UCAPAN BAJET TAHUN 2003
OLEH Y.B. DATUK MUSA HAJI AMAN
MENTERI KEWANGAN
DI PERSIDANGAN DEWAN UNDANGAN NEGERI
PADA 24 OKTOBER 2002


Tuan Speaker,

1. Dengan hormatnya, saya mohon membentangkan Belanjawan Negeri bagi tahun 2003 untuk kelulusan Dewan Yang Mulia ini.

2. Saya bersyukur kepada Allah s.w.t. kerana berpeluang sekali lagi untuk membentangkan Belanjawan Negeri bagi tahun 2003. Selaras dengan istilah Bajet, yang diperkenalkan oleh YAB Perdana Menteri Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad semasa pembentangan Belanjawan Negara pada 20 September 2002, saya turut mencadangkan istilah yang sama digunapakai dalam pembentangan Anggaran Negeri bagi Tahun 2003.

3. Pada hemat saya penyediaan Bajet Negeri 2003 merupakan suatu amanat yang amat mencabar kerana negeri Sabah perlu maju ke depan seiring dengan visi negara, untuk mencapai cita-cita Wawasan 2020, dalam keadaan semasa global yang tidak menentu. Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab dan amanah, Kerajaan Barisan Nasional akan berusaha untuk memastikan asas-asas ekonomi negeri terus kukuh dan berkembang, untuk menjamin pertumbuhan ekonomi yang mapan, rakyat mengecapi taraf dan kualiti hidup yang baik, mewujudkan peluang-peluang perniagaan dan pekerjaan, mengurangkan kadar kemiskinan di luar bandar serta mengagihkan kekayaan negeri dan negara secara saksama.

4. Dalam keadaan sumber hasil negeri yang semakin terhad, Bajet 2003 akan menjadi suatu instrumen kewangan yang penting, khususnya dalam meneroka dan mengukuhkan bidang-bidang yang strategik, termasuk yang sedia ada dan yang baru. Kini, negeri Sabah masih terlalu bergantung kepada ekonomi berasaskan komoditi, khususnya komoditi pertanian. Selain itu, sumber hutan juga telah merosot. Dalam keadaan ini adalah penting bagi kita untuk meninjau dan memanfaatkan beberapa sumber kekayaan baru, antaranya biodiversiti, bioteknologi, produk-produk pelancongan dan aplikasi ICT dalam pelbagai sektor perkhidmatan. Sebagai contoh, berasaskan biodiversiti sahaja kita boleh membangunkan 'rainforest knowledge' dan bioekonomi. Dalam pertanian kita harus memulakan persediaan kepada amalan 'precision agriculture'. Pada hemat saya, kejayaan dalam bidang-bidang baru ini memerlukan kita merancang masa depan kita secara lebih tekun, kreatif dan inovatif. Kesemua ini akan membesarkan lagi bes hasil dan kemakmuran negeri Sabah di masa akan datang.

5. Selain itu, Bajet ini akan terus mengambilkira tiga aspek penting dari segi operasinya; pertama, akauntabiliti dalam pentadbiran awam bagi mengukuhkan pengurusan kewangan; kedua, memastikan kawalan ke atas penggunaan wang awam secara efisien, efektif dan berhemat; dan ketiga, mampu menyumbang dan menangani isu-isu kritikal sosioekonomi dan politik semasa.

KONTEMPORARI

Tuan Speaker,

6. Pada kesempatan ini, saya ingin menyampaikan ucapan terima kasih tak terhingga kepada YAB Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia, kerana membentangkan suatu bajet yang akan merangsang serta mempercepatkan lagi kemajuan dan kemakmuran sosioekonomi dan politik negara. Bajet ini juga telah memperuntukkan pelbagai peluang dan insentif bagi Kerajaan Negeri menyelaraskan strategi pembangunannya agar seiring dengan strategi negara. Bagi menjayakannya, kerjasama yang rapi, di antara agensi-agensi negeri dan persekutuan, amat diperlukan. Setiap agensi perlu bersedia untuk memainkan peranan masing-masing secara proaktif. Kini, masa tidak mengizinkan kita untuk berkhidmat bersahaja.

7. Di samping itu, hubungan politik yang erat di antara pemimpin negeri dan negara juga memainkan peranan yang penting. Kita, rakyat Malaysia di Sabah, amat beruntung kerana dianugerahi pemimpin-pemimpin negara yang prihatin dan cukup wibawa untuk menganjurkan perubahan dasar dan strategi baru dalam mengurus hal ehwal ekonomi dan politik negara. Kebijaksanaan ini telah membawa manfaat yang berterusan dalam bentuk kestabilan politik, kemajuan sosioekonomi, kesejahteraan dan kemakmuran kepada negara Malaysia dan rantau ini.

Tuan Speaker,

8. Dengan wujudnya keadaan politik yang stabil dan kedinamikan pembangunan sosioekonomi, kita di Sabah boleh memberi tumpuan kepada penyusunan dasar dan strategi bagi mengukuhkan asas-asas pertumbuhan ekonomi negeri. Kerajaan Negeri, yang dibantu oleh jenteranya yang cukup besar, akan pastikan pembangunan dalam sektor-sektor strategik terus berjalan dengan licin dan progresif. Antara galakan bagi sektor-sektor ini adalah - pembangunan inventori tanah, penyediaan tapak, pembangunan tanah pertanian dan inventori perhutanan. Penyediaan infrastruktur dan infostruktur sosioekonomi, termasuk perumahan kos rendah dan program mengurangkan jurang digital, pembangunan sektor perkhidmatan, termasuk pelancongan, akan turut diperhebatkan.

9. Kini, negara kita sedang berusaha mengalih kepada ekonomi yang berasaskan pengetahuan atau K-ekonomi. Informasi dan ilmu pengetahuan serta kemahiran aplikasinya adalah asas penjanaan kekayaan baru. Oleh itu, ekonomi ini perlukan sumber manusia yang berpengetahuan dan kemahiran tinggi. Adalah penting bagi kita, di negeri Sabah, untuk memastikan aset intelek rakyat dibangunkan untuk menyediakan pekerja berpengetahuan (knowledge workers).

10. Di samping itu, pekerja berpengetahuan juga perlu celik dan cekap dalam memanfaatkan teknologi terkini, khususnya ICT dan bioteknologi. Kedua-dua ini telah dikenalpasti sebagai tunggak pembangunan negara dalam K-ekonomi. Dalam konteks ini, sekali lagi anggota perkhidmatan awam perlu bersedia untuk memberi perkhidmatan yang cekap dan tepat agar cita-cita negeri dan negara menjadi suatu kenyataan. Perubahan kepada sistem penyampaian secara elektronik hendaklah dimanfaatkan untuk membantu pihak-pihak yang sedang menghadapi persaingan pasaran global. Saya yakin sektor awam kita bersedia untuk menyahut cabaran ini.

Tuan Speaker,

11. Adalah penting bagi semua pihak mengambil iktibar daripada kenyataan bahawa sumber kewangan negeri agak terhad. Namun, tren perbelanjaan kian meningkat setiap tahun. Oleh itu, Bajet Negeri 2003 akan terus menerajui dasar redressal ke atas tren perbelanjaan ini, khususnya yang melibatkan beberapa program penswastaan, antaranya penswastaan Konsesi Bekalan Air, Management Consultancy Services (MCS) yang menguruskan peningkatan hasil air dan penswastaan kenderaan Angkatan Hebat Sdn. Bhd. (AHSB). Perundingan dan penyemakan ke atas syarat-syarat perjanjian, khususnya yang tidak menguntungkan pihak kerajaan, telah membuahkan hasil positif berasaskan persetujuan mutual. Sebagai contoh, kos penswastaan kenderaan dapat dikurangkan daripada RM43.0 juta kepada dalam lingkungan minima RM12.0 juta setahun. Begitu juga, Perjanjian MCS yang mengenakan purata yuran tahunan tidak kurang daripada 20.0 peratus ke atas pungutan hasil tahunan selama lima (5) tahun, dari 1998 hingga 2003, telah berjaya ditamatkan lebih awal secara beransur yang akan berkuatkuasa pada 1 November 2002. Berikutan dengan tindakan ini kerajaan dapat menjimatkan perbelanjaan ke atas MCS sebanyak RM11.0 juta. Setakat ini Kerajaan Negeri telahpun menjelaskan yuran MCS sebanyak RM23.5 juta daripada tuntutan keseluruhan itu sebanyak RM60 juta.

