, manakala pinjaman untuk pembelian kenderaan bertumbuh 5.5 peratus melibatkan nilai sebanyak RM5.8 bilion. Dengan bertambah baiknya keadaan ekonomi, kadar pengangguran telah menurun kepada 5.7 peratus dalam tahun 2007 berbanding 5.8 peratus pada tahun sebelumnya. Walaupun telah berlaku kenaikan harga minyak, namun kadar inflasi menurun kepada 2.1 peratus dalam 2007 berbanding 3.7 peratus pada tahun 2006.

 

10.      Koridor Pembangunan Sabah telah dilancarkan dengan jayanya pada awal tahun ini. Ekoran daripada ini, kita menjangkakan lebih banyak peruntukan akan disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan untuk pembangunan di Sabah. Sehubungan dengan ini, Kerajaan Negeri mengambil kesempatan untuk merakamkan setinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan di atas komitmennya untuk membantu meningkatkan lagi pembangunan di negeri ini dengan memperuntukkan RM5.0 bilion di bawah Kajian Separuh Penggal RMK-9 untuk tujuan tersebut. Adalah menjadi harapan kita supaya melalui pembangunan koridor tersebut, Sabah akan menikmati pertumbuhan ekonomi yang disertai kesaksamaan dalam pengagihan kekayaan; meraih faedah daripada aktiviti-aktiviti bernilai tinggi dengan kesan pengganda yang tinggi; dan memastikan pembangunan mapan melalui pemuliharaan alam sekitar. Dengan adanya “diversity of wealth” dan potensi besar yang belum diterokai sepenuhnya di negeri ini, Koridor Pembangunan Sabah dijangka akan memposisikan Sabah sebagai pintu masuk yang strategik bagi perdagangan, pelaburan dan pelancongan di rantau Asia.

 

11.      Baru-baru ini YAB Perdana Menteri telah memberi jaminan bahawa harga bahan api dan gas sedia ada dikekalkan. Kenyataan ini amatlah dialu-alukan kerana sedikit sebanyak ia akan mempengaruhi keadaan ekonomi seluruh rakyat terutamanya rakyat negeri ini yang mana harga barang-barang makanan memang sudah tinggi berbanding di Semenanjung.

 

PENCAPAIAN DUA TAHUN RANCANGAN MALAYSIA KESEMBILAN

 

12.      Kita kini telah berada di tahun ketiga pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9). Saya amat berbangga dengan pencapaian pelaksanaan program dan projek biayaan Kerajaan Persekutuan dan Negeri. Saya juga gembira kerana kerajaan memberikan fokus dan giat melipatgandakan usaha-usaha penambahbaikan bagi mengelakkan kelewatan dan kekangan kepada kelancaran pelaksanaan program dan projek berkenaan.

 

13.      Jumlah perbelanjaan terkumpul bagi dua tahun pertama pelaksanaan RMK-9 biayaan Kerajaan Negeri adalah sebanyak RM1.13 bilion atau 77.1 peratus daripada jumlah peruntukan tahun 2006 dan 2007 sebanyak RM1.46 bilion dan 36.5 peratus daripada jumlah siling peruntukan RMK-9. Setakat 31 Disember 2007, sebanyak 158 buah projek atau 24.6 peratus daripada 641 buah projek yang diluluskan telah disiapkan.

 

14.      Keprihatinan kerajaan dalam membangunkan negeri ini dapat dilihat dalam perkembangan sektor-sektor utama ekonomi seperti sektor pertanian dan sektor pelancongan. Prestasi kedua-dua sektor berkenaan amatlah menggalakkan. Prestasi sektor pertanian termasuk penternakan dan perikanan menunjukkan pencapaian yang memberangsangkan di mana Kementerian Pertanian dan Industri Makanan telah membelanjakan lebih 75 peratus bagi menjayakan Halatuju Pembangunan dan Kemajuan Negeri Sabah.

 

15.      Saya juga gembira dengan pencapaian Kerajaan Persekutuan dalam melaksanakan program dan projek negeri yang telah diluluskan di bawah RMK-9. Daripada keseluruhan RM20.187 bilion siling RMK-9 yang diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan termasuk siling untuk Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI), sebanyak RM7.839 bilion atau 43% daripada jumlah peruntukan pembangunan telah dibelanjakan dari tahun 2006 hingga ke 31 Disember 2007. Pada tahun 2007, sejumlah RM3.988 bilion telah dibelanjakan untuk melaksanakan pelbagai program dan projek pembangunan di negeri ini yang menunjukkan peningkatan sebanyak RM138 juta dibanding RM3.850 bilion pada tahun 2006.

 

16.      Dengan itu, saya menyeru supaya semua pihak yang terlibat, daripada semua peringkat bermula daripada perancangan dan pelaksanaan sehinggalah ke peringkat pemantauan dipertingkatkan dan melipatgandakan usaha bagi memastikan kelancaran pelaksanaan semua program dan projek yang diluluskan dengan memanfaatkan sepenuhnya peruntukan pembangunan yang tersedia di bawah RMK-9.

 

17.      Semoga kejayaan pelaksanaan RMK-9 di akhir rancangan ini nanti dapat meningkatkan kesejahteraan rakyat Sabah dan menambah baik daya saing dan daya tahan ekonomi negeri dengan wujudnya infrastruktur fizikal dan infrastruktur lembut yang memadai. Pencapaian cemerlang dalam RMK-9 dapat menyediakan negeri Sabah ke arah menjadi sebuah negeri berstatus maju menjelang tahun 2025.

 

KAJIAN SEPARUH PENGGAL RANCANGAN MALAYSIA KESEMBILAN

 

18.      Penyediaan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesembilan (KSP-RMK-9) sedang bermula ketika ini. Walaupun jumlah peruntukan yang diluluskan belum lagi dimuktamadkan, saya ingin memaklumkan bahawa jumlah peruntukan yang dipohon oleh Kerajaan Negeri bagi pembiayaan Persekutuan bagi program dan projek-projek pembangunan termasuk di bawah Koridor Pembangunan Sabah (SDC) ialah hampir RM9.4 bilion. Daripada jumlah ini sebanyak 16.6 peratus adalah bagi projek sedia ada, 29.8 peratus bagi projek-projek baru dan 53.6 peratus bagi projek-projek di bawah SDC. Manakala jumlah peruntukan bagi program dan projek pembiayaan Kerajaan Negeri pula dijangka akan diketahui sedikit masa lagi.

