The Official Website of The Chief Minister Of Sabah

Perasmian Pesta Rumbia ke-28 tahun 2017

 

TEKS UCAPAN Y.A.B. TAN SRI DATUK SERI PANGLIMA MUSA HAJI AMAN, KETUA MENTERI SABAH, SEMPENA PERASMIAN PESTA RUMBIA KE-28 TAHUN 2017, PADA 16 DISEMBER 2017, DI DEWAN DATO SHAH BANDAR MAKANG, KUALA PENYU.

Terlebih dahulu, saya merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Pengerusi dan seluruh Ahli Jawatankuasa Pesta Rumbia Kuala Penyu, atas jemputan untuk saya hadir seterusnya menyempurnakan program pada pagi ini. Syabas dan tahniah kepada seluruh jawatankuasa penganjur Pesta Rumbia Ke-28, 2017 atas pelaksanaan pesta yang amat meriah dan bermakna ini.

Kejayaan penganjuran pesta seperti ini setiap tahun tanpa gagal harus diberi pengiktirafan dan seharusnya dipuji. Selaras dengan objektif utama perayaan Pesta Rumbia ini, Kuala Penyu telah dikenali bukan sahaja oleh lapisan masyarakat di negeri ini tetapi juga di peringkat antarabangsa.

Dengan tema Pesta Rumbia pada tahun ini, ‘Rumbia Menjana Ekonomi, Penyatu Budaya’, tentunya ia akan mendidik generasi kita untuk menghargai dan memelihara pokok rumbia, di samping menjana peluang-peluang ekonomi daripada produk yang dihasilkan oleh pokok rumbia.

Dalam kita mengejar pembangunan dan kemajuan, kita juga seharusnya perlu memikirkan asal usul dan sumber kita. Kita mempromosikan produk yang berasaskan rumbia demi kelangsungan kehidupan kita yang lebih baik. Dan pokok rumbia menjadi sasaran untuk ditebang dan diproses menjadi sumber makan, kraftangan serta alat keperluan asas harian yang lain.

Perlu kita ingat bahawa sebatang pokok rumbia memerlukan masa kira-kira sepuluh tahun untuk menjadi matang. Penebangan pokok rumbia secara berleluasa tanpa usaha dan tindakan memulihara atau menanamnya semula, boleh menyebabkan kepupusan rumbia kita. Apabila rumbia terancam maka tempat haiwan berteduh, sumber makan, kraftangan dan alat keperluan asas harian akan berkurangan.

Oleh sebab itu, kita perlu mengambil inisiatif untuk menjaga pokok rumbia supaya tidak pupus khususnya di daerah Kuala Penyu ini. Masyarakat tempatan khasnya harus ada kesedaran dan rasa sayang terhadap rumbia. Rumbia merupakan khazanah tempatan yang perlu dijaga dan dipelihara supaya generasi baru kita turut mengecapi keistimewaan pokok serbaguna ini.

Dalam setiap perayaan, pesta atau acara, aspek perpaduan merupakan teras kepada kejayaan pelaksanaan program tersebut. Sehubungan itu, saya percaya pesta ini berupaya menjadi platform kepada rakyat jelata yang terdiri berbilang bangsa, kaum dan budaya untuk tidak hanya semata-mata merayakan pesta tetapi juga mengeratkan lagi jalinan kekeluargaan, kemesraan dan perpaduan sesama kita.

Saya sangat gembira melihat masyarakat berbilang bangsa dan agama hadir untuk sama-sama merayakan pesta ini. Perbezaan kaum, agama dan budaya tidak seharusnya dijadikan penghalang untuk kita berpadu dan bersatu hati.  Sebaliknya ia menjadikan kita lebih kuat demi mewujudkan sebuah negeri yang aman, makmur dan sejahtera.

Akhir kata, sekali lagi saya merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada Pengerusi dan semua Ahli Jawatankuasa serta seluruh rakyat di Kuala Penyu dan kawasan sekitarnya atas komitmen dan kebersamaan dalam meraikan pesta ini. Semoga penganjuran pesta ini akan berjaya mencapai matlamatnya dalam memperkasakan perpaduan serta mewujudkan peluang-peluang ekonomi kepada masyarakat tempatan untuk memajukan ekonomi diri dan keluarga. Sekian.

 

 

 

Saturday, December 16, 2017

Office

Press and Publication Office
Chief Minister's Department
31st Floor, Pusat Pentadbiran Negeri Sabah
Jalan Sulaman, Teluk Likas
88400 KOTA KINABALU

Chief Minister's Office
31st & 32nd Floor, Pusat Pentadbiran Negeri Sabah
Jalan Sulaman, Teluk Likas
88400 KOTA KINABALU