The Official Website of The Chief Minister Of Sabah

Majlis Perasmian Karnival 'Dengue Patrol' SK. Tinusa 2018

 

TEKS UCAPAN Y.A.B. TAN SRI DATUK SERI PANGLIMA MUSA HAJI AMAN KETUA MENTERI SABAH SEMPENA MAJLIS PERASMIAN KARNIVAL ‘DENGUE PATROL’ SK. TINUSA 2018, PADA 14 APRIL 2018, DI PADANG BANDARAN SANDAKAN, SANDAKAN.

 

Terlebih dahulu saya merakamkan penghargaan dan terima atas jemputan untuk saya hadir seterusnya merasmikan Karnival Dengue Patrol pada hari ini. Saya menyambut baik usaha menganjurkan karnival yang amat bermanfaat kepada semua murid, warga sekolah dan juga komuniti setempat.

 

Saya juga mengucapkan tahniah kepada SK. Tinusa Sandakan yang telah diberi kepercayaan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Sabah dan Pejabat Daerah Sandakan untuk mewakili Daerah Sandakan ke Pertandingan ‘Dengue Patrol’ Peringkat Negeri Tahun 2018. Saya amat berbangga dengan kepercayaan yang diberikan ini, syabas dan tahniah kepada seluruh warga SK Tinusa Sandakan.

 

Program Patrol Denggi ini memang bertepatan kerana ia merupakan program kemasyarakatan untuk menggalak dan memperkasa murid serta pelajar sekolah untuk memerangi denggi menerusi aktiviti pencegahan denggi dalam komuniti sekitar seperti kampung dan kawasan perumahan berhampiran.

 

Ia merupakan satu program yang sangat bermanfaat dan satu langkah yang proaktif memandangkan ia melibatkan pendidikan dan penyertaan orang awam bersama-sama terutamanya generasi muda dalam meningkatkan kesedaran tentang denggi dan kesihatan awam serta langkah pencegahan dan perlindungan yang lebih luas terhadap penyakit ini.

 

Kerajaan Negeri menyokong sepenuhnya usaha murni program ini. Semoga ia dapat diperluaskan lagi di sekolah-sekolah seluruh Sabah dan mendapat sokongan dari semua pihak khususnya komuniti setempat. Saya berpendapat, mengubah tingkah laku masyarakat tentang kebersihan merupakan tanggungjawab semua pihak.

 

Dalam hal ini, kesedaran amat penting agar kita sama-sama dapat mencegah dan mengawal penyakit berjangkit daripada terus menular khususnya di kawasan kita kerana wabak denggi ini sangat berbahaya. Sehubungan itu, ambillah tindakan yang sewajarnya demi kebaikan kita dan keluarga.

 

Suka saya mengingatkan bahawa tanggungjawab membasmi nyamuk aedes ini bukan semata-mata terletak di bahu Kementerian Kesihatan atau kerajaan sahaja. Setiap pihak dan masyarakat keseluruhannya perlu sama-sama bertanggungjawab dan berganding bahu dalam memastikan kawasan sekitar kita bebas daripada pembiakan nyamuk aedes. Oleh yang demikian, sahutlah seruan kerajaan untuk membersihkan kediaman masing-masing sekurang-kurangnya 10 minit seminggu.

 

Kerajaan telah menyediakan peruntukan yang besar untuk meningkatkan taraf kesihatan rakyat di negara ini. Semuanya  ini disalurkan sama ada melalui program-program kesihatan atau melalui pelbagai aktiviti dan kempen yang bertujuan meningkatkan taraf kesihatan rakyat. Sehubungan itu, saya berharap agar program ini memberi kesedaran dan impak yang besar kepada kita semua. Marilah sama-sama membuat perubahan kepada diri kita dan keluarga untuk meneruskan malah memelihara kesihatan diri dan kebersihan persekitaran alam kita.

 

Akhir kata, sekali lagi saya ucapkan syabas dan tahniah kepada semua pihak yang terlibat khususnya, Pejabat Kesihatan Kawasan Sandakan, Majlis Perbandaran Sandakan, JKKK, JKDB, KRT dan Ketua-Ketua Kampung, Pengerusi Masjid dan Surau kawasan Libaran, atas komitmen dan kejayaan menganjurkan program ini. Semoga ia memberi manfaat dan kesedaran kepada kita untuk sama-sama memerangi denggi dengan memelihara kebersihan persekitaran masing-masing. Sekian.

 

 

Saturday, April 14, 2018

Office

Press and Publication Office
Chief Minister's Department
31st Floor, Pusat Pentadbiran Negeri Sabah
Jalan Sulaman, Teluk Likas
88400 KOTA KINABALU

Chief Minister's Office
31st & 32nd Floor, Pusat Pentadbiran Negeri Sabah
Jalan Sulaman, Teluk Likas
88400 KOTA KINABALU