The Official Website of The Chief Minister Of Sabah

Majlis Perasmian GH Corner

 

TEKS UCAPAN TAN SRI DATUK SERI PANGLIMA MUSA HAJI AMAN

KETUA MENTERI SABAH SEMPENA PERASMIAN GH CORNER

PADA 14 APRIL 2018 DI GH CORNER

UTAMA PLACE BANDAR UTARA, SANDAKAN.

 

 

Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah rahmat dan izin-Nya, kita dapat bersama-sama sempena Majlis Perasmian  GH Corner Cawangan Sandakan, Sabah pada hari ini. Saya ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pihak penganjur atas jemputan untuk saya hadir seterusnya melancarkan perasmian restoran ini.

 

Saya difahamkan bahawa GH Corner, merupakan cawangan ke-30, rangkaian GH Corner dalam dan luar negara dan merupakan cawangan yang pertama Negeri di Sabah. GH Corner  terdapat hampir di semua negeri di Semenanjung Malaysia, dan telah membuka rangkaian perniagaannya di beberapa bandar di Indonesia, negara Mesir, Jordan, Thailand dan Australia.Tentunya pembukaan GH Corner di daerah ini merupakan satu lagi kemajuan pembangunan di daerah ini. Syabas saya ucapkan.

 

Kewujudan GH Corner tentunya akan menyediakan peluang pekerjaan untuk anak-anak tempatan, khususnya dalam industri restoran. Saya percaya, peluang pekerjaan ini berupaya membantu mengurangkan kadar pengangguran serta aktiviti tidak sihat dalam kalangan anak-anak muda tempatan.

 

Saya juga yakin, kewujudan premis  ini akan mendapat sambutan menggalakan bukan sahaja daripada pelancong tempatan, bahkan juga pelancong antarabangsa. Ia sekaligus akan menyumbang kepada peningkatan aktiviti ekonomi di daerah Sandakan dan kawasan sekitarnya.

 

Apa yang menarik perhatian saya ialah apabila dimaklumkan bahawa GH Corner dikendalikan sepenuhnya oleh remaja di bawah Akademi Generasi Harapan (AGH), anak syarikat GISB Holdings Sdn Bhd. Selain mengusahakan rangkaian restoran Akademi Generasi Harapan  juga melahirkan remaja-remaja yang berkemahiran dalam pelbagai bidang termasuk bidang pendidikan, kebudayaan, ekonomi, pertanian juga IT dan multimedia.

 

Inilah yang kita inginkan, apabila belia khususnya golongan muda diberi peluang meneroka peluang-peluang yang ada untuk memajukan diri masing-masing. Kita sedar, golongan belia adalah pelapis pemimpin pada masa hadapan yang akan meneruskan kesinambungan pembangunan dan kemajuan negara demi manfaat dan kesejahteraan kita pada keseluruhannya.

 

Saya berharap akan lebih ramai remaja di Malaysia amnya dan di Sabah khasnya untuk datang tampil membangunkan ekonomi yang wibawa dan berprestij seperti apa yang telah diusahakan oleh GISBH dalam memberi pilihan kepada masyarakat, untuk sajian makanan halal, suci dan berkat.

 

Pada kesempatan ini, saya juga menyeru kepada tuan-tuan dan puan-puan untuk memberi sepenuh komitmen dan kesungguhan untuk bersama-sama menyokong Kerajaan Barisan Nasional untuk kemakmuran kita bersama.

 

Akhir kata saya sekali lagi merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada pihak penganjur atas pembukaan restoran  ini. Semoga rakyat Sandakan dan sekitarnya dapat memanfaatkan peluang ini untuk mencari pekerjaan, sekaligus mengurangkan kadar pengangguran khususnya di daerah ini. Sekian.

 

 

Saturday, April 14, 2018

Office

Press and Publication Office
Chief Minister's Department
31st Floor, Pusat Pentadbiran Negeri Sabah
Jalan Sulaman, Teluk Likas
88400 KOTA KINABALU

Chief Minister's Office
31st & 32nd Floor, Pusat Pentadbiran Negeri Sabah
Jalan Sulaman, Teluk Likas
88400 KOTA KINABALU