DEWAN UNDANGAN NEGERI SEJAK TAHUN 1963
|
|
PENDAHULUAN | |
|
Negeri Sabah pernah ditadbir oleh Gabenor berbangsa British di bawah Penjajahan British. Pada masa itu, Sabah dikenali sebagai British North Borneo. Dewan Perundangan pada ketika itu dikenali sebagai Legislative Council. Semua undang-undang yang digubal pada masa itu dipanggil ordinan. Pada 16 September 1963, Negeri Sabah mengisytiharkan kemerdekaan daripada penjajahan British. Pada hari itu, negeri Sabah, negeri Sarawak dan Singapura bergabung dengan Persekutuan Tanah Melayu dan membentuk satu negara yang kini dikenali sebagai MALAYSIA. Encik Donald Stephens @ Tun Haji Mohd Fuad Stephens dilantik sebagai Ketua Menteri pertama negeri Sabah . Setelah merdeka, Dewan Undangan Negeri Sabah dibentuk dengan melantik beberapa pemimpin tempatan daripada kalangan masyarakat yang mewakili kawasan Kuasa-kuasa Tempatan (Local Council Jurisdiction). Mereka digelar sebagai The Legislative Executive. Undang-undang yang diluluskan oleh badan ini dipanggil Enakmen. Bagaimanapun, sebahagian undang-undang (Ordinan) masih diterima pakai sehingga hari ini, sebagai tanda peninggalan penjajahan British seperti Ordinan Tanah 1963. Pilihanraya Negeri Sabah pertama diadakan dalam tahun 1967, lebih kurang empat tahun selepas pengisytiharan kemerdekaan. Di bawah peruntukan Artikel 13 dan 14 Perlembagaan Negeri Sabah, Badan Perundangan Negeri Sabah terdiri daripada Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah dan Dewan Undangan Negeri Sabah. Dewan Undangan Negeri Sabah terdiri daripada seorang Speaker, dua orang Timbalan Speaker dan 60 Ahli Dewan Undangan Negeri.
|