12. Selain itu, hasil daripada strategi perbelanjaan berhemat, Kerajaan juga telah dapat mengurangkan perbelanjaan ke atas pengangkutan dan perjalanan anggota-anggota pentadbiran negeri, dan perbelanjaan ke atas penyewaan helikopter seperti yang disarankan oleh YAB Ketua Menteri. Sebagai contoh perbelanjaan ke atas pengangkutan dan perjalanan telah berkurangan daripada RM15.7 juta dalam tahun 2001 kepada RM12.6 juta tahun ini (2002). Manakala awal tahun 2002 sehingga hari ini tidak ada perbelanjaan dilakukan ke atas penyewaan helikopter oleh YAB Ketua Menteri dan Ahli-Ahli Jemaah Menteri.

13. Kita hendaklah bersikap sederhana dan terbuka dalam mengurus perbelanjaan wang awam, tidak didorongi oleh budaya berbelanja berlebihan daripada yang diperlukan. Sebagai contoh, dalam penganjuran SUKMA ke-IX baru-baru ini kos penyediaan fisikal ke atas kemudahan Kompleks Sukan Likas dan kerja-kerja baikpulih telah dapat dikurangkan daripada rancangan asal sebanyak RM168.0 juta kepada perbelanjaan sebenar sebanyak RM80.3 juta sahaja. Walaupun begitu penganjuran SUKMA masih dapat dijalankan dengan lancar dan memuaskan.

Tuan Speaker,

14. Kementerian saya juga sedang menimbangkan beberapa cadangan ke atas penswastaan bekalan air secara menyeluruh yang melibatkan pengeluaran, pengagihan dan pengebilan (billings), bukannya sekadar menswastakan pengeluaran air (production) seperti apa yang terdapat sekarang ini yang melibatkan perbelanjaan sebanyak RM240 juta setahun. Akibatnya, Kerajaan kini dibebani dengan hutang yang telah meningkat lebih daripada RM500 juta. Saya ingin tegaskan di sini bahawa penyelesaian ke atas pengurusan bekalan air akan menjadi agenda utama Kerajaan Negeri pada tahun 2003, iaitu untuk mengurangkan bebanan tanggungan ke atas kewangan negeri. Namun begitu pada hakikatnya tindakan telah dan sedang diambil untuk menangani masalah ini.

Tuan Speaker,

15. Eksesais redressal amat penting kerana Kerajaan Negeri tidak seharusnya dibebani dengan masalah hutang akibat program penswastaan. Program penswastaan telah dianjurkan untuk mengurangkan beban kerajaan di samping menyediakan perkhidmatan yang lebih efisien, bukan sebaliknya. Kini, kewangan yang terhad perlu disalurkan untuk membantu agenda yang lebih penting yang akan menjamin survival kita dalam menghadapi arus globalisasi, dampak sains dan teknologi serta persaingan global. Kita mesti mengembangkan kapasiti sektor-sektor yang strategik, antaranya melalui pembangunan infrastruktur dan infostruktur serta mengefisienkan perkhidmatan kuasa-kuasa tempatan. Begitu juga, kita perlu menyusun strategi, termasuk melakukan pengstrukturan semula organisasi, khususnya dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan, agar kemampuan daya saing masing-masing dapat dipertingkatkan. Di samping itu, adalah menjadi harapan Kerajaan Negeri agar eksesais redressal ini dapat mengukuhkan keupayaan Kerajaan Negeri untuk meningkatkan penyampaian dan keberkesanan program-program sosioekonomi bagi masyarakat yang memerlukan.

EKONOMI DUNIA

Tuan Speaker,

16. Ekonomi dunia kekal dengan tren yang menurun pada tahun 2001. Pada tahun 2002 dan 2003, pertumbuhan ekonomi dunia diramalkan berkembang, masing-masing sebanyak 2.8 peratus dan 3.7 peratus. Begitu juga, ekonomi utama seperti Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah (EU) dan Jepun pada masa ini belum menunjukkan tanda-tanda bahawa kelembapan ekonomi yang dialami dapat diatasi. Namun, ada juga tanda-tanda yang menunjukkan bahawa ekonomi-ekonomi ini akan pulih secara mapan pada masa akan datang.

17. Bagi Amerika Syarikat, pertumbuhan ekonominya diramalkan bertambah baik daripada 2.2 peratus (tahun 2002) kepada 2.6 peratus bagi tahun 2003. Pada tahun 2002 pertumbuhan ekonomi EU agak perlahan, hanya sekitar 1.1 peratus. Namun, ia dijangka akan berkembang kepada 2.3 peratus dalam tahun 2003.

18. Ekonomi Jepun menguncup sebanyak 0.3 peratus dalam tahun 2001 dan 0.5 peratus dalam tahun 2002, akibat daripada permintaan global yang lemah terhadap hasil pengeluarannya. Pada tahun 2003, ekonomi Jepun diramalkan pulih semula dengan unjuran perkembangan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak 1.1 peratus.

19. Berbeza dengan tren ini, pencapaian ekonomi negara China dan India adalah kukuh. Pertumbuhan di negara China dijangka meningkat pada kadar 7.5 peratus dalam tahun 2002 ekoran sokongan padu daripada permintaan domestik. Dalam tahun 2003, ekonomi ini diramalkan berkembang pada kadar 7.2 peratus.

20. Bagi India, pertumbuhan yang sederhana pada kadar 5.0 peratus telah diramalkan bagi tahun 2002 akibat aktiviti sektor perkhidmatan yang bertambah dan jangkaan rekod output pertanian yang bakal mengatasi kelemahan dalam permintaan dalaman dan luar industri. Pada tahun 2003, ekonomi India dijangka terus berkembang pada kadar 5.7 peratus.

EKONOMI MALAYSIA

Tuan Speaker,

21. Dengan jangkaan kedudukan ekonomi dunia yang bertambah baik, ekonomi Malaysia telah diramalkan akan berkembang. KDNK akan bertumbuh pada kadar 4.0 hingga 5.0 peratus pada tahun 2002, dan di antara 6.0 hingga 6.5 peratus pada tahun 2003.

22. Pertumbuhan yang menggalakkan ini dijangka akan disumbangkan oleh permintaan domestik. Pelaburan swasta dijangka akan berkembang sebanyak 16.5 peratus dan penggunaan, sekitar 10.0 peratus. Di samping itu, sektor awam akan terus memainkan peranannya sebagai fasilitator kepada pertumbuhan dalam menyokong sektor swasta yang berperanan sebagai jentera pertumbuhan. Pelaburan awam dijangka meningkat sedikit pada 2.4 peratus sementara penggunaan awam sebanyak 10.1 peratus.

23. Kerajaan Persekutuan juga sedang mengatur strategi untuk memantapkan pertumbuhan dalam negeri. Dalam konteks ini, sektor-sektor yang lain akan dibangunkan, khasnya sektor perkhidmatan, agar tidak terlalu bergantung kepada sektor pembuatan. Oleh yang demikian, penekanan akan diberikan dalam membangunkan sektor-sektor pelancongan, pengangkutan, pendidikan dan kesihatan. Usaha-usaha untuk memajukan sektor pertanian, khasnya dalam meningkatkan penghasilan bahan makanan akan dapat mengurangkan import makanan negara.

24. Kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan juga akan diperkukuhkan dengan mengurangkan kadar defisit bajet keseluruhan kepada 3.9 peratus daripada KDNK pada tahun 2003 berbanding 4.7 peratus pada tahun 2002. Adalah menjadi matlamat agar bajet yang seimbang akan dapat dicapai pada penghujung Rancangan Malaysia Kelapan.

25. Secara keseluruhannya, asas-asas ekonomi masih lagi kukuh. Rezab antarabangsa meningkat kepada RM130 bilion pada penghujung Ogos 2002. Rezab ini adalah 5.1 kali ganda liabiliti asing jangka pendek dan boleh menampung import yang berterusan selama 5.6 bulan. Lebihan imbangan dagangan juga dicatatkan sepanjang 57 bulan berturut-turut sejak November 1997. Simpanan negara kasar masih kekal di paras yang tinggi, iaitu kira-kira 33 peratus daripada Keluaran Negara Kasar (KNK).

26. Sektor perbankan berada dalam keadaan baik dengan 'risk-weighted capital ratio' (RWCR) pada 13.1 peratus dan hutang-hutang tidak berbayar (non-performing loans) pada 8.0 peratus dalam bulan Ogos 2002. Liabiliti hutang asing jangka pendek kekal pada paras yang rendah, iaitu 7.5 peratus daripada KDNK.

