The Official Website of The Chief Minister Of Sabah

Majlis Perasmian Penutupan Seminar Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Ahli Majlis Kongres Cuepacs

 

TEKS UCAPAN Y.A.B. TAN SRI DATUK SERI PANGLIMA MUSA HAJI AMAN KETUA MENTERI SABAH SEMPENA MAJLIS PERASMIAN PENUTUPAN SEMINAR KESELAMATAN DAN KESIHATAN PEKERJAAN AHLI MAJLIS KONGRES CUEPACS, PADA 03 FEBRUARI 2018

DI THE KLAGAN HOTEL, KOTA KINABALU.

 

Alhamdulillah, marilah kita merafakkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT, kerana dengan limpah izin dan kurnia-Nya, kita dapat bersama-sama bersempena dengan Seminar Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan Ahli Majlis Kongres CUEPACS. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur, atas jemputan untuk saya hadir bersama-sama dengan tuan-tuan dan puan-puan seterusnya merasmikan penutupan seminar ini.

 

Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Yang Berusaha Datuk Haji Azih bin Muda selaku Presiden CUEPACS, yang telah menwujudkan ruang dan kesempatan ini untuk kita menyampaikan pandangan dan pesanan akan tanggungjawab sebagai anggota Perkhidmatan Awam dan kepimpinan kesatuan, dalam merealisasikan impian negara dan Kerajaan ke arah pencapaian negara maju suatu hari nanti.

 

Pada hemat saya, seminar seumpama ini amat wajar diadakan tatkala perbahasan mengenai tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan sering kedengaran dalam sidang yang tidak rasmi di luar sana. Saya percaya dengan adanya seminar ini, CUEPACS telah mengambil langkah-langkah awal dan tepat dalam membantu Kerajaan bagi merumuskan mekanisma dari aspek pengurusan dalam menangani isu keselamatan dan kesihatan pekerjaan, yang sentiasa memberi kesan bukan sahaja kepada pekerja itu sendiri, malah kepada keluarga pekerja apabila suatu musibah berlaku.

 

Saya percaya, seminar ini juga sedikit sebanyak akan mendedahkan peserta kepada kefahaman setiap agensi yang terlibat dalam kesihatan pekerjaan. Ini bagi membolehkan gagasan, hasrat, perkembangan semasa suatu perancangan serta keselamatan dan kesihatan pekerjaan di dalam  negara dapat dikongsi secara terus dan tulus serta bermaklumat. Ini amat penting bagi melengkapkan penjawat awam dan kepimpinan kesatuan yang berpengetahuan jauh dalam aspek-aspek kesihatan pekerjaan dan keselamatan.

 

Sesungguhnya, kerajaan amat menitikberatkan soal-soal yang berkaitan dengan kepentingan dan kebajikan para pekerja, terutama yang melibatkan aspek keselamatan dan kesihatan semasa bekerja. Komitmen Kerajaan dalam perkara ini amat jelas dan telah termaktub dalam Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994. Akta ini menyediakan rangka untuk memupuk, merangsang dan menggalakkan pencapaian mutu keselamatan dan kesihatan yang tinggi di tempat kerja.

 

Pada masa yang sama, kita juga amat menghargai komitmen para majikan yang sentiasa mengutamakan aspek keselamatan, kesihatan dan kebajikan para pekerja mereka, dengan berusaha untuk mewujudkan tempat kerja dan persekitaran yang kondusif dan selamat.  Dengan komitmen dan kesungguhan inilah kita telah dapat mengurangkan kadar kemalangan di tempat kerja dan kita amat berharap kadar kemalangan di tempat kerja akan terus menurun hingga ke satu tahap, setanding dengan negara maju yang lain.

 

Suka saya tekankan bahawa Kerajaan Negeri Sabah amat peka terhadap isu keselamatan dan kesihatan pekerjaan memandangkan di negeri ini turut terdapat banyak industri bertaraf multi-nasional yang berisiko tinggi, di samping industri kecil dan sederhana yang sama-sama membawa pembangunan untuk Negeri Sabah.

 

Sehubungan itu, bagi pihak Kerajaan Negeri, kita amat menyambut baik dan mengalu-alukan penganjuran seminar seperti ini, dalam usaha kita untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan para pekerja dan juga majikan terhadap isu keselamatan dan kesihatan di tempat kerja, serta mengurangkan kadar kemalangan dalam industri.

 

Saya yakin dan percaya, melalui seminar ini dan Mesyuarat Khas Kongres CUEPACS, semua peserta, penceramah dan ahli panel dapat menyuarakan idea dan pandangan, serta saranan dalam skop dan bidang masing-masing. Pada kesempatan ini, saya merakamkan penghargaan kepada agensi yang telah terlibat bagi menjayakan seminar ini.

 

Semoga seminar dan mesyuarat ini berjalan dengan lancar seterusnya dapat menghasilkan resolusi yang diharapkan. Syabas dan tahniah kepada seluruh anggota perkhidmatan awam dan kepimpinan kesatuan atas komitmen yang tinggi untuk berseminar selama dua hari dan seterusnya mencapai matlamat yang diharapkan.

 

Akhir kata, saya berharap agar program seumpama ini akan dapat diadakan secara berterusan ke arah merealisasikan hasrat mempromosi keselamatan dan kesihatan demi menjaga kepentingan pekerja. Perlindungan yang sempurna akan menjamin produktiviti yang tinggi, sekaligus menjana kemakmuran ekonomi yang berkekalan. Sekian.

 

 

 

Saturday, February 3, 2018

Office

Press and Publication Office
Chief Minister's Department
31st Floor, Pusat Pentadbiran Negeri Sabah
Jalan Sulaman, Teluk Likas
88400 KOTA KINABALU

Chief Minister's Office
31st & 32nd Floor, Pusat Pentadbiran Negeri Sabah
Jalan Sulaman, Teluk Likas
88400 KOTA KINABALU