 

SEKTOR PERTANIAN

 

19.      Dalam tempoh RMK-9, sektor pertanian yang meliputi subsektor perikanan dan penternakan dijangka kekal sebagai penyumbang utama ekonomi negeri Sabah, kadar sumbangan diramalkan sekitar 26-30 peratus. Di bawah RMK-9 teras utama pembangunan sektor pertanian adalah untuk meningkatkan tahap pengeluaran makanan domestik bagi mengurangkan kebergantungan kepada import makanan yang semakin meningkat setiap tahun serta menjadikan Sabah sebagai ‘hub’ pengeluaran makanan negara.

 

20.      Berpandukan Dasar Pertanian Negeri Sabah Kedua (DPNS-2) dan Dasar Pertanian Negara Ketiga (DPN-3), kerajaan berkeyakinan untuk mencapai sasaran tersebut memandangkan penggunaan sumber tanah dan laut belum dieksploitasikan sepenuhnya. Setakat tahun 2006, daripada seluas 2.12 juta hektar tanah yang sesuai untuk pertanian, hanya 1.41 juta hektar atau 67 peratus berjaya diusahakan. Di samping itu, sumber ikan laut yang banyak iaitu hampir 115,359.75 metrik tan ikan dan keluasan pantai yang panjang iaitu kira-kira 1,440 km masih belum dieksploitasi sepenuhnya.

 

21.      Mengikut statistik, Tahap Sara Diri Bahan Makanan Negeri Sabah sehingga tahun 2006; komoditi makanan utama beras telah mencapai 32 peratus, sayur-sayuran 70 peratus, buah-buahan 86 peratus, daging lembu 26 peratus, daging ayam 98 peratus manakala komoditi susu segar, telur ayam, ikan dan daging khinzir telah melebihi 100 peratus.

 

22.      Bagi mencapai sasaran 60 peratus pengeluaran beras menjelang 2010, Jabatan Pertanian akan terus membangunkan kawasan tanaman padi yang sedia ada (39,571 hektar setakat tahun 2006), supaya keluasan tanaman padi dapat ditingkatkan sehingga 50,000 hektar. Jabatan Pertanian, Jabatan Pengairan dan Saliran serta Lembaga Pertubuhan Peladang akan berganding bahu untuk membangunkan kawasan tanaman padi yang sedia ada dan kawasan tanaman padi terbiar agar kawasan-kawasan ini dapat mengeluarkan dan menghasilkan padi yang berlipat ganda. Program pengeluaran padi 10 tan sehektar akan terus dilaksanakan. Di samping itu, dengan siapnya kedua-dua pembinaan Loji Persekutuan Pemprosesan Benih Padi di Kota Belud pada tahun 2007 yang berkeupayaan menghasilkan 2,000 metrik tan benih serta pengubahsuaian dan penaiktarafan loji Pemprosesan Benih Tanaman Kontan di Tenom yang berkeupayaan menghasilkan 1,000 metrik tan pada tahun 2007 dapat membantu Jabatan Pertanian untuk menghasilkan benih padi bermutu dan sekali gus dapat meningkatkan pengeluaran padi negeri Sabah. Di bawah Koridor Pembangunan Sabah, sejumlah RM90 juta diperuntukkan untuk pembinaan jelapang padi negeri Sabah di daerah Kota Belud yang melibatkan tanah seluas 10,000 hektar.

 

23.      Bekalan beras seluruh dunia dilaporkan kini mencecah ke paras paling rendah dalam tempoh 25 tahun. Para pelabur dan penganalisis komoditi antarabangsa mendakwa krisis kekurangan bekalan dan peningkatan harga beras yang mendadak boleh mencetuskan masalah pemakanan seharian bagi setengah penduduk dunia. Walaupun Kerajaan Persekutuan telah memberi jaminan harga beras tidak akan naik, akan tetapi harga produk makanan yang berasaskan beras seperti mee dan lain-lain telah meningkat. Senario seperti ini amat tidak menarik kerana produk-produk makanan tersebut adalah sebahagian daripada menu utama bagi kebanyakan masyarakat kita.

 

24.      Bagi subsektor penternakan, tumpuan pembangunan adalah untuk meningkatkan pengeluaran daging ruminan seperti daging lembu, daging kerbau, daging rusa dan lembu tenusu. Melalui pengimportan ternakan, jumlah kumpulan sasar yang boleh menyertai industri ternakan ruminan dapat diperluaskan, sekali gus dapat mempercepatkan sasaran Kerajaan Negeri untuk meningkatkan tahap sara diri pengeluaran daging ruminan kepada 30 peratus menjelang tahun 2010. Pada masa ini Sabah sudah mampu mengeksport hasil-hasil seperti susu segar, daging ayam, telur ayam dan daging khinzir ke luar negeri seperti Semenanjung Malaysia, Sarawak, Brunei dan Kalimantan, Indonesia. Pada tahun ini juga usaha untuk mentransformasikan penternak menjadi komersil iaitu menjadi ‘100 breeders’ akan diteruskan. Di bawah Koridor Pembangunan Sabah sebanyak RM218 juta diperuntukkan bagi Program Persekutuan Penternakan Haiwan Bersepadu di Keningau yang melibatkan tanah seluas 1,200 ekar dan Pembangunan Industri Ternakan Nabawan dengan keluasan tanah 3,800 ekar.