27. Dengan inflasi dan persekitaran kadar faedah yang rendah serta dibantu dengan sokongan kerajaan dan sektor perbankan, sektor domestik dijangka akan terus kukuh. Kadar pengangguran berlegar pada paras 3.4 peratus pada tahun 2002. Keadaan ini akan meningkatkan kuasa beli rakyat. Pendapatan per kapita dijangka akan meningkat daripada RM13,400 pada tahun 2002, kepada RM14,100 pada tahun 2003.

EKONOMI SABAH

Tuan Speaker,

28. Beralih kepada ekonomi Negeri Sabah, adalah dijangkakan prestasi ekonomi negeri akan bertambah baik untuk tahun 2002/2003. Kadar pertumbuhan yang dijangkakan pada kadar 3.7 peratus dalam tahun 2001 diunjurkan akan meningkat kepada 4.0 peratus pada tahun 2002. Seterusnya ia akan berkembang kepada 4.3 peratus pada tahun 2003.

29. Sektor pertanian, yang menyumbang sebanyak 35-40 peratus kepada KDNK Negeri, akan kekal sebagai sektor penting kepada ekonomi negeri, dengan minyak kelapa sawit sebagai sumber pendapatan utama eksport negeri. Untuk tempoh separuh pertama tahun 2002, nilai eksport minyak sawit sahaja telah mencecah RM2.3 bilion atau bersamaan dengan 33 peratus daripada jumlah nilai eksport negeri sebanyak RM6.9 bilion. Peratusan sumbangan komoditi ini dijangka akan meningkat lagi akibat sumbangan yang rendah daripada eksport produk-produk berasaskan kayu-kayan. Rancangan negara China dan India untuk mengurangkan duti import minyak sawit daripada 75 peratus kepada 65 peratus serta peningkatan kuota import komoditi tersebut ke China kepada 2.4 juta tan, dijangka akan meningkatkan lagi eksport minyak sawit negeri. Pengukuhan harga minyak sawit juga dijangka akan berterusan dalam tempoh jangka pendek dan sederhana, seiring dengan pengurangan stok di peringkat antarabangsa dan peningkatan permintaan negara-negara pengguna.

30. Kemunculan pasaran-pasaran baru yang berpotensi menjadi pengimport minyak sawit seperti Arab Saudi, Netherlands dan Persekutuan Russia (Russian Federation), turut menyumbang kepada senario optimistik bagi sektor minyak sawit. Sektor kecil pertanian yang lain seperti koko dan getah dijangka tidak akan memperlihatkan pengembangan yang signifikan memandangkan pelaburan di kedua-dua sektor ini kurang menarik berbanding pelaburan di sektor kecil minyak sawit. Pelaburan dalam pengeluaran bahan makanan akan terus digalakkan dan dipromosikan di peringkat negeri untuk mengurangkan bil import bahan makanan selaras dengan penekanan Dasar Pertanian Negeri Kedua dan Dasar Pertanian Negara Ketiga.

31. Sementara itu, prospek industri kayu dijangka tidak begitu cerah memandangkan Sabah berhadapan dengan masalah kekurangan bekalan bahan mentah, ekoran sumber kayu-kayan negeri yang semakin berkurangan. Pengeluaran kayu balak pada tahun 2001 direkodkan pada tahap 2.59 juta meter padu. Pengeluaran ini telah merosot sebanyak 31 peratus berbanding pencapaian tahun 2000, sebanyak 3.73 juta meter padu. Menurut Jabatan Perhutanan, pengeluaran kayu balak diunjurkan akan menurun lagi kepada 2.2 juta meter padu pada tahun 2003. Dalam tempoh enam bulan pertama tahun 2002, pengeluaran kayu balak dianggarkan berjumlah 1.20 juta meter padu. Pada masa ini industri berasaskan kayu di Sabah memerlukan kira-kira 6.37 juta meter padu kayu untuk memenuhi kapasiti input terpasang pemprosesan industri tersebut.

32. Selain daripada masalah bekalan bahan mentah, industri kayu di Sabah juga berhadapan dengan masalah struktural yang lain, di samping menghadapi saingan daripada pengeluar-pengeluar kayu seperti softwood, temperate wood, kayu tropika, kayu sentatik dan bahan pengganti kayu dari negara-negara lain. Peralihan permintaan softwood daripada Jepun dan China juga adalah suatu kenyataan. Kini, negara China telah muncul sebagai pusat pembuatan berasaskan kayu di Asia atas kelebihannya dari segi skala ekonomi dan buruh yang murah.

33. Menyedari akan cabaran-cabaran ini, Jabatan Perhutanan akan meningkatkan lagi usaha-usaha untuk mengukuhkan asas sumber, melalui pendekatan perladangan, mempelbagaikan jenis-jenis produk, meningkatkan penggunaan teknologi tinggi, mempromosikan pembangunan industri kelompok dan mengenalpasti niche market.

34. Sektor pembuatan yang didominasikan oleh industri berasaskan kayu dijangkakan tidak menunjukkan peningkatan yang besar bagi tempoh beberapa tahun akan datang. Keadaan ini telah digambarkan oleh arah aliran eksport produk-produk kayu negeri utama yang kurang memberangsangkan. Dalam tempoh separuh pertama tahun 2002, nilai eksport kayu bergergaji menurun sebanyak 23 peratus kepada RM257.2 juta. Manakala nilai eksport papan lapis pula menurun sebanyak 11.9 peratus kepada RM515.5 juta. Nilai eksport venir juga berkurang sebanyak 27.4 peratus kepada RM62.8 juta dan nilai eksport kumai kayu menurun sebanyak 9.8 peratus kepada RM30.5 juta berbanding tempoh yang sama tahun 2001.

35. Usaha untuk menarik pelaburan dalam sektor pembuatan, khususnya yang melibatkan industri kecil dan sederhana (IKS), akan ditingkatkan. Sokongan dari segi kemudahan infrastruktur dan perkhidmatan akan diperbaiki dan dinaiktaraf. Selain itu, aspek aplikasi teknologi canggih serta mengamalkan Penyelidikan dan Pembangunan (R & D) juga akan dititikberatkan bagi meningkatkan lagi kapasiti daya saing negeri Sabah berbanding negeri-negeri lain di Malaysia dan negara-negara pesaing, seperti China dan Vietnam. Proses industralisasi di sektor pembuatan akan memanfaatkan kelebihan perbandingan yang ada pada negeri, terutamanya dari segi kekayaan sumber, dalam membangunkan produk-produk berasaskan minyak sawit, koko dan rumpai laut. Ketiga-tiga sumber ini mempunyai potensi nilai tambah yang tinggi berasaskan input pengetahuan.

36. Sektor pelancongan akan kekal sebagai salah satu sektor pertumbuhan utama negeri Sabah, dan potensi sektor tersebut berkembang maju adalah luas. Pada tahun 2001, pendapatan (antarabangsa dan domestik) daripada sektor pelancongan telah meningkat sebanyak 6 peratus kepada RM992 juta berbanding RM936 juta tahun 2000. Pendapatan daripada sektor pelancongan dianggarkan meningkat daripada RM1.2 bilion bagi tahun 2002 kepada RM1.4 bilion pada tahun 2003.

37. Kerajaan Negeri akan membangunkan sektor tersebut secara strategik bagi merebut peluang-peluang yang luas, seperti 'silver hair programme', golf tour, eco-challenge, sports tourism dan lain-lain lagi. Di bawah RMK8, Kerajaan Negeri akan juga mengenalpasti dan membangunkan produk-produk baru indigenous bagi terus memajukan industri pelancongan negeri. Pada masa yang sama kerajaan akan juga berusaha meningkatkan aksesibiliti ke pusat-pusat tarikan pelancongan, di samping menaiktaraf kemudahan dan perkhidmatan di pelbagai destinasi pelancongan negeri.

38. Usaha-usaha meningkatkan aksesibiliti udara dengan mendapatkan lebih banyak penerbangan terus udara antarabangsa dan sewa khas ke negeri ini adalah agenda penting pembangunan kerajaan bagi membawa lebih ramai pelancong ke Sabah. Aksesibiliti laut melalui perkhidmatan vehicular ferry daripada Menumbok, Sabah ke Serasa, Brunei Darussalam juga akan diperkenalkan. Selain itu, dengan kewujudan aksesibiliti darat melalui Lebuhraya Trans Borneo maka ini akan meningkatkan ketibaan pelancong-pelancong daripada negeri Sarawak dan Negara Brunei Darussalam.

