The Official Website of The Chief Minister Of Sabah

Majlis Perasmian Karnival Tahun Baru Cina

 

TEKS UCAPAN Y.A.B. TAN SRI DATUK SERI PANGLIMA MUSA HAJI AMAN KETUA MENTERI SABAH SEMPENA MAJLIS PERASMIAN KARNIVAL TAHUN BAHARU CINA ANJURAN BERSAMA DEWAN BANDARAYA KOTA KINABALU & GABUNGAN PERSATUAN CINA SABAH, PADA 10 FEBRUARI 2018

DI PADANG MERDEKA, KOTA KINABALU.

 

 Saya merakamkan penghargaan dan terima kasih serta ucapan tahniah kepada pihak penganjur bersama, iaitu Dewan Bandaraya Kota Kinabalu dan Gabungan Persatuan Cina Sabah, atas jemputan untuk saya melancarkan Karnival Tahun Baharu Cina 201, yang sungguh meriah ini.

 

Saya berbesar hati dan gembira kerana dapat meraikan sambutan ini bersama-sama dengan saudara saudari sekalian. Kehadiran rakyat berbilang kaum yang begitu ramai jelas membuktikan bahawa penganjuran program seperti ini berupaya mengukuhkan lagi semangat perpaduan dan keharmonian sesama kita di samping dapat memahami dan mempelajari adat budaya masyarakat Cina dalam meraikan Tahun Baharu ini.

 

Tahun baharu merupakan permulaan kepada perjuangan dan azam yang baharu, dengan tekad dan iltizam yang tinggi, untuk memastikan negeri kita terus berada dalam keadaan aman, maju dan makmur. Oleh itu, amat penting untuk kita sentiasa bekerjasama dan berganding bahu bersama-sama dengan kerajaan agar pembangunan ekonomi, kestabilan politik, kesejahteraan rakyat, keselamatan dan ketenteraman kita terus terjamin.

 

Seperti lazimnya, hari-hari kebesaran dan perayaan masyarakat berbilang kaum dan agama bukan sahaja dihadiri oleh masyarakat setempat, tetapi juga para pelancong yan turut meraikannya dalam suasana yang sungguh meriah dan berwarna-warni. Inilah keistimewaan masyarakat serta keunikan negara kita.

 

Dalam konteks ini, saya yakin dengan adanya majlis seperti ini, ia menjadi platform terbaik untuk kita menonjolkan keunikan, kesatuan dan keharmonian masyarakat kita yang berbilang kaum, agama dan budaya. Semangat kekitaan dan persaudaraan yang telah kita amalkan sekian lama, perlulah kita pelihara dan kekalkan pada masa-masa yang akan datang.

 

Sebagai pemimpin dan kerajaan untuk semua kaum, kita akan terus menyokong penganjuran karnival seperti ini. Saya juga memuji penglibatan dan sokongan ramai golongan muda dalam menyertai dan menjayakan program-program kebudayaan tradisi seperti ini. Ia merupakan satu petanda yang positif dan amat baik bagi memastikan budaya tradisi ini dapat terus dipertahankan agar tidak luput ditelan zaman.

 

Akhir kata, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baru Cina 2018 kepada seluruh masyarakat Cina khasnya di bandar raya Kota Kinabalu dan di seluruh negeri dan negara amnya. Semoga tahun baharu ini akan membawa lebih banyak kebaikan, kemakmuran serta kesejahteraan kepada kita semua. Dengan kata-kata demikian, saya dengan sukacitanya, merasmikan Karnival Tahun Baru Cina 2018. Gong Xi Fat Cai! Sekian, terima kasih.

 

 

Saturday, February 10, 2018

Office

Press and Publication Office
Chief Minister's Department
31st Floor, Pusat Pentadbiran Negeri Sabah
Jalan Sulaman, Teluk Likas
88400 KOTA KINABALU

Chief Minister's Office
31st & 32nd Floor, Pusat Pentadbiran Negeri Sabah
Jalan Sulaman, Teluk Likas
88400 KOTA KINABALU