The Official Website of The Chief Minister Of Sabah

Majlis Ramah Mesra Bersama Warga Sabah

 

TEKS UCAPAN Y.A.B. TAN SRI DATUK SERI PANGLIMA MUSA HAJI AMAN KETUA MENTERI SABAH, SEMPENA MAJLIS RAMAH MESRA BERSAMA WARGA SABAH, PADA 11 FEBRUARI 2018, DI GRAND BALLROOM TUN RAHAH, YAYASAN TUN RAZAK, KUALA LUMPUR.

 

 Kita bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya, kita dapat bersama-sama sempena Majlis Ramah Mesra bersama Warga Sabah yang bekerja di semenanjung. Saya merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur iaitu Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah serta semua pihak atas inisiatif mengadakan program seumpama ini.

 

Saya juga mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada saudara-saudari sekalian, anak-anak dan warga Sabah yang dikasihi atas kesudian untuk melapangkan masa dengan kehadiran yang begitu ramai pada hari ini. Sesungguhnya, saya berasa begitu gembira dan berbesar hati dapat berjumpa dan beramah mesra dengan saudara-saudari sekalian, dalam majlis yang amat bermakna ini.

 

Majlis sebegini amat penting untuk kita mengeratkan lagi semangat persaudaraan dan rasa kekitaan dalam kalangan kita orang-orang Sabah khususnya yang berada di Semenanjung. Ini kerana kita adalah sebuah keluarga yang besar dan ibarat adik-beradik walaupun terdiri daripada pelbagai suku kaum, agama dan budaya serta latar belakang yang berbeza. Apa yang lebih penting adalah untuk kita saling bekerjasama, bersatu padu dan berganding bahu sesama kita apatah lagi apabila saudara-saudari berada jauh dari keluarga dan sanak-saudara.

 

Semangat persaudaraan dan rasa kekitaan inilah yang menjadi amalan dan budaya kita di Sabah selama ini. Apatah lagi dalam konteks semangat 1Malaysia, Y.A.B. Perdana Menteri, Datuk Seri Panglima Mohd. Najib Tun Abdul Razak telah mengakui dan mengiktriaf bahawa orang-orang Sabah adalah contoh terbaik semangat 1Malaysia. Oleh itu, saya berharap agar budaya dan amalan ini dapat terus kita kekalkan apabila kita berada jauh di perantauan seperti kehidupan saudara-saudari di sini.

 

Alhamdulillah, negeri Sabah di bawah kepimpinan kerajaan Barisan Nasional terus pesat membangun dalam pelbagai sektor dengan adanya perpaduan rakyat, dengan adanya kestabilan politik dan ekonomi serta usaha berterusan kerajaan dalam memacu pembangunan negeri. Antaranya di bawah Dasar Halatuju Negeri dengan tumpuan kepada sektor pelancongan, pertanian dan pembuatan serta pembangunan modal insan.

 

Segala dasar dan program pembangunan yang telah, sedang dan akan terus dilaksanakan tentunya bertujuan untuk memberi manfaat kepada kemakmuran negeri dan kesejahteraan rakyat. Ini termasuklah kepada kumpulan sasaran, terutama rakyat di kawasan pedalaman. Kini telah banyak manfaat pembangunan yang kita nikmati termasuklah pembinaan Lebuh raya Pan Borneo yang sedang rancak dijalankan di samping penubuhan pelbagai institusi pengajian tinggi, pusat kemahiran dan hab pendidikan.

 

Walaupun saudara-saudari berada jauh di perantauan, kerajaan negeri khususnya melalui Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah bersama-sama jabatan dan agensinya sentiasa bersedia untuk memberikan bantuan dan perkhidmatan yang sewajarnya kepada mereka yang memerlukan. Justeru, saya berharap agar saudara-saudari dapat memanfaatkan saluran yang ada untuk menyalurkan apa juga pandangan, cadangan dan saranan yang terbaik untuk kebajikan dan kesejahteraan saudara-saudari sekalian.

 

Akhir kata, sekali lagi saya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada saudara-saudari sekalian, anak-anak dan warga Sabah yang datang dari jauh dan dekat semata-mata untuk kita dapat bersama-sama dalam majlis ini. Saya bersama-sama barisan kepimpinan Kerajaan Negeri dan seluruh rakyat Sabah, sentiasa mendoakan kesejahteraan, keselamatan dan kejayaan saudara-saudari dan keluarga yang jauh di perantauan.

 

Rakaman penghargaan juga kepada pihak penganjur, Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah serta barisan jawatankuasa yang bergabung tenaga menganjurkan majlis ini. Semoga kita akan bertemu lagi dalam kesempatan yang akan datang. Sekian.

 

 

Sunday, February 11, 2018

Office

Press and Publication Office
Chief Minister's Department
31st Floor, Pusat Pentadbiran Negeri Sabah
Jalan Sulaman, Teluk Likas
88400 KOTA KINABALU

Chief Minister's Office
31st & 32nd Floor, Pusat Pentadbiran Negeri Sabah
Jalan Sulaman, Teluk Likas
88400 KOTA KINABALU