39. Kesan daripada 11 September 2001 dijangkakan akan menarik lebih ramai pelancong rantau Asia, terutama pelancong daripada negara China dan Jepun. Kejayaan dalam penganjuran SUKMA ke-IX, Sabah International Exhibition 2002 (SIE), persidangan Antarabangsa Asia Pasifik dan beberapa acara antarabangsa yang lain telah menaikkan imej negeri Sabah sebagai destinasi pelancongan yang menarik dan mampu menyediakan perkhidmatan bertaraf antarabangsa. Promosi untuk menarik pelancong domestik akan turut dilipatgandakan ekoran pengurangan tambang penerbangan domestik MAS dan Syarikat Air-Asia, serta peningkatan kekerapan penerbangan Air-Asia Kuala Lumpur - Tawau dan Kuala Lumpur - Labuan.

40. Statistik menunjukkan bahawa terdapat peningkatan sebanyak 12 peratus dalam jumlah ketibaan pelawat asing dan domestik ke Sabah dalam tempoh lapan bulan pertama tahun 2002 berjumlah 704,961 orang berbanding 626,935 orang dalam tempoh yang sama tahun 2001. Daripada jumlah tersebut, 391,417 orang adalah pelawat domestik, dan 313,544 orang pelawat asing. Jumlah ketibaan pelawat domestik dan asing, masing-masing telah meningkat sebanyak 22.0 peratus dan 2.5 peratus.

41. Kita turut merasa bangga di atas kejayaan Negeri Sabah yang telah menunjukkan prestasi yang baik dalam membangunkan sektor ini di mana segala usaha yang diambil telah membuahkan hasil yang cemerlang berikutan penerimaan lima Anugerah Pelancongan Kebangsaan Tahun 2001/2002 (Tourism Malaysia Award 2001/2002) iaitu Best Tour Programme, Most Promising Tour Operator, Excellence In Hotel Services, dan Best Four Star City Hotel menerusi syarikat-syarikat pengembaraan dan hotel-hotel berkenaan. Dengan itu, saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada YAB Ketua Menteri yang mana juga selaku Menteri Pembangunan Pelancongan, Alam Sekitar, Sains dan Teknologi.

42. Bagi tahun 2002/2003, tren peningkatan harga petroleum dijangka berterusan akibat daripada pergolakan di Timur Tengah dan konfrantasi di antara Amerika Syarikat dan Iraq. Harga petroleum telah meningkat secara mendadak daripada US$19.0 setong dalam bulan Januari kepada US$29.0 setong pada bulan September tahun ini. Pengimport utama petroleum mentah daripada Sabah ialah Korea, India dan juga Semenanjung Malaysia.

43. Aktiviti-aktiviti pembinaan infrastruktur dan infostruktur yang dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri, dijangka bertambah dalam tahun ketiga RMK8. Perbelanjaan awam yang utama ialah untuk pembinaan sekolah-sekolah; makmal komputer; institusi-institusi latihan dan kemahiran; pengkalan tentera laut dan projek-projek Grid Utara, Grid Pantai Timur dan Sambungtara Grid Timur-Barat. Persediaan temasya SUKMA Ke-IX merupakan aktiviti pembinaan yang utama pada tahun ini. Perbelanjaan awam ini perlu diimbangi oleh pihak swasta. Mereka perlu mengalih daripada tumpuan kepada pembangunan bidang hartanah sahaja.

44. Penggunaan awam (public consumption) juga dijangka akan meningkat dengan pengumuman pemberian bonus dan kenaikan gaji kakitangan awam serta langkah penyelarasan gaji di bawah skim baru Sistem Saraan Malaysia (SSM). Kadar inflasi dijangka akan terus terkawal. Sebagai contoh, dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini kadar inflasi berada pada paras 0.6 peratus.

45. Pasaran buruh dijangkakan bertambah baik. Peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor akan menjadi kenyataan. Namun, apakah pekerja-pekerja tempatan akan mengambilalih peluang-peluang ini, khususnya dalam sektor-sektor pembinaan, perladangan, borong & runcit, dan isirumah domestik (pembantu rumah). Setakat Mac 2002, kadar pengangguran masih terkawal pada paras 5.2 peratus. Kadar ini adalah lebih rendah berbanding 5.9 peratus pada tahun lepas.

46. Walaupun prospek ekonomi negeri dijangkakan menjadi lebih baik pada tahun 2002 dan tahun 2003, Kerajaan Negeri tidak akan leka. Secara proaktif ia akan meningkatkan lagi sumbangannya bagi mengatasi cabaran-cabaran berikut:-

47. Kesemua ini adalah penting dalam melakukan transisi ekonomi negeri Sabah, secara berperingkat, dari terlalu bergantung kepada komoditi kepada ekonomi yang diasaskan dari pada produk-produk industralisasi, perkhidmatan dan input pengetahuan dan teknologi tinggi.

ANGGARAN HASIL TAHUN 2003

Tuan Speaker,

48. Hasil negeri Sabah pada tahun hadapan dianggarkan berjumlah RM1,560.00 juta, sementara hasil yang disemak bagi tahun 2002 dijangka mencapai RM1,566.80 juta. Berbanding dengannya hasil anggaran bagi tahun 2003 menggambarkan penurunan sebanyak 0.43 peratus.

49. Pada tahun ini, terdapat hasil khas yang menyumbang kepada peningkatan hasil di bawah sumber "Pungutan, Pembahagian Untung dan Faedah" dan "Hasil Pelbagai", iaitu melalui tuntutan balik cukai pendapatan berkaitan dengan eksesais pengisytiharan dividen oleh Sawit Kinabalu Berhad dan Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah serta hasil penjualan pelaburan kerajaan kepada Suria Capital Holdings Berhad. Jumlah keseluruhan daripada hasil one-off ini mencapai angka RM410.00 juta atau 26 peratus daripada hasil disemak tahun 2002.

50. Dengan pengisytiharan dividen ini, Kerajaan Negeri layak menuntut balik amaun yang dipotong oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri sebagai cukai pendapatan atas pembayaran dividen tersebut. Tuntutan atas pengisytiharan dividen oleh Sawit Kinabalu Berhad telah dilakukan pada tahun 2001, tetapi bayarannya hanya diterima pada tahun ini. Tuntutan ke atas pengisytiharan dividen oleh Lembaga Pelabuhan Pelabuhan Sabah telah dikemukakan pada tahun 2002, dan Kerajaan Negeri telahpun menerima amaun yang dituntut baru-baru ini. Memandangkan kedua-dua tuntutan ini, yang berjumlah lebih kurang RM200.00 juta, tidak diambilkira dalam anggaran hasil tahun 2002, penerimaan amaun tuntutan ini membolehkan Kerajaan Negeri mencapai hasil disemak yang lebih tinggi berbanding dengan anggaran hasil asal yang berjumlah RM1,413.67 juta. Sehubungan dengan ini, kita juga telah mendapat penambahan hasil perhutanan daripada anggaran asal sebanyak RM150.79 juta kepada RM208.72 juta pada tahun ini ekoran daripada langkah menyemak semula ke atas kadar royalti yang telah diambil oleh Kementerian Kewangan.

51. Bagi tahun 2003 pula, kerajaan akan memberi tumpuan kepada industri minyak kelapa sawit yang diharapkan dapat menyumbang hasil yang lebih kepada Kerajaan Negeri. Di samping itu, cukai jualan akan dikenakan ke atas perjudian melalui "slot machines" bagi tujuan memantau aktiviti ini. Saya ingin jelaskan di sini bahawa lebih kurang RM205.00 juta daripada jumlah hasil yang dijangka bagi tahun hadapan, melalui sumber "Pungutan, Pembahagian Untung dan Faedah" dan "Hasil Pelbagai", tidak melibatkan penerimaan wang tunai. Amaun tersebut hanya direkodkan untuk penyelarasan akaun-akaun tertentu berikutan daripada eksesais pertukaran pinjaman kepada geran atau ekuiti yang akan dilaksanakan dalam tahun 2003.

