The Official Website of The Chief Minister Of Sabah

Majlis Pembukaan Rasmi Sukan Sabah (SAGA) VIII

 

TEKS UCAPAN Y.A.B. TAN SRI DATUK SERI PANGLIMA MUSA HAJI AMAN KETUA MENTERI SABAH SEMPENA SEMPENA MAJLIS PEMBUKAAN RASMI SUKAN SABAH (SAGA) VIII, SANDAKAN 2017, PADA 10 DISEMBER 2017

DI KOMPLEKS SUKAN SANDAKAN, SANDAKAN.

 

 Terlebih dahulu saya merakamkan penghargaan dan terima kasih atas jemputan untuk saya merasmikan Majlis Pembukaan Sukan Sabah (SAGA) Ke-VIII (Lapan), Sandakan 2017. Syabas dan tahniah kepada Kementerian Belia dan Sukan Sabah, Majlis Perbandaran Sandakan serta Jawatankuasa Induk yang telah berusaha dengan penuh komitmen bagi merealisasikan penganjuran temasya sukan dwi-tahunan terbesar di negeri Sabah ini.

 

Kerajaan Negeri sememangnya amat komited dalam memajukan sukan di negeri ini. Ia terbukti dengan pembinaan dan penyediaan banyak prasarana sukan, melalui Kementerian Belia dan Sukan Sabah. Di samping itu, kita juga turut memberi geran tahunan kepada persatuan-persatuan sukan negeri, membantu dalam penganjuran dan penyertaan pertandingan sukan, serta memberi insentif dan pengiktirafan kepada ahli-ahli sukan dan badan-badan sukan yang cemerlang di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

 

Mengenai penganjuran SAGA ini, ia merupakan antara usaha kerajaan bagi memastikan negeri Sabah tidak ketandusan atlet yang berpotensi bagi mewakili bidang sukan masing-masing. Saya percaya melalui SAGA, kita dapat mencungkil bakat dan melahirkan atlet-atlet berpotensi untuk diketengahkan di peringkat yang lebih tinggi. Di samping itu, ia juga adalah selaras dengan objektif Dasar Sukan Negeri Sabah dan Dasar Sukan Negara ke arah pembentukan masyarakat berbudaya sukan seterusnya, mencapai kecemerlangan sukan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

 

Untuk  rekod,  pada    tahun   2016, Sabah telah menyertai tiga kejohanan utama dengan pencapaian yang membanggakan. Harapan saya, agar pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-19 di Perak, pencapaian atlet kita akan terus meningkat dan lebih cemerlang dalam arena sukan tanah air.

 

Saya percaya, berbekalkan keyakinan, disiplin dan integriti yang tinggi, atlet-atlet negeri Sabah akan mampu melakar kejayaan cemerlang di peringkat kebangsaan dan antarabangsa serta menjadi aspirasi kepada atlet lain untuk lebih berjaya.

 

Sememangnya menjadi harapan kita untuk melihat lebih ramai generasi yang terdiri daripada ahli sukan akan mampu mengharumkan nama negeri dan negara di persada sukan kebangsaan dan juga antarabangsa.  

 

Justeru, saya mengambil kesempatan ini untuk berpesan kepada semua peserta untuk bertanding dengan semangat kesukanan dan disiplin yang tinggi. Saya juga mengucapkan tahniah kepada semua kontijen dan para pemenang nanti. Semoga kejayaan ini akan dijadikan platform untuk terus berusaha meningkatkan pencapaian masing-masing.

 

Sebelum mengakhiri ucapan, saya sekali lagi merakamkan ucapan syabas dan penghargaan kepada semua pihak atas kerjasama dan komitmen bagi merealisasikan penganjuran kejohanan SAGA Ke-VIII (kelapan), Sandakan 2017. Semoga kejohanan ini akan mengukuhkan lagi semangat perpaduan, kesatuan dan kesukanan yang tinggi dalam kalangan rakyat demi memacu kemajuan dan kecemerlangan sukan negeri. Sekian.

 

Sunday, December 10, 2017

Office

Press and Publication Office
Chief Minister's Department
31st Floor, Pusat Pentadbiran Negeri Sabah
Jalan Sulaman, Teluk Likas
88400 KOTA KINABALU

Chief Minister's Office
31st & 32nd Floor, Pusat Pentadbiran Negeri Sabah
Jalan Sulaman, Teluk Likas
88400 KOTA KINABALU