The Official Website of The Chief Minister Of Sabah

Program Kayuhan Budi(Budi Ride) Sabah (Tabung Pendidikan 1 Bilion)

TEKS UCAPAN TAN SRI DATUK SERI PANGLIMA MUSA HAJI AMAN KETUA MENTERI SABAH, SEMPENA PROGRAM KAYUHAN BUDI (BUDI RIDE) SABAH (TABUNG PENDIDIKAN 1 BILION), PADA 2 DISEMBER 2017 (SABTU) DI UNIVERSITI TEKNOLOGI MARA, KAMPUS KOTA KINABALU.

 

Alhamdulilah, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya, kita dapat bersama-sama sempena Majlis Pelancaran Program Kayuhan Budi atau Budi Ride iaitu siri penjelajahan kayuhan basikal ke seluruh Negara dengan hentian di UiTM-UiTM Negeri.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat datang kepada rombongan dari Tabung Pendidikan 1Bilion ke Sabah, Negeri Di Bawah Bayu. Terima kasih juga kerana memilih Sabah sebagai destinasi untuk melaksanakan program TP1B pada kali ini.

Syabas dan tahniah kepada pihak penganjur atas pelaksanaan program ini. Saya percaya, ia adalah satu program besar yang berupaya menyatukan semua alumni UiTM di seluruh Negara di samping memperkenalkan yayasan tabung ini kepada masyarakat. 

Kita maklum bahawa jasa UiTM kepada anak bangsa sememangnya sangat dihargai. Untuk itu, program seumpama ini seharusnya di sertai oleh semua golongan masyarakat, terutamanya Alumni UiTM untuk menyumbang semula kepada setiap program yang dilaksanakan oleh TP1B.


Bagi kita di Sabah, kita amat menyokong dan mengalu-alukan usaha TP1B dalam melaksanakan program ini. Program yang merangkumi pelbagai aspek, Kayuhan Budi diharap dapat mengukuhkan ikatan persaudaraan sesama Alumni di seluruh Negara.

Saya juga dimaklumkan bahawa anak-anak penerima dermasiswa TP1B seramai 52 orang juga berada di sini. Mereka di bawa ke sini bagi menjalani Kem SMART di MRSM Kota Kinabalu, iaitu satu lagi usaha dan inisiatif Yayasan ini dalam program ‘1 Keluarga 1 Graduan’. Syabas saya ucapkan.

 

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru kepada semua Alumni UiTM terutamanya dari negeri Sabah untuk sama-sama menyokong dan mendokong, dan membantu apa yang boleh kepada Yayasan TP1B dalam merealisasikan setiap program mereka. Ini lah peluang yang boleh kita ambil untuk membalas jasa UiTM jika tidak semua pun, sedikitnya sudah pasti ada di dalam sejarah kejayaan hidup kita. 

 

Apa juga bentuk sumbangan tidak dikira dari segi fizikal atau material, kecil atau besar jumlahnya bukan ukuran. Sikap keperihatinan dan semangat untuk memberi semula, itu lebih berharga. Sikap sedemikian sangat dihormati dan mulia.

Akhir kata, saya berharap agar TP1B terus berjaya di dalam usaha dan niat murni untuk membantu lebih ramai anak-anak yang tidak berkemampuan di dalam pendidikan tanpa mengira bangsa dan agama demi kesejahteraan, kemajuan dan perpaduan Negara melalui pendidikan. Sekian.

 

Saturday, December 2, 2017

Office

Press and Publication Office
Chief Minister's Department
31st Floor, Pusat Pentadbiran Negeri Sabah
Jalan Sulaman, Teluk Likas
88400 KOTA KINABALU

Chief Minister's Office
31st & 32nd Floor, Pusat Pentadbiran Negeri Sabah
Jalan Sulaman, Teluk Likas
88400 KOTA KINABALU