52. Hasil hutan bagi tahun 2003 dijangka akan menurun sebanyak 21 peratus iaitu, daripada RM208.72 juta berdasarkan anggaran disemak bagi tahun 2002 kepada RM164.21 juta. Antara faktor utama yang menyebabkan pengurangan hasil ini adalah tren pengeluaran balak yang semakin berkurangan berikutan komitmen kerajaan untuk melaksanakan pengurusan hutan berkekalan demi kepentingan masa depan generasi akan datang. Adalah dijangkakan bahawa pengeluaran balak pada tahun 2003 hanya akan mencapai 2.2 juta meter padu berbanding dengan jangkaan pengeluaran balak pada kadar 2.4 juta meter padu dalam tahun 2002. Kebanyakkan daripada balak yang dikeluarkan adalah dijangka untuk pemprosesan di kilang-kilang tempatan. Isipadu balak yang akan dieksport adalah dianggarkan secara konservatif di sekitar 70,000 meter padu. Seiring dengan tren ini, aktiviti-aktiviti lain perhutanan yang menjana kepada penghasilan hutan juga dijangka akan merosot. Hasil kutipan daripada yuran pemeriksaan kayu import juga diramalkan berkurangan dengan adanya polisi Kerajaan Malaysia untuk mengharamkan pengimportan balak daripada negara jiran. Walaupun demikian, hasil hutan masih menyumbangkan sekitar 12 peratus daripada anggaran hasil negeri bagi tahun 2003.

53. Sumbangan dan peruntukan Kerajaan Persekutuan dijangka terus menjadi sumber kewangan yang signifikan Negeri Sabah pada tahun 2003, iaitu sebanyak RM362.52 juta atau 23 peratus daripada jumlah hasil yang dianggarkan. Kerajaan Negeri masih berkeyakinan bahawa bayaran pampasan yang dipohon berikutan pemansuhan duti import dan eksais ke atas bahan-bahan petroleum mulai tahun 2000, akan diperolehi walaupun keputusan muktamad belum dicapai. Dengan andaian semuanya ini berjalan lancar, Sabah dijangka memperolehi RM231.5 juta seperti yang dituntut dalam pampasan tersebut bagi tahun 2003.

54. Berikutan keputusan Kerajaan Persekutuan untuk menaikkan kadar-kadar yang terlibat dalam pengiraan Pemberian Mengikut Kiraan Kepala, amaun yang diberikan kepada negeri akan meningkat kepada RM36.77 juta dan RM37.78 juta, masing-masing bagi tahun 2002 dan 2003. Pemberian-pemberian lain seperti Pemberian Khas, Pemberian Pertambahan Hasil dan Pemberian Bagi Membiayai Perbelanjaan Mengurus dijangka tidak banyak berubah. Di samping itu, Kerajaan Negeri dijangka menerima RM23 juta daripada Sumbangan Kepada Kos Pelaksanaan Projek Pembangunan Persekutuan tahun hadapan. Berdasarkan hasil disemak tahun ini, melalui sumbangan Kerajaan Persekutuan iaitu, sebanyak RM305.94 juta, ini bererti negeri Sabah akan menerima sumbangan dan peruntukan khas Persekutuan dengan peningkatan 18 peratus pada tahun 2003.

55. Cukai jualan juga dijangka terus meningkat pada tahun hadapan. Adalah dianggarkan hasil daripada sumber ini akan mencapai RM276.00 juta, iaitu peningkatan sebanyak 38 peratus berbanding dengan jumlah hasil disemak tahun 2002, iaitu RM200.00 juta. Sebanyak RM220.00 juta daripada hasil tahun 2003 dijangka diperoleh melalui cukai jualan ke atas minyak kelapa sawit mentah. Kerajaan agak optimistik dengan jumlah ini memandangkan harga minyak sawit mentah masih stabil pada ketika ini dan diramal akan meningkat lagi. Kaedah baru yang dikenakan untuk mengira cukai jualan ke atas minyak kelapa sawit mentah akan berkuatkuasa mulai 1 Januari 2003. Akibat daripada keputusan kerajaan untuk menyemak semula kaedah pungutan cukai sekarang iaitu, RM50.00 se tan metrik kepada pelaksanaan kaedah baru yang berdasarkan 5 peratus daripada nilai jualan maka ini akan meningkatkan lagi hasil negeri tahun depan. Di samping itu, jumlah cukai jualan ke atas loteri diramal akan kekal pada tahap RM50.00 juta, sama seperti pada tahun 2002. Cukai jualan ke atas Penjualan Pertaruhan (betting) melalui Mesin Slot, yang akan diperkenalkan mulai 1 Januari 2003, dijangka boleh mengutip RM6.00 juta. Secara keseluruhan, cukai jualan diramal akan menyumbang sebanyak 18 peratus daripada jumlah hasil yang dianggarkan pada tahun hadapan.

56. Hasil tanah akan terus menjadi antara penyumbang utama, iaitu sebanyak RM181.98 juta atau 12 peratus daripada anggaran hasil tahun 2003. Angka ini menunjukkan satu peningkatan sebanyak 37 peratus berbanding dengan hasil disemak tahun 2002, iaitu RM132.39 juta. Sebanyak RM40.72 juta daripada jumlah hasil tanah bagi tahun hadapan merupakan pembayaran premium tanah atas projek kilang besi dan keluli Nusantara Steel Corporation Sdn Bhd. Amaun ini akan dilaburkan sebagai ekuiti Kerajaan Negeri dalam syarikat berkenaan. Selain daripada itu, hasil tanah diramal akan bertambah kerana penguatkuasaan pungutan tunggakan cukai tanah sehingga ke proses lelongan, peningkatan dalam pemprosesan penukaran syarat geran tanah, serta penguatkuasaan geran tanah berhubung dengan pelanggaran syarat-syarat geran tanah. Dalam pada itu, pungutan hasil tanah kerajaan untuk tujuan kuari juga dijangka bertambah.

57. Royalti petroleum, yang juga merupakan penyumbang penting kepada hasil negeri iaitu, sebanyak 10 peratus atau RM153.66 juta daripada anggaran hasil tahun 2003, yang merupakan satu penurunan sebanyak 8 peratus berbanding dengan tahun 2002 iaitu sebanyak RM166.54 juta. Anggaran hasil ini adalah berdasarkan ramalan konservatif oleh pihak Petronas. Dengan mengambilkira keadaan sekarang di mana harga minyak mentah telah meningkat, adalah menjadi harapan Kerajaan Negeri bahawa kutipan hasil sebenar tahun hadapan akan bertambah cerah.

58. Hasil daripada sumber air dijangka bertambah sedikit. Kutipan diramal berjumlah RM79.02 juta pada tahun hadapan, iaitu peningkatan sebanyak 9 peratus berbanding dengan hasil disemak sebanyak RM72.81 juta pada tahun ini. Seperti yang dinyatakan, kerajaan sedang giat mengusahakan untuk mempertingkatkan kecekapan pengurusan bekalan air (termasuk menswastakan bidang pengagihan dan pengebilan).

59. Sumber hasil "Pungutan, Pembahagian Untung dan Faedah" pada tahun 2003 dijangka mencapai RM87.05 juta, berkurangan sebanyak 60 peratus berbanding tahun ini iaitu berjumlah RM217.55 juta. Penurunan yang dialami oleh sumber hasil ini adalah kerana tiada pembayaran besar dijangka melalui dividen pada tahun hadapan. Bagi Hasil Pelbagai pula, diramalkan sumber ini akan menyumbang lebih kurang RM201.74 juta di mana sebahagian besar iaitu, sebanyak RM174.64 juta daripadanya merupakan penyelarasan akaun sahaja berikutan pertukaran pinjaman kepada geran atau ekuiti. Sumber ini dijangka menyumbang hasil yang lebih rendah jika dibandingkan dengan hasil disemak pada tahun ini sebanyak RM233.47 juta. 60. Hasil daripada saluran dijangka mencapai RM21.67 juta pada tahun 2003, jauh lebih tinggi daripada tahun ini (RM100 ribu). Ini adalah berikutan keputusan bahawa semua pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dimestikan membayar sewa penyelenggaraan saluran najis kepada Jabatan Kerja Raya pada tahun 2003. Sebelum ini, Kerajaan Negeri telah menghapuskira bayaran tertunggak sehingga tahun 1999 yang mencecah RM112.00 juta. Berikutan dengan tindakan ini, adalah menjadi harapan Kerajaan supaya pihak Berkuasa Tempatan mengemaskini pengurusan mereka dan seterusnya mematuhi peraturan pembayaran hasil sewa saluran najis tanpa berlakunya tunggakan di masa depan.

61. Hasil-hasil lain yang akan menyumbangkan kepada hasil negeri tahun 2003 termasuklah Sewa Bangunan Kerajaan (RM24.6 juta); Lesen-Lesen (RM2.8 juta); Pelabuhan dan Dermaga (RM1.9 juta); Hasil Daripada Perkhidmatan Kerajaan Tertentu (RM1.8 juta) dan Keretapi (RM1.09 juta).