 

25.      Pembangunan subsektor perikanan akan difokuskan kepada jumlah peningkatan tangkapan ikan dan program-program perikanan seperti penyelidikan, perlindungan dan pengurusan sumber perikanan akan terus dipergiatkan dengan penggunaan teknologi moden. Di bawah Koridor Pembangunan Sabah sebanyak RM1.3 juta dicadang diperuntukkan untuk kajian bagi merealisasikan Sabah sebagai Pusat Akuakultur Marin Kebangsaan.

 

26.      Kerajaan memberi komitmen sepenuhnya kepada perkembangan pengeluaran pertanian kerana ia mempunyai masa depan yang baik tetapi sektor ini juga mengalami beberapa masalah yang ditunjangi oleh isu kawalan harga barang. Dengan kenaikan harga minyak seiring dengan kenaikan kos pengeluaran keseluruhannya, para petani tidak mendapat manfaat hanya dengan menaikkan harga barang keluaran mereka. Ia juga banyak bergantung kepada kejayaan memperkenalkan kaedah (method) pertanian yang cekap dan teknologi-teknologi baru, termasuk kepelbagaian bioteknologi. Oleh itu amatlah perlu untuk mempertingkatkan hasil pengeluaran daripada jumlah kawasan tanah pertanian yang terhad. Isu kurangnya jalinan jalan raya di kawasan pertanian dan kemudahan infrastruktur pertanian seperti kemudahan pengairan yang sistematik dan berterusan perlu dilaksanakan. Pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan, dan juga pembangunan modal insan adalah berterusan dan seimbang. Isu kebergantungan kepada tenaga kerja asing perlu ditangani dengan mekanisasi pertanian dan kerajaan menyediakan bekalan tenaga kerja mahir dalam pelbagai bidang di samping kesediaan kaum belia untuk berkecimpung secara serius di sektor pertanian ini. Bioteknologi telah dikenal pasti sebagai salah satu teknologi ‘core’ untuk mempercepatkan transformasi menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang tahun 2020.

 

27.      Walaupun sektor pertanian berhadapan dengan pelbagai isu, sektor ini akan kekal sebagai teras ekonomi dan pemangkin kepada sektor-sektor lain di Sabah seperti tanaman komoditi sawit, getah dan koko. Sehubungan dengan itu, kaedah, pendekatan dan strategi yang berkesan akan terus menjadi mekanisme dalam melaksanakan segala program yang dirancang dalam RMK-9.

 

SEKTOR PELANCONGAN

 

28.      Industri pelancongan akan terus dibangunkan secara mapan dan bertanggungjawab dengan mengambil kira isu-isu alam sekitar dalam perancangan dan pelaksanaan pembangunan pelancongan. Selain itu, fokus pembangunan pelancongan masih menjurus kepada menarik lebih ramai pelancong yang boleh tinggal lama dan berbelanja besar, meningkatkan lagi usaha supaya lebih banyak acara MICE (meetings, incentives, conference and exhibitions) diadakan di negeri Sabah dan memastikan pembangunan pelancongan mapan. Dari segi agihan jumlah peruntukan di bawah “Sabah Development Corridor” (SDC), sebanyak hampir 14.0 peratus adalah untuk pembiayaan program dan projek pelancongan sehingga tahun 2010.

 

29.      Sejajar dengan jumlah kedatangan pelancong ke negeri Sabah yang kian meningkat setiap tahun dan sasaran kedatangan pelancong sejumlah 3.4 juta orang dengan anggaran pendapatan pelancongan melebihi RM6.5 bilion pada tahun 2010, pelaburan dalam penyediaan penginapan seperti pembangunan hotel dan resort serta pembangunan produk-produk pelancongan baru sedang dan akan dipertingkatkan. Langkah ini bertujuan untuk mewujudkan lebih banyak lagi peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia di negeri Sabah, menambah peluang perniagaan dalam sektor perkhidmatan dan meningkatkan lagi pendapatan tukaran asing.

 

30.      Penglibatan masyarakat luar bandar dalam industri pelancongan juga hendaklah sentiasa digalakkan. Ini kerana penglibatan mereka dalam aktiviti-aktiviti pelancongan seperti penginapan desa (homestay), perusahaan kraftangan dan sebagainya boleh menjana pendapatan bagi memperbaiki taraf hidup mereka ke tahap yang lebih baik. Dengan melihat kerancakan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu yang lebih moden dan promosi-promosi pelancongan yang dibuat oleh Kerajaan Negeri ketika ini, saya percaya kedatangan para pelancong dalam dan luar negeri akan meningkatkan jumlah hasil negeri melalui pelbagai aktiviti ekonomi yang diusahakan.

 

SEKTOR INDUSTRI PEMBUATAN

 

31.      Negeri Sabah harus melangkah ke tahap pembangunan sektor perindustrian yang lebih tinggi dan pada kadar yang lebih pantas menjelang 2010. Pembangunan industri sedia ada di KKIP (Taman Perindustrian Kota Kinabalu) dan juga industri hiliran berasaskan kelapa sawit melalui Pembangunan Kelompok Industri Kelapa Sawit atau Palm Oil Industrial Cluster (POIC) di Lahad Datu dan Sandakan perlu dimanfaatkan sepenuhnya sebagai tunggak utama pembangunan perindustrian di Sabah. Pada masa yang sama, usaha yang bersungguh-sungguh perlu diteruskan untuk mempelbagaikan lagi aktiviti perindustrian dalam bidang-bidang lain seperti industri berasaskan minyak dan gas. Amalan-amalan terbaik dalam industri dan penggunaan teknologi serta inovasi yang terkini dan mesra alam harus diberi keutamaan.

