The Official Website of The Chief Minister Of Sabah

Majlis Pelancaran Lab Kajian Pelan Pembangunan Wilayah Selatan (Bahagian Tawau)

 

TEKS UCAPAN Y.A.B. TAN SRI DATUK SERI PANGLIMA MUSA HAJI AMAN KETUA MENTERI SABAH, SEMPENA MAJLIS PELANCARAN LAB KAJIAN PELAN PEMBANGUNAN WILAYAH SELATAN (BAHAGIAN TAWAU), PADA 5 FEBRUARI 2018, DI GRAND BALLROOM, LE MERIDIEN, KOTA KINABALU.

 

 Saya amat berbangga kerana pada hari ini kita akan menyaksikan satu lagi inisiatif Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan dalam merangka halatuju pembangunan di peringkat Wilayah Selatan yang merangkumi Daerah-daerah Tawau, Lahad Datu, Kunak dan Semporna. Potensi pembangunan Wilayah Selatan amat luas dengan kedudukannya yang strategik sebagai pintu masuk utama bagi wilayah pembangunan di rantau BIMP-EAGA dan terletak di sempadan Kalimantan, Indonesia dan Selatan Filipina.

 

Sesungguhnya Kerajaan Negeri sentiasa komited dalam melaksanakan pembangunan menyeluruh bagi mempertingkatkan lagi ekonomi negeri ke tahap yang lebih tinggi. Justeru, saya menghargai kerjasama, sokongan dan komitmen yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan melalui agensi-agensi di bawahnya yang turut menjadi pemangkin kepada kemajuan di negeri ini.

 

Pada hemat saya, inisiatif untuk menyediakan Pelan Pembangunan Wilayah Selatan adalah selaras dengan aspirasi Sabah.LEAP 2035, dan ia juga amat bertepatan pada masanya seiring dengan pembangunan Lebuhraya Pan Borneo. Penyediaan kemudahan Lebuhraya Pan Borneo bakal mengubah landskap pembangunan dan membuka peluang ekonomi yang lebih luas kepada rakyat di seluruh Sabah.

 

Saya percaya, masih banyak potensi khususnya perdagangan sempadan dan pelancongan di wilayah ini yang perlu diterokai.  Sehubungan itu, perancangan pembangunan yang rapi dan teratur diperlukan untuk memanfaatkan peluang-peluang ini.  Saya yakin penyediaan Pelan Pembangunan Wilayah Selatan adalah langkah yang tepat yang menjadi salah satu pemangkin utama kepada pencapaian aspirasi Sabah.LEAP 2035.

 

Saya memuji Kerjasama UPEN Sabah dengan PEMANDU Associates di bawah pimpinan YBhg. Dato’ Seri Idris Jala, dalam meletakkan inisiatif Pelan Pembangunan Wilayah Selatan pada satu tahap yang tinggi, istimewa dan tersendiri. Dengan pengalaman luas PEMANDU Associates dalam pelbagai program transformasi di peringkat nasional, saya menaruh kepercayaan yang tinggi bahawa Pelan Pembangunan Wilayah Selatan ini  kelak bakal dijadikan rujukan penting bagi pembangunan wilayah dan daerah-daerah lain di seluruh Sabah. Syabas kepada UPEN Sabah dan PEMANDU Associates atas kerjasama ini. 

 

Saya juga mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Y.A.B. Perdana Menteri, Datuk Seri Panglima Mohd. Najib Abd. Razak dan Y.B. Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, serta Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri kerana memberikan peruntukan bagi kajian ini. Saya berharap Kerajaan Persekutuan akan mempertimbangkan peruntukan bagi inisiatif yang sama bagi pembangunan wilayah dan daerah-daerah lain di seluruh Sabah.

 

Sememangnya Sabah mempunyai potensi yang sangat besar dalam pelbagai bidang seperti industri minyak dan gas, pertanian, pendidikan, pelancongan, kelapa sawit, industri pembuatan dan logistik. Lokasi Sabah yang strategik dan disokong dengan kemudahan infrastruktur asas yang mampan juga menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri. Justeru, saya menyambut baik dan mengalu-alukan kerjasama berterusan Kerajaan Persekutuan dalam memacu pembangunan ekonomi negeri Sabah.

 

Akhir kata, saya merakamkan penghargaan dan terima kasih sekali lagi kepada pihak penganjur atas pelaksanaan Lab Kajian Pelan Pembangunan Wilayah Selatan ini. Semoga ia berupaya memberi impak positif kepada kemakmuran negeri dan peningkatan sosio ekonomi rakyat pada keseluruhannya. Sekian, terima kasih.

 

 

Monday, February 5, 2018

Office

Press and Publication Office
Chief Minister's Department
31st Floor, Pusat Pentadbiran Negeri Sabah
Jalan Sulaman, Teluk Likas
88400 KOTA KINABALU

Chief Minister's Office
31st & 32nd Floor, Pusat Pentadbiran Negeri Sabah
Jalan Sulaman, Teluk Likas
88400 KOTA KINABALU