PERBELANJAAN PERBEKALAN

Tuan Speaker,

62. Bagi maksud pengurusan negeri, sejumlah RM1,674.87 juta adalah dicadangkan untuk tahun 2003. Anggaran ini menunjukkan peningkatan sebanyak RM345.02 juta atau 25.94 peratus berbanding dengan anggaran asal bagi tahun 2002, iaitu sebanyak RM1,329.85 juta.

63. Anggaran perbelanjaan perbekalan bagi tahun 2003 adalah terbahagi kepada tiga bahagian, iaitu emolumen, perbelanjaan berulang dan perbelanjaan khas. Bagi Emolumen sebanyak RM440.22 juta telah diperuntukkan. Ia merupakan peningkatan sebanyak RM24.57 juta atau 5.91 peratus daripada anggaran tahun 2002, iaitu sebanyak RM415.65 juta. Pertambahan ini adalah diperlukan untuk menampung pembayaran pelaksanaan kenaikan kadar 10 peratus bagi anggota-anggota perkhidmatan awam Kerajaan Negeri dan kenaikan gaji biasa.

64. Tenaga dan intelek manusia bukan sahaja merupakan aset terpenting, tetapi juga mempengaruhi aspek produktiviti dan budaya kerja yang bersih, cekap dan amanah. Pelaksanaan kenaikan kadar 10 peratus yang bermula pada tahun ini, merupakan suatu pengiktirafan kerajaan ke atas sumbangan anggota-anggota perkhidmatan awam di atas jasa dan dedikasi mereka sebagai agen penting dalam membantu pihak sektor swasta untuk memacukan pembangunan ekonomi negeri. Pengiktirafan ini hendaklah memperkuatkan lagi sumbangan anggota-anggota perkhidmatan awam untuk menyahut cabaran merealisasikan agenda pembangunan negeri dan negara.

65. Peruntukan sebanyak RM388.78 juta adalah disediakan untuk Perbelanjaan Berulang. Ia merupakan suatu penambahan sebanyak RM34.59 juta atau 9.77 peratus berbanding RM354.19 juta dalam tahun 2002.

66. Sebahagian besar daripada penambahan ini adalah susulan pengemaskinian pemindahan perbelanjaan ke atas pekerja am (buruh) daripada vot pembangunan ke vot perbekalan. Peruntukan tambahan ini akan memudahkan lagi petugas-petugas jabatan dan agensi yang mengoperasikan penguatkuasaan pungutan hasil. Sebagai contoh, menyelenggara kenderaan, bot dan alat-alat teknikal di Jabatan Perhutanan, dan Jabatan Tanah dan Ukur; mengurus penyelenggaraan paip, pembelian bahan kimia, penggantian alat-alat bekalan air dan sebagainya di Jabatan Air. Ketiga-tiga jabatan ini memainkan peranan yang penting dalam penjanaan hasil kerajaan. Peruntukan ini juga akan disalurkan untuk menyelenggara jambatan keretapi, tanah luncur dan payahan bagi menjamin keselamatan dan kemudahan pengangkutan orang ramai. Kerajaan akan terus menyumbang kepada pembiayaan pengurusan agensi-agensi kerajaan berasaskan prestasi tahunan masing-masing.

67. Bagi tahun 2003 Perbelanjaan Khas telah diperuntukan sebanyak RM845.87 juta. Angka ini merupakan suatu peningkatan sebanyak RM285.86 juta atau 51.04 peratus berbanding dengan anggaran yang disediakan bagi tahun 2002 sebanyak RM 560.01 juta.

68. Sebahagian besar daripada peruntukan ini, iaitu sebanyak RM312.29 juta, akan dicarumkan kepada Kumpulan Wang Berkanun. Di samping itu, sejumlah RM345.43 juta adalah untuk Perkhidmatan Am Perbendaharaan. Peruntukan ini merangkumi Caruman kepada Perkembangan Badan-Badan Keagamaan Bukan Islam, sebanyak RM20.00 juta; Pemberian kepada Sekolah-Sekolah, sebanyak RM8.00 juta; dan RM12.00 juta untuk Penyewaan Kenderaan Swasta. Sebanyak RM76.58 juta juga diperuntukan kepada Jabatan Air bagi pengurusan bekalan air. Bagi menunaikan tanggungjawab sosial, Kerajaan Negeri telah juga menyediakan sejumlah RM20.00 juta di bawah Pemberian Kepada Program-program Perkhidmatan Sosial Negeri seperti program susu sekolah bagi memastikan kanak-kanak sekolah rendah mendapatkan bekalan protein dan kalsium yang mencukupi bagi proses tumbesaran, serta bekalan pakaian seragam sekolah, peralatan dan kasut sekolah bagi membantu meringankan perbelanjaan ibu bapa.

69. Selain itu, sebanyak RM254.50 juta telah diperuntukan untuk menukar pinjaman agensi dan anak-anak syarikat kerajaan kepada geran atau ekuiti. Agensi dan anak-anak syarikat kerajaan yang dimaksudkan ialah Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah, KKTP Sdn. Bhd., Permodalan Bumiputera Sabah, dan KKIP Sdn. Bhd. Jumlah tersebut tidak melibatkan aliran wang tunai dan ia adalah diperlukan untuk mematuhi peraturan perakaunan kewangan.

70. Pengagihan mengikut kementerian adalah seperti berikut:

KEMENTERIAN 

RM Juta

1 Kementerian Kewangan 712.10 42.52
2 Kementerian Pembangunan Infrastruktur 302.26 18.05
3 Jabatan Ketua Menteri 236.78 14.14
4 Kementerian Pembangunan Pertanian dan Industri Makanan 149.54 8.93
5 Kementerian Pembangunan MasyarakatDan Hal Ehwal Pengguna 75.69 4.52
6 Kementerian Pembangunan Pelancongan,Alam Sekitar, Sains dan Teknologi 48.82 2.91
7 Kementerian Pembangunan Luar Bandar 44.21 2.64
8 Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan 23.57 1.41
9 Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan 24.90 1.49
10 Kementerian Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat 13.81 0.82
11 Kementerian Pembangunan Perindustrian 5.44 0.32
12 Perbelanjaan Tanggungan 23.70 1.41
13 Perbelanjaan yang tidak termasuk di dalam Kementerian-Kementerian 14.05 0.84
Jumlah 1,674.87 100.00

PERBELANJAAN PEMBANGUNAN

Tuan Speaker,

71. Perbelanjaan Pembangunan Negeri yang tidak kurang pentingnya kepada negeri ini, adalah dikawal melalui bajet yang berasingan yang mana lebih dikenali sebagai bajet Pembangunan. Peruntukan untuk bajet ini diperolehi melalui sumbangan daripada bajet Perbekalan Negeri dan juga daripada sumber kewangan Persekutuan dalam bentuk pemberian dan pinjaman.

72. Hala tuju Bajet Pembangunan adalah ke arah menguatkan lagi asas-asas ekonomi dan sosiobudaya. Tumpuan hendaklah diberikan kepada pembangunan dalam sektor-sektor pertumbuhan, meneruskan pembangunan kemudahan awam, infrastruktur dan infostruktur, mempertingkatkan usaha-usaha meningkatkan status sosiobudaya, keselamatan dan kualiti hidup rakyat, khasnya penduduk luar bandar, dan mengurangkan kadar kemiskinan.

73. Dengan mengambil kira aspek-aspek yang diutarakan tadi, bagi tahun 2003, tabung pembangunan akan mendapat sejumlah RM556.75 juta yang terbahagi kepada sebanyak RM433.64 juta daripada sumber wang Negeri, RM93.80 juta Pinjaman Persekutuan; dan RM29.31 juta Bayaran Balik Persekutuan. Jumlah tersebut merupakan pengurangan sebanyak RM34.04 juta atau 5.76 peratus daripada peruntukan disemak pada tahun 2002 sebanyak RM590.79 juta.

74. Daripada RM433.64 juta wang Negeri yang telah disediakan, sejumlah RM431.64 juta adalah peruntukan secara langsung dan bakinya, RM2.00 juta, adalah untuk Pinjaman Negeri. Pinjaman Negeri ini adalah untuk Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan bagi projek perumahan awam kos rendah di Kota Marudu dan Tenom.

75. Peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan dalam bentuk pinjaman adalah untuk projek-projek di bawah Jabatan Air sebanyak RM86.00 juta, dan Lembaga Perumahan dan Pembangunan Bandar, sebanyak RM7.80 juta. Bagi Bayaran Balik Persekutuan pula, berjumlah RM29.31 juta, adalah untuk projek-projek jabatan dan agensi di bawah kawalan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan.

Tuan Speaker,

76. Sejajar dengan penekanan utama kita, sejumlah RM303.04 juta atau 69.9 peratus daripada peruntukan negeri diperuntukkan kepada pembangunan Sektor Ekonomi. Di bawah sektor ini, pembangunan infrastruktur, pengangkutan dan lain-lain kemudahan awam diberikan bahagian yang terbesar berjumlah RM194.15 juta. Agihan ini dibuat atas perkiraan sektor ini berperanan sebagai pemangkin utama kepada pembangunan sektor-sektor lain. Pembangunan tanah dan pertanian diperuntukan sejumlah RM84.80 juta untuk memastikan pembangunannya adalah seiring dengan Dasar Pertanian Negara yang baru. Peruntukan kepada item lain di bawah sektor ini adalah seperti berikut:

RM Juta
Pelancongan 12.95
Kewangan dan Industri 7.83
Pembangunan Penyelidikan & Tenaga Kerja 3.30

77. Sektor Sosial telah diperuntukan sebanyak RM90.50 juta atau 20.9 peratus daripada jumlah keseluruhan peruntukan. Daripada jumlah ini, RM35.15 juta dikhaskan untuk pembangunan masyarakat dan luar bandar. Keutamaan kepada kedua-dua sektor kecil ini akan terus diberi perhatian kerana masyarakat yang seimbang dan maju dari segi material, emosi dan spiritual akan menjamin kesejahteraan negeri dan negara.

78. Peruntukan ini disediakan secara khas untuk projek-projek pembangunan luar bandar dan program-program ke arah mengurangkan kadar kemiskinan seperti Projek Pembangunan Khas; Projek Pembangunan Kecil; Pembasmian Kemiskinan; dan Pemulihan Kampung.

79. Dengan peruntukan ini serta pelengkapnya, iaitu program pre-emptif yang disediakan oleh Kerajaan Persekutuan pada tahun ini, berjumlah RM140 juta bagi 20 kawasan Parlimen, kerajaan mengharapkan objektif untuk mengurangkan kadar kemiskinan di luar bandar dan ketidakseimbangan pembangunan ekonomi di antara wilayah dapat direalisasikan. Aspek kemiskinan dan ketidakseimbangan perlu dilihat dari dimensi pelbagai, sesuai dengan perspektif pembangunan yang holistik.

80. Bantuan dan sokongan jitu daripada pihak kerajaan dapat menggerakkan Ahli-Ahli Yang Berhormat mempertingkatkan lagi usaha-usaha mereka untuk memajukan dan menggerakkan ekonomi di kawasan masing-masing. Peruntukan yang besar jumlahnya ini juga akan membuka ruang bagi kontraktor-kontraktor tempatan merebut peluang ini demi kemajuan dan kesejahteraan mereka dan rakyat setempat.

Tuan Speaker,

81. Bidang-bidang lain yang terletak di bawah Sektor Sosial adalah:

RM Juta
Perumahan dan Perbandaran 29.30
Pembangunan Bandaraya & Kuasa-Kuasa Tempatan 11.35
Perpustakaan dan Perkhidmatan Kebajikan Am 10.20
Kebudayaan dan Sukan 2.40
Pembangunan Wanita 0.30

82. Dasar Kerajaan Persekutuan untuk memertabatkan peranan wanita menerusi pelbagai jenis program dan kemudahan dalam Belanjawan 2003, bagi membolehkan agensi Kerajaan, pihak swasta dan NGO berganding bahu amatlah dialu-alukan. Pengiktirafan ini adalah satu lonjakan yang benar-benar memberi pengiktirafan kepada sumbangan kaum wanita kepada pembangunan ekonomi dan sosial di seluruh negara. Dalam hal yang demikian, kerajaan negeri akan turut menyumbang sebanyak RM1 juta kepada program khusus pembangunan wanita di Sabah selain daripada peruntukan yang telah diagihkan di bawah kementerian-kementerian lain.

83. Selain itu, kerajaan juga akan berusaha untuk merealisasikan setinggan sifar dan mewujudkan kawasan perbandaran yang mempunyai nilai-nilai estetik serta memenuhi keperluan asas hidup yang moden lagi selesa. Perancangan ini adalah seiring dengan proses pemodenan bandar dan kawasan perkampungan. Dalam konteks ini, Kerajaan Negeri dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan, melalui Syarikat Perumahan Negara, akan membina lebih banyak perumahan kos rendah bagi menyediakan tempat kediaman kepada mereka yang memerlukan.

84. Kerajaan Negeri juga telah mengenal pasti beberapa kawasan di majlis-majlis perbandaran dan daerah-daerah yang berkenaan untuk dijadikan rezab kampung tersusun bagi tujuan menempatkan semula penduduk setinggan tempatan. Kerja-kerja pengukuran lot-lot dan kerja-kerja pembersihan telah dilakukan di kawasan-kawasan yang dikenalpasti dalam Fasa I. Pada ketika ini, kerja-kerja pengukuran sedang dijalankan di kawasan-kawasan yang dikenalpasti dalam Fasa II.

85. Dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan, sejumlah RM38 juta akan dibelanjakan bagi penyediaan infrastruktur dan kemudahan asas seperti bekalan air dan elektrik, titian pejalan kaki dan jalanraya.

86. Sektor Pentadbiran Am telah diperuntukan sebanyak RM35.10 juta atau 8.1 peratus bagi pembangunan pentadbiran. Manakala sebanyak RM5.00 juta daripada peruntukan pembangunan adalah disediakan bagi kegunaan luar jangka.

87. Pembahagian Bajet Pembangunan bagi tahun 2003 mengikut Kementerian adalah seperti berikut:

Kementerian

RM (Juta) 

Kementerian Pembangunan Infrastruktur 196.13 45.24
Kementerian Pembangunan Pertanian dan Industri Makanan 75.27 17.36
Jabatan Ketua Menteri 63.13 14.56
Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan  26.60 6.13
Kementerian Pembangunan Luar Bandar 20.65 4.76
Kementerian Pembangunan Pelancongan, Alam Sekitar, Sains dan Teknologi 12.95 2.99
Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna 10.50 2.42
Kementerian Kewangan 8.00 1.84
Kementerian Pembangunan Perindustrian 7.33 1.69 
Kementerian Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat 5.68 1.31
Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan 2.40 0.55
Simpanan Luar Jangka 5.0 1.15
Jumlah 433.64 100.00

88. Kita juga akan mendapat pemberian peruntukan secara langsung daripada Kerajaan Persekutuan untuk projek-projek di bawah senarai bersama mengikut Perlembagaan Negeri. Namun, pelaksanaan projek-projek ini masih dikawalselia oleh Kerajaan Persekutuan. Berdasarkan Bajet Negara yang telah dibentangkan pada 20 September yang lepas, sejumlah RM725.77 juta telah diperuntukan kepada Sabah pada tahun depan.

89. Peruntukan Persekutuan adalah dibahagikan kepada bidang-bidang berikut:

RM (Juta)

Perhutanan  11.57
Lembaga Industri Getah Sabah 4.25 
Pertanian (Perkhidmatan Pengembangan) 0.40
Perikanan  5.60
Jalan Raya dan Jambatan 517.95
Bekalan Elektrik 98.00
Bekalan Air 88.00
725.77

90. Peruntukan yang sebesar ini tidak dapat dinafikan akan menyumbang ke arah mempercepatkan lagi pembangunan ekonomi negeri. Ia juga menunjukkan bahawa Kerajaan Persekutuan sentiasa mengambil berat terhadap kebajikan kita semua. Bagi pihak Kerajaan Negeri, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pucuk pimpinan pusat yang telah bermurah hati dalam menyediakan bantuan kewangan yang saya pasti akan meletakkan keupayaan negeri ke tahap yang lebih tinggi.

PENGURUSAN AGENSI KERAJAAN YANG SENSITIF DAN LEBIH BERTANGGUNGJAWAB

Tuan Speaker,

91. Seperti yang berulangkali dinyatakan, kebanyakan agensi-agensi milik Kerajaan Negeri berada pada keadaan lemah dan bermasalah. Hakikat ini perlu diterima oleh lembaga pengarah serta pasukan pengurusan utama agensi-agensi ini. Alasan bahawa misi sosioekonomi yang telah diamanahkan kepada mereka menjadi penghalang kepada penjanaan hasil dan keuntungan tidak lagi relevan.