 

32.      Kemudahan infrastruktur perindustrian dan persekitaran yang kondusif mampu menarik lebih ramai pelabur asing ke Sabah. Bekalan elektrik dan air yang stabil diperlukan untuk menjamin operasi perindustrian pada tahap yang optimum. Sistem penyampaian perkhidmatan agensi-agensi negeri dan persekutuan khususnya kepada pelabur-pelabur perlu terus dipertingkatkan. Aspek logistik yang berkaitan dengan dasar kabotaj (Cabotage Policy) menyebabkan kos pengangkutan air yang sangat tinggi dan perlu diselesaikan dengan segera serentak dengan usaha untuk meningkatkan volume dagangan. Kecekapan fungsi pelabuhan juga perlu terus dipertingkatkan. Potensi Pelabuhan Kontena Teluk Sepangar sebagai ‘hub’ bagi Sabah dan Sarawak wajar diberi perhatian yang serius untuk menyokong pembangunan ekonomi yang lebih mantap. Di bawah “Sabah Development Corridor” (SDC), sebanyak 24.7 peratus dicadang akan diagihkan untuk program dan projek pembangunan sektor ini sehingga tahun 2010.

 

PEMBANGUNAN INFRASTRUKTUR DAN KEMUDAHAN AWAM

 

33.      Baru-baru ini, kejadian kereta api yang tergelincir di antara Tenom-Beaufort amatlah mendukacitakan. Oleh itu, saya ingin mengambil kesempatan mengucapkan takziah kepada mangsa-mangsa kereta api tersebut. Saya percaya pihak-pihak yang bertanggungjawab telah menangani perkara ini agar ia tidak berlaku lagi pada masa hadapan.

 

34.      Setiap tahun Kerajaan Negeri dan Persekutuan telah menyediakan jumlah peruntukan yang tinggi untuk pembangunan infrastruktur seperti pembinaan dan menaik taraf jalan raya, bekalan air di bandar-bandar utama, jambatan, bekalan air luar bandar, jalan raya luar bandar untuk memberi keselesaan kepada rakyat dan meningkatkan taraf hidup mereka.

 

35.      Melalui Kajian Separuh Penggal-Rancangan Malaysia Kesembilan, sebahagian besar jumlah peruntukan yang dipohon bagi pembiayaan Kerajaan Persekutuan adalah bagi pembangunan infrastruktur. Sebanyak 74.3 peratus iaitu hampir RM1.6 bilion bagi projek sedia ada, dan hampir RM2.8 bilion atau 66.8 peratus bagi projek-projek baru. Manakala daripada RM5.0 bilion peruntukan yang disediakan oleh SDC, jumlah peruntukan yang terbesar iaitu sebanyak 27.1 peratus adalah bagi program dan projek infrastruktur termasuk pembinaan jalan raya, bekalan air dan beberapa projek pembinaan yang lain. Jumlah ini belum lagi mengambil kira peruntukan yang akan disediakan oleh Kerajaan Negeri. Ini bermakna, agensi-agensi negeri yang terlibat perlulah menggandakan usaha agar dapat memanfaatkan peruntukan yang disediakan.

 

PEMBANGUNAN LUAR BANDAR DAN WILAYAH

 

36.      Saya difahamkan, Kerajaan Negeri telah menyediakan jumlah peruntukan yang besar untuk program-program pembasmian kemiskinan sejak tahun lalu dan juga tahun 2008. Antaranya kerajaan memperuntukkan sebanyak RM14 juta menerusi Program Mini Estet Sejahtera (MESEJ) yang dikendalikan oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah. Sembilan (9) daripada tiga puluh (30) program kini dalam beberapa peringkat pelaksanaan di kawasan-kawasan yang sesuai. Sebanyak RM36 juta diperuntukkan bagi membiayai pelbagai program pembangunan kecil luar bandar bagi membuktikan keikhlasan kerajaan membela nasib rakyat khususnya untuk memajukan masyarakat luar bandar. Jumlah ini tidak termasuk peruntukan yang diterima daripada Kerajaan Persekutuan yang disalurkan melalui agensi-agensi Persekutuan di negeri ini.

 

37.      Kerajaan Negeri berazam terus berusaha untuk membasmi kemiskinan tegar secara total pada tahun 2010 serta menangani ketidakseimbangan kemudahan dan peluang yang mengakibatkan kemiskinan relatif di dalam kawasan bandar dan luar bandar. Selaras dengan ini, Kerajaan Negeri akan menekankan, antara lain, langkah-langkah untuk meningkatkan pendapatan isi rumah, memperkukuh pembangunan modal insan serta memberi bantuan perumahan kepada golongan miskin tegar. Bagi merealisasikan komitmen sedemikian, satu ‘Pelan Tindakan Road Map Ke Arah Pengsifaran Miskin Tegar’ pada tahun 2010 telah dirangka oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah dan ia sedang dalam proses pelaksanaan. Kerajaan Negeri di bawah Koridor Pembangunan Sabah, telah merancang untuk melaksanakan lima (5) lagi Program Lonjakan Mega sebagaimana projek pembangunan Lonjakan Mega Pulau Banggi, Kudat dan komponen-komponen projek lain di bawah Program Pembasmian Kemiskinan. Program membasmi kemiskinan akan memberi tumpuan kepada usaha bina upaya (“capacity building”) di kalangan golongan miskin tegar dengan menambah baik akses kepada latihan dan kemahiran, memupuk nilai positif serta membina keyakinan dan motivasi diri. Ini bertujuan menggalakkan penyertaan golongan miskin tegar dan miskin secara aktif dalam aktiviti ekonomi.

 

38.      Bagaimanapun, menyedari hakikat bahawa masih ada golongan miskin yang tidak produktif dan berdaya untuk menyertai aktiviti ekonomi secara terus, Kerajaan Negeri tetap akan memberi bantuan kewangan secara terus kepada golongan miskin warga emas dan golongan kurang upaya serta daif bagi mencapai pariti pendapatan dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9). Sungguhpun pendapatan isi rumah purata meningkat, jurang pendapatan keseluruhan dan antara kawasan bandar dengan luar bandar terus melebar. Justeru, usaha bersepadu perlu dilaksanakan ke arah mencapai pariti pendapatan dan merapatkan jurang pendapatan tersebut.

