The Official Website of The Chief Minister Of Sabah

Majlis Perasmian Program Eksplorasi Klik Dengan Bijak: Kesejahteraan Siber Melalui Pendidikan

 

TEKS UCAPAN Y.A.B. TAN SRI DATUK SERI PANGLIMA MUSA HAJI AMAN KETUA MENTERI SABAH, SEMPENA MAJLIS PERASMIAN PROGRAM EKSPLORASI KLIK DENGAN BIJAK : KESEJAHTERAAN SIBER MELALUI PENDIDIKAN, PADA 11 FEBRUARI 2018, DI BALLROOM HOTEL FOUR POINTS SANDAKAN.

 

Saya merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan  Kolej UNIKOP PDRM atas jemputan untuk merasmikan Program Eksplorasi Klik Dengan Bijak : Kesejahteraan Siber Melalui Pendidikan pada pagi ini.

 

Saya menyambut baik penganjuran program ini untuk menggembleng penglibatan masyarakat, bagi mewujudkan dan meningkatkan kesedaran awam terhadap keselamatan dan penggunaan internet secara bijak.

 

Inisiatif ini memang bertepatan pada masanya dengan konsep turun padang secara bersemuka untuk mendekati masyarakat dan mendedahkan trend penggunaan media baharu. Saya yakin program ini dapat menerapkan amalan penggunaan positif media baharu untuk diaplikasikan oleh masyarakat khususnya ibu bapa dan para pelajar.

 

Dengan ledakan teknologi dan aplikasi media sosial yang mengubah lanskap komunikasi dan penyampaian maklumat, usaha memupuk kesejahteraan siber, dengan membina asas kesedaran masyarakat melalui pendidikan secara nyata, mahupun secara maya amat penting dan perlu terus dipergiatkan. Kita percaya bahawa pendidikan adalah langkah pencegahan yang terbaik. Apatah lagi trend menunjukkan bahawa aplikasi media sosial mencetuskan fenomena masyarakat, yang cenderung untuk mendapat dan berkongsi maklumat dengan cepat tanpa menghiraukan etika penggunaan dan kesahihan sesuatu maklumat.

 

Saya juga memuji inisiatif MCMC yang telah menyediakan pelbagai platform untuk masyarakat termasuklah program keselamatan internet ‘Klik Dengan Bijak’ ini. Saya percaya, ia berupaya mendidik kita tentang cara menggunakan internet dengan berhemah selari dengan prinsip Rukun Negara yang merangkumi semua nilai diperlukan, untuk diamalkan oleh rakyat Malaysia. Oleh itu, marilah kita bekerjasama dan berganding bahu untuk terus memupuk kesejahteraan siber demi membentuk masyarakat sejahtera yang beretika, berakhlak mulia dan inovatif.

 

Akhir kata, saya sekali lagi mengucapkan tahniah dan penghargaan kepada pihak penganjur program ini. Semoga inisiatif ini memberikan impak yang positif dan manfaat yang terbaik kepada komuniti untuk terus maju dan berjaya dalam era globalisasi dan kecanggihan siber ini. Sekian.

 

 

Sunday, February 11, 2018

Office

Press and Publication Office
Chief Minister's Department
31st Floor, Pusat Pentadbiran Negeri Sabah
Jalan Sulaman, Teluk Likas
88400 KOTA KINABALU

Chief Minister's Office
31st & 32nd Floor, Pusat Pentadbiran Negeri Sabah
Jalan Sulaman, Teluk Likas
88400 KOTA KINABALU