92. Indikator pengurusan seperti kemerosotan hasil atau keuntungan dan kenaikan kos perbelanjaan yang mendadak perlu dikaji dengan teliti, sesuai dengan pepatah Inggeris 'forewarned is forearmed'. Pasukan pengurusan utama hendaklah sentiasa memikirkan formula terbaik bagi meningkatkan prestasi kewangan dan imej organisasi masing-masing tanpa perlu ditegur dan diingatkan.

93. Kita tidak lagi boleh menerima agensi-agensi ini dibiarkan begitu sahaja. Kelewatan untuk mengatasi masalah yang berlarutan ini bukan sahaja merugikan kewangan kerajaan dan rakyat Sabah, tetapi menjejaskan masa depan pengurusan kewangan negeri. Pesanan YAB Ketua Menteri, "Enough is enough!" amat tepat sekali dipatuhi oleh semua pihak.

94. Lembaga Pengarah dan pasukan pengurusan utama agensi-agensi berkenaan perlu menerima hakikat dan menghadapi apa sahaja risiko yang timbul hasil daripada keputusan-keputusan yang telah mereka buat sebelum ini. Saya percaya pendekatan sebegini akan membuat Lembaga Pengarah dan pasukan pengurusan utama agensi-agensi berkenaan lebih bertanggungjawab dan berhati-hati di dalam proses mengambil keputusan dan pelaksanaan tugas-tugas seharian mereka.

95. Pemantauan yang rapi, merangkumi pelaksanaan dan pengubahsuaian projek-projek penswastaan serta peningkatan prestasi masing-masing akan diutamakan. Sealiran dengan amalan ini, kita telah mengambilalih kawalan ke atas Angkatan Hebat Sdn. Bhd. melalui Warisan Harta Sabah Sdn. Bhd., sebuah syarikat di bawah Kementerian Kewangan, dengan meningkatkan pemilikan ekuiti kepada 70 peratus. Dalam masa yang singkat lembaga dan pengurusan baru telah mengambil beberapa langkah untuk mengurangkan kos kepada kerajaan sambil memastikan syarikat ini terus menjadi sebuah 'profit centre'. Tindakan yang sama sedang dilaksanakan untuk mengambilalih pemilikan dan kawalan KPD Holdings Bhd. daripada Empor Holdings Sdn. Bhd. yang mana selama ini amat merugikan kerajaan.

96. Semua tindakan yang sedang dirancang, dalam pelaksanaan atau telah disempurnakan adalah bertujuan untuk menyelamatkan kerugian besar yang berlarutan. Masa tidak lagi mengizinkan kita untuk membiarkan keadaan ini. Sudah sampai bagi kita semua untuk berdiri teguh atas prinsip akauntabiliti dan pengamalan budaya pengurusan yang cekap dan amanah. Lagi awal kita menyelesaikan masalah ini bersama, lagi cerah masa depan negeri Sabah dan rakyatnya. Kita perlu juga berdepan dengan kenyataan semasa dan akan datang yang memerlukan setiap badan korporat mempunyai daya saing yang cukup berwibawa untuk menghadapi era globalisasi yang penuh mencabar.

97. Dengan langkah-langkah yang diambil oleh Kerajaan Negeri kita mengharapkan tidak akan lagi berulang perkara-perkara seperti mengadakan perjanjian-perjanjian yang merugikan pihak kerajaan dan rakyat, program penswastaan yang tidak menepati tujuan asal dan lembaga pengarah yang tidak amanah dan tidak bertanggungjawab, serta pengurusan yang tidak cekap.

PENUTUP

Tuan Speaker,

98. Antara perkara yang saya telah bangkitkan pada awal ucapan Bajet 2003 adalah mengenai kepentingan untuk berbelanja mengikut keupayaan berasaskan sumber hasil. Oleh itu, semua pihak mesti mengutamakan pengurusan ekonomi dan disiplin kewangan yang tinggi. Hal ini telah ditekankan dalam pekeliling Anggaran Perbekalan Tahun 2003. Secara jelas strategi-strategi mengawal perbelanjaan telah digariskan untuk dijadikan panduan dalam merancang keperluan peruntukan bagi tahun 2003.

99. Saya juga ingin menarik perhatian semua pihak bahawa pengurusan kewangan dan mencari sumber hasil negeri tidak sepatutnya diletakkan di atas bahu sesebuah kementerian sahaja. Sebaliknya, ia menjadi satu tanggungjawab dan kewajipan kita semua, demi kebaikan masa depan generasi kita akan datang. Sifat berkongsi tanggungjawab bersama perlu dipupuk di kalangan sektor awam. Ingatlah bahawa tidak ada siapapun yang akan membantu Negeri Sabah untuk terus maju kecuali kita sendiri. Dengan komitmen, ketekunan dan keikhlasan yang ditunjukkan, pastinya 'the fruit of success' itu akan dinikmati oleh kita sendiri.

100. Bajet 2003 akan menjadi suatu instrumen yang penting bagi menerajui langkah redressal agar agensi dan perkhidmatan kritikal menjadi lebih efisien, produktif dan menguntungkan semua pihak, khususnya rakyat. Amalan ini akan membuka suatu lembaran baru bahawa Kerajaan ingin menanamkan budaya pengurusan yang moden dan efektif. Kualiti pengurusan semua pihak perlu ditingkatkan sesuai dengan keperluan untuk bersedia menghadapi cabaran AFTA, WTO dan proses globalisasi. Penekanan juga akan diberikan untuk memperkukuhkan lagi bidang-bidang strategik pembangunan ekonomi dan sosiobudaya. Pelbagai bidang baru juga hendaklah diterokai agar bes ekonomi negeri dapat diperluaskan daripada terlalu bergantung kepada ekonomi komoditi tradisional. Dalam konteks ini, aspek Penyelidikan dan Pembangunan (R & D), aplikasi ICT dan lain-lain lagi perlu diberi perhatian. Jentera perkhidmatan awam hendaklah menonjolkan lagi peranannya dalam memacukan peralihan daripada P-ekonomi kepada K-ekonomi dalam bidang-bidang yang sesuai untuk negeri Sabah.

101. Hendaklah kita akui bersama bahawa sumbangan nilai budaya kerja yang dinamik dalam pembangunan ekonomi mempunyai peranan untuk menaikkan martabat negeri ini. Dalam konteks ini adalah bertepatan sekiranya saya cadangkan bahawa terdapat keperluan untuk merekacipta semula budaya kerja (reinventing work culture) berorientasikan pencapaian cemerlang. Budaya kerja yang hanya berpuas hati dengan menyelesaikan kerja-kerja harian tanpa memberi input dan sumbangan baru yang kreatif lagi inovatif tidak lagi memadai. Kita perlu berkhidmat dengan iltizam yang baru. Dalam konteks ini, kita perlu meningkatkan lagi penguasaan ilmu pengetahuan, kemahiran dan kompetensi di peringkat peribadi dan pasukan masing-masing. Dengan mengamalkan budaya yang sentiasa ingin belajar dengan mengaplikasikan pengetahuan baru dalam bidang kerjaya kita, sudah pasti kita akan berjaya membawa transformasi yang positif. Budaya yang menyanjung prestasi cemerlang, nilai yang unggul dan murni, berhemah tetapi cekap, menyemarakkan semangat berpasukan dan menghidupkan kedinamikan hendaklah menjadi pegangan kita semua.

102. Kerajaan tidak pernah gagal untuk menunaikan tanggungjawabnya bagi menghargai sumbangan anggota perkhidmatan awam selama ini. Sebagai tanda penghargaan, sepertimana yang telah diumumkan oleh YAB Ketua Menteri, Kerajaan Negeri telah juga bersetuju untuk membayar bonus satu bulan gaji atau minima RM1,200 dalam dua ansuran bermula bulan November 2002, berserta dengan pelaksanaan Sistem Saraan Malaysia (SSM). Dengan penghargaan ini kita mengharapkan perkhidmatan awam selaku jentera pentadbiran akan membawa negeri Sabah ke mercu kejayaan dan kecemerlangan. Sehubungan ini, saya ingin mengajak Ahli-Ahli Yang Berhormat di Dewan Yang Mulia ini, pihak swasta bersama-sama rakyat jelata berganding bahu untuk mendokong matlamat ini.

103. Dengan itu, marilah kita "Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian. Bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian".

Tuan Speaker,

Saya mohon mencadangkan.