 

39.      Memacu Pembangunan Wilayah bagi mengurangkan jurang pembangunan antara kawasan luar bandar dengan bandar dan antara wilayah yang kurang membangun dengan wilayah yang membangun, kerajaan akan menambah peruntukan pembangunan luar bandar serta pembangunan wilayah kurang membangun. Namun menambah peruntukan semata-mata, tidak cukup dalam era ekonomi global. Kita perlu memperkenalkan formula pembangunan yang lebih bersepadu, menyeluruh lagi dinamik iaitu dengan membangunkan kawasan pertumbuhan baru, termasuk mengambil pendekatan merentasi sempadan negeri untuk membolehkan sesuatu projek memberi manfaat kepada beberapa daerah secara serentak. Bagi tujuan ini, Koridor Pembangunan Sabah yang merangkumi kawasan barat, tengah dan timur negeri Sabah telah dirangka untuk dibangunkan secara bersepadu.

 

TEKNOLOGI MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI (ICT)

 

40.      Kepentingan teknologi maklumat dan komunikasi atau ICT dalam penyebaran maklumat dan sebagai wadah komunikasi amat jelas. ICT telah berkembang dengan pesat dan pantas dan telah menjadi media alternatif yang sangat berkesan pada zaman ini. ICT kini adalah satu kemestian kerana tanpanya rakyat akan tercicir daripada arus perdana pembangunan berasaskan pengetahuan. Oleh sebab itu, usaha untuk mengurangkan jurang digital dalam kalangan rakyat melalui projek seperti e-Desa harus dipertingkatkan. Penubuhan Taman Pengetahuan Sabah atau Sabah Knowledge Park boleh memangkin pembangunan industri ICT yang lebih mantap dan progresif. Rakyat digalakkan mengambil inisiatif yang lebih komited untuk menguasai ilmu dan kemahiran ICT. Penyediaan perkhidmatan berasaskan ICT wajar dipertingkatkan dan dipermudahkan melalui kos perolehan yang murah dan perkhidmatan yang lebih cekap bagi manfaat semua lapisan masyarakat.

 

SAINS DAN TEKNOLOGI

 

41.      Sumber-sumber asli yang semakin berkurangan memerlukan inovasi dan ciptaan baru untuk memastikan hasil yang banyak daripada sumber yang sedikit. Aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) perlu dipertingkatkan dan diperluaskan. Ini memerlukan bilangan penyelidik, jurutera dan saintis yang lebih ramai. Usaha untuk menggalakkan generasi muda memilih bidang sains dan teknologi sebagai pengkhususan perlu diteruskan. Peningkatan kemahiran dan keupayaan modal insan dalam bidang-bidang yang memerlukan teknologi tinggi seperti bioteknologi akan mengukuhkan lagi kapasiti pembangunan berasaskan sains dan teknologi di Sabah. Penubuhan Persekutuan Sains Sabah wajar diberi pertimbangan yang sewajarnya bagi memangkin pembangunan sains dan teknologi di Sabah.

 

PEMBANGUNAN USAHAWAN

 

42.      Sektor keusahawanan memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi dari segi pendapatan negara dan juga pewujudan peluang-peluang pekerjaan. Dengan itu, usaha-usaha untuk menjadikan bidang keusahawanan sebagai budaya dalam kalangan rakyat harus diteruskan. Latihan kemahiran pengurusan, pemasaran dan peningkatan integriti produk wajar diberi penekanan untuk memastikan usahawan tempatan mampu bersaing dan menghadapi cabaran-cabaran dalam perniagaan di peringkat nasional dan global.

 

43.      Usahawan-usahawan harus bertindak pantas dan berani merebut peluang-peluang perniagaan yang dijana melalui program-program di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan dan Koridor Pembangunan Sabah. Melalui usaha yang gigih dan semangat yang kental, usahawan-usahawan khususnya bumiputera mampu memiliki premis perniagaan yang moden, mengembangkan perniagaan dan menjadi ahli korporat yang berjaya. Golongan siswazah wajar menjadikan sektor keusahawanan sebagai kerjaya pilihan utama. Institusi-institusi kewangan pula harus lebih proaktif dan kreatif menyokong usahawan melalui penyediaan kemudahan kredit yang lebih fleksibel dan memberi peluang kedua kepada usahawan-usahawan yang pernah gagal tetapi berpotensi untuk bangun semula.

 

44.      Pembangunan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB) merupakan antara agenda utama pembangunan oleh pihak kerajaan. Dalam hal ini, Kerajaan Negeri akan terus mengambil langkah proaktif dengan sokongan Kerajaan Persekutuan untuk menambah bilangan usahawan bumiputera di negeri ini dan juga meningkatkan penyertaan masyarakat ini dalam bidang perdagangan dan perindustrian. Sehubungan itu, Kerajaan Negeri juga memperuntukkan sejumlah besar peruntukan kewangan kepada agensi-agensi Kerajaan Negeri yang akan melaksanakan pelbagai program pembangunan usahawan dan keusahawanan bumiputera baik dari segi penyediaan latihan dan juga ruang niaga. Adalah menjadi harapan Kerajaan Negeri, dengan terlaksananya pelbagai program sedemikian usahawan bumiputera akan mampu berdikari, berdaya maju, berdaya saing dan berfikiran global. Adalah juga diharap agar masyarakat ini dengan bantuan dan khidmat nasihat dari agensi sokongan Kerajaan Persekutuan akan mampu mengeluarkan lebih banyak produk atau perkhidmatan yang menebusi, diterima, bertahan dan bersaing di pasaran global.

 

PENGURUSAN HUTAN

 

45.      Kerajaan Negeri komited untuk menerus dan memperluaskan amalan pengurusan hutan secara mapan seperti yang sedang dan akan dilaksanakan di beberapa Hutan Simpan di negeri Sabah. Langkah ini bertujuan untuk menjamin pengeluaran kayu balak secara berterusan pada jangka masa panjang dan juga mempelbagaikan penggunaan kawasan hutan yang sesuai bagi menjana aktiviti ekonomi yang mesra alam sekitar seperti pembangunan dan penyelidikan ke atas kepelbagaian biologi, eko-pelancongan dan sebagainya. Program penanaman kayu dan pemuliharaan hutan juga akan diteruskan bagi menyumbang kepada bekalan kayu balak pada masa akan datang. Di samping itu, dengan peluasan kaedah ‘Sustainable Forest Management’ (SFM) yang diamalkan di Deramakot ke kawasan-kawasan lain di Ulu Segama-Malua, Tangkulap-Pinangah, Kalabakan-Sapulut dan Trusmadi, fokus utama pada masa ini bukan sahaja ke atas pengeluaran balak, tetapi beralih kepada ‘carbon trading’, bio-diversiti, eko-pelancongan dan produk-produk lain. Pendekatan ini diambil adalah untuk menjamin penjanaan kekayaan baru dalam jangka panjang yang bakal menggantikan pengeluaran balak secara tradisional.

 

PERUMAHAN DAN PERKHIDMATAN SOSIAL

 

46.      Tempat kediaman adalah keperluan asas bagi setiap insan dan keluarga. Oleh yang demikian, kerajaan akan terus memberi keutamaan kepada usaha merealisasikan aspirasi “Satu Keluarga Sebuah Rumah” dan matlamat “Setinggan Sifar” menjelang 2010. Di bawah RMK-9, Kerajaan Negeri dan Persekutuan telah memperuntukkan sejumlah peruntukan yang besar sekitar RM1.0 bilion kepada agensi-agensi seperti Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) dan Jabatan Perumahan Negara (JPN) untuk program penyediaan lebih banyak rumah berkualiti yang mampu dimiliki atau disewa oleh penduduk di negeri ini, khususnya oleh golongan berpendapatan rendah dan sederhana. Di samping itu, pihak swasta termasuk Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) juga telah dan akan terus memainkan peranan di dalam membangunkan rumah di bawah Program Perumahan Mampu Milik selaras dengan Memorandum Persefahaman yang ditandatangani antara Kerajaan Negeri, Kerajaan Persekutuan dan pihak swasta pada tahun 2005 untuk membina secara berperingkat 30,000 unit rumah teres dan pangsapuri dengan anggaran kos RM4.0 bilion. Dalam tempoh 2006-2007 sahaja, LPPB berjaya menyiapkan sebanyak 588 unit Rumah Kos Rendah dan JPN pula berjaya menyediakan 5,574 unit rumah di bawah Program Perumahan Rakyat untuk disewa. Manakala, SPNB pula dijangka akan menyiapkan sebanyak 1,370 unit Rumah Mampu Milik dan 63 unit Rumah Mesra Rakyat dalam tahun 2008, di samping 10,789 unit yang sedang dalam pembinaan. Untuk tempoh separuh penggal kedua RMK-9 (2009-2010), usaha-usaha mempercepatkan pelaksanaan projek-projek perumahan yang telah dirancangkan akan dibuat, demi untuk memenuhi keperluan dan permintaan kepada kemudahan perumahan di Sabah yang semakin meningkat.

 

47.      Melalui program pembangunan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), usaha-usaha akan terus diambil untuk memperbaiki dan meningkatkan perkhidmatan. Ini termasuklah menyedia dan mentadbir dengan baik premis-premis perniagaan seperti pasar, gerai, tapak tamu dan arked untuk penjaja; menjaga dan memperbaiki lagi kebersihan, keceriaan dan keindahan bandar serta kawasan perumahan; menyelenggara dan menaik taraf infrastruktur dan kemudahan asas di kawasan bandar seperti jalan raya, terminal/stesen bus dan teksi, jejambat/titian umum, sistem perparitan, taman rekreasi, taman awam, dewan orang ramai, perparitan dan juga pembetungan. Sebagai tambahan kepada peruntukan Kerajaan Negeri, Kerajaan Persekutuan turut memperuntukkan sekitar RM75.0 juta di bawah RMK-9 untuk pelaksanaan projek-projek kecil yang bertujuan meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk di kawasan PBT di seluruh Sabah. Antaranya termasuklah projek pemasangan lampu jalan; pembaikpulihan gerai, pasar basah, tandas awam; dan naik taraf longkang, tapak letak kenderaan, kawasan riadah, laluan pejalan kaki; serta pengaspalan tapak tamu.

 

48.      Pada masa sama, tumpuan juga akan diberikan kepada usaha meningkatkan keberkesanan dan keupayaan PBT di dalam menyediakan perkhidmatan bandar secara cekap dan berkualiti, di samping menumpu kepada usaha menangani isu-isu utama di kawasan bandar seperti masalah setinggan; kemiskinan bandar; pengurusan kutipan dan pelupusan sampah sarap; pembetungan dan pencemaran alam; kesesakan lalu lintas dan keperluan kepada pengangkutan awam yang efisien; dan keselamatan awam. Ini termasuklah meneruskan usaha untuk meningkatkan persefahaman dan kerjasama antara PBT, masyarakat setempat, sektor swasta dan NGO di dalam melaksanakan konsep pembangunan mapan di kawasan bandar yang meliputi aspek sosial, ekonomi dan alam sekitar.

 

49.      Selaras dengan objektif pembangunan sosial negara, kerajaan akan terus memberi perhatian kepada pengukuhan institusi keluarga, pewujudan masyarakat penyayang dan bersatu padu. Dalam hubungan ini, perkhidmatan kebajikan am akan terus disedia dan ditingkatkan bagi memastikan penyaluran bantuan yang cekap kepada golongan yang memerlukan, di samping mencegah berlakunya gejala-gejala sosial yang boleh menjejaskan kesejahteraan hidup masyarakat setempat. Program perkhidmatan kebajikan kerajaan akan terus menumpu kepada golongan yang teraniaya, keluarga, kanak-kanak, orang kurang upaya dan warga tua. Bagi menyokong penyampaian perkhidmatan berkenaan Kerajaan Negeri antara lainnya telah menyiapkan Taman Didikan Kanak-kanak Kurang Upaya Kudat dan akan membangun dua lagi pusat serupa di Beaufort dan Lahad Datu yang akan berupaya menempatkan sekitar 150 Orang Kurang Upaya (OKU) secara tetap atau jagaan harian.

 

PEMBANGUNAN BELIA DAN SUKAN

 

50.      Belia dan beliawanis adalah aset kepada pertumbuhan dan pembangunan negara. Oleh itu, kerajaan akan terus melaksanakan lebih banyak program yang bertujuan memperkasa serta melengkapkan golongan tersebut dengan pengetahuan, kemahiran dan nilai-nilai murni agar mereka berupaya menyumbang secara berkesan kepada pembangunan negeri dan juga negara. Dalam hal ini, peluang dan akses belia kepada pendidikan dan program latihan akan dipertingkatkan. Dalam separuh penggal kedua RMK-9, agensi-agensi negeri dan persekutuan yang berkaitan seperti Kementerian Belia dan Sukan dan Jabatan Pembangunan Sumber Manusia akan melipatgandakan usaha untuk memberi latihan kepada golongan belia melalui berbagai program latihan kemahiran. Pada masa sama, program belia juga akan memberi perhatian kepada kumpulan yang mudah terjejas dan terpengaruh, termasuk mereka yang tercicir daripada alam persekolahan dan menganggur. Bagi mengelakkan golongan belia terjebak dalam berbagai kegiatan tidak sihat dan sia-sia seperti melepak, terlibat dalam penagihan dadah, jenayah dan perbuatan-perbuatan lain tidak bermoral, lebih banyak program ke arah memupuk pembentukan akhlak mulia akan dirangka dan dilaksanakan. Ini termasuk memperbanyakkan aktiviti kebudayaan dan kesukanan. Untuk tujuan ini, kerajaan akan terus menambah baik kemudahan sukan sedia ada, termasuk merancang kemudahan yang baru seperti Taman Cabaran Belia di Kompleks Sukan Likas yang melibatkan sukan lasak.

 

WANITA DAN PEMBANGUNAN

 

51.      Saya ingin mengucapkan tahniah kepada kabinet baru negeri yang mana kini terdapat seorang menteri wanita yang bukan sahaja berpengalaman luas tetapi juga seorang yang berwawasan tinggi. Ini bermakna Kerajaan Negeri ini mengiktiraf kemampuan kaum wanita yang mana bukan sahaja berupaya menyumbangkan tenaga dan usaha di dalam pembangunan keluarga tetapi juga di dalam pentadbiran negeri serta ekonomi. Di samping itu, dengan adanya kepimpinan baru ini dan kerjasama daripada semua pihak adalah diharap agar masalah kekeluargaan dan masalah sosial yang berkaitan dan yang disiar dalam media massa seperti pembuangan bayi, kehilangan kanak-kanak dan lain-lain dapat ditangani dengan lebih efektif dan berkesan.

 

52.      Kerajaan Negeri juga kini telah mempunyai ramai golongan profesional yang terdiri daripada kaum wanita yang bukan sahaja setanding dengan kaum lelaki tetapi juga mempunyai karisma dan ciri-ciri kepimpinan dan keusahawanan yang boleh dibanggakan.

 

PEMBANGUNAN SUMBER TENAGA MANUSIA

 

53.      Modal insan yang berkualiti adalah faktor yang penting untuk menyokong mencapai Halatuju Kerajaan Negeri. Oleh itu, pembangunan modal insan akan menjadi satu daripada teras utama pembangunan negeri dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9). Dalam hal ini, strategi dan program pembangunan sumber manusia akan ditumpukan kepada usaha-usaha untuk melahirkan sumber tenaga manusia yang berilmu, mahir, kreatif dan inovatif serta berakhlak mulia.

 

54.      Strategi dan program akan dirancang berpandukan kepada dasar-dasar nasional dan Halatuju Pembangunan Kerajaan Negeri Sabah (HPKNS) dalam sektor pertanian, pelancongan dan pembuatan. Usaha-usaha juga akan dibuat untuk mengurangkan kebergantungan kepada tenaga pekerja buruh asing di pelbagai sektor ekonomi negeri dengan pelaksanaan pengambilan pekerja asing secara sistematik dan bijaksana. Bilangan pekerja asing akan dikurangkan secara beransur-ansur bagi menyediakan peluang pekerjaan kepada tenaga kerja tempatan. Tenaga buruh tempatan terutamanya siswazah perlu mengubah pemikiran dan tidak terlalu memilih pekerjaan.

 

55.      Selain itu, usaha juga akan dipergiat bagi membolehkan orang kurang upaya berdikari dan menyertai aktiviti ekonomi yang produktif seperti penglibatan mereka dalam program latihan vokasional. Program-program tersebut sedang dibuat oleh Jabatan Pembangunan Sumber Manusia di bawah Kementerian Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat.

 

56.      Pada masa yang sama penerapan nilai-nilai murni dan pengurusan profesional akan diberi penekanan di dalam Perkhidmatan Awam Negeri untuk meningkatkan keberkesanan sistem penyampaian. Selain itu, peranan pihak swasta juga akan terus digalakkan untuk menyediakan program dan latihan ‘In-house’ bagi membantu meningkatkan kemahiran pekerja. Latihan keusahawanan akan terus diperluas menerusi program dan latihan yang dianjurkan oleh SEDCO bagi memenuhi permintaan terhadap pengurus-pengurus yang mempunyai tahap kecekapan tinggi untuk membolehkan industri lebih berdaya tahan dan berdaya saing di pasaran global.

 

57.      Di bawah Koridor Pembangunan Sabah, sebanyak RM235 juta akan diperuntukkan untuk menyediakan kemudahan infrastruktur asas di “Hub” Pendidikan Sandakan yang mana akan menempatkan beberapa institusi pendidikan di kawasan tersebut. Dengan siapnya pembinaan institusi-institusi ini, bilangan modal insan yang mempunyai kemahiran dan pengetahuan akan meningkat selari dengan keperluan dan pertumbuhan ekonomi di negeri ini.

 

SISTEM PENYAMPAIAN

 

58.      Saya ingin mengucapkan syabas kepada YAB Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman kerana mempelawa Badan Pencegah Rasuah (BPR) menyertai lawatan kerja beliau atau mana-mana menteri di negeri ini ke pelbagai projek pembangunan bagi memastikan tiada berlaku penyelewengan. Saranan seperti ini menunjukkan kerajaan amat serius untuk memastikan pelaksanaan projek dilaksanakan secara telus. Langkah ini harus dicontohi oleh anggota perkhidmatan awam yang lain kerana ia bukan sahaja dapat memastikan program yang dilaksanakan mengikut jadual tetapi ia juga dapat menjimatkan wang rakyat dan mengelakkan berlakunya pembaziran. Di samping itu, ia dapat mengelak timbulnya perasaan syak wasangka di kalangan rakyat negeri terhadap pentadbiran jentera kerajaan.

 

59.      Dalam pada itu, saya menyambut baik cadangan untuk mengkaji semula peranan beberapa Jabatan dan Agensi Persekutuan di Sabah bagi mengelakkan pertindihan tugas dan fungsi dengan Jabatan dan Agensi Kerajaan Negeri. Langkah ini diyakini akan dapat meningkatkan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan dan memastikan keberkesanan pelaksanaan program-program pembangunan untuk kesejahteraan rakyat apabila peruntukan pembangunan Kerajaan Persekutuan dapat disalurkan secara terus kepada Kerajaan Negeri.

 

60.      Walaupun sistem penyampaian di pejabat-pejabat kerajaan ketika ini sudah bertambah baik, namun masih ada lagi ruang yang boleh diperbaiki terutamanya dari segi masalah pembuangan sampah. Peranan Pihak-pihak Berkuasa Tempatan (PBT) hendaklah dipertingkatkan seperti menyediakan tempat-tempat pembuangan sampah yang tersusun terutamanya di kawasan-kawasan yang berhampiran dengan bandar agar kelihatan bukan sahaja bersih dan indah tetapi juga dapat dijadikan contoh oleh warganegara luar apabila mereka berkunjung ke negeri ini.

 

KESELAMATAN

 

61.      Peranan anggota keselamatan di negeri ini adalah penting dan sentiasa berada di tahap yang tinggi. Saya juga berbangga atas kecekapan anggota keselamatan di dalam menangani operasi jenayah di negeri ini. Namun sejak akhir-akhir ini, kejadian jenayah seperti kecurian, pembunuhan dan lain-lain sering menjadi tajuk-tajuk berita dan akhbar. Oleh itu, saya menyeru agar tahap keselamatan dapat ditingkatkan demi keselesaan dan kesejahteraan rakyat Sabah dan juga para pelancong yang datang berkunjung ke negeri ini. Demikian juga segala unsur-unsur negatif dan aktiviti-aktiviti gelap yang membawa kepada kerosakan dan keruntuhan akhlak masyarakat hendaklah ditangani dengan cekap dan berhemah. Kemasukan pendatang tanpa izin dan pelawat asing yang melakukan aktiviti tidak bermoral hendaklah dibendung dan dibanteras dengan segera.

 

HUBUNGAN ANTARA KERAJAAN NEGERI DAN PERSEKUTUAN

 

62.      Saya amat berpuas hati dengan hubungan antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan yang kini semakin mantap. Adalah menjadi harapan kita agar kerjasama seumpama ini akan berterusan. Kita mengalu-alukan atas beberapa cadangan yang telah dikemukakan oleh Kerajaan Negeri kepada Kerajaan Persekutuan yang bertujuan untuk menjamin agar hubungan tersebut terus bertambah erat dan telus. Di antaranya ialah cadangan memansuhkan Jabatan Pembangunan Persekutuan Sabah (JPPS) yang mana masih dalam peringkat perbincangan. Demikian juga mengenai masalah pendatang tanpa izin yang pada masa ini di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan. Saya percaya dan yakin, dengan suasana yang harmoni dan musyawarah, cadangan-cadangan ini akan dapat dicapai. Kita juga mengharapkan kepercayaan dan sokongan berterusan rakyat terhadap jentera Kerajaan Negeri dan Persekutuan dalam usaha kita menjayakan segala rancangan pembangunan.

 

PENUTUP

 

63.      Sama-samalah kita berharap agar agenda pembangunan negeri melalui Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesembilan dan Koridor Pembangunan Sabah ini dapat direalisasikan. Saya menyeru agar anggota perkhidmatan awam di negeri ini dapat menunjukkan sikap yang positif dan terus berkhidmat dengan cekap dan bijaksana.

 

64.      Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak termasuklah para pemimpin Negeri dan Persekutuan, anggota perkhidmatan awam termasuk Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia atas perkhidmatan cemerlang dalam menjaga keselamatan negeri ini serta Badan-badan Bukan Kerajaan dan juga pasukan sukarelawan yang telah menyumbangkan khidmat dan bakti tanpa putus asa.

 

65.      Akhir sekali, sempena sambutan Hari Pekerja pada besok hari, saya dan keluarga saya ingin mengucapkan selamat menyambut Hari Pekerja kepada semua anggota perkhidmatan awam negeri ini khususnya dan warga pekerja Malaysia amnya.

 

Wabillahi Taufik Walhidayah, Wassalamu Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

 

Sekian, terima kasih.

 

 

 

 

Disediakan oleh:

 

Unit Perancangan Ekonomi Negeri Sabah

Dan

Bahagian Kabinet dan Dasar

Jabatan Ketua Menteri

Kota Kinabalu, Sabah

 

Gambar dan Reka bentuk Kulit Buku disediakan oleh:

Bahagian Kabinet dan Dasar

Jabatan Ketua Menteri

Kota Kinabalu, Sabah

 

DICETAK OLEH PENCETAK KERAJAAN,

ENCIK MOHD. ARSHAD BIN HJ. ABD. RAZAK, A.D.K., JABATAN CETAK KERAJAAN,

SABAH, MALAYSIA.

2008