The Official Website of The Chief Minister Of Sabah

Majlis Konvokesyen Pusat Latihan Dakwah Kudat Kali ke-21

TEKS UCAPAN Y.A.B. TAN SRI DATUK SERI PANGLIMA MUSA HAJI AMAN KETUA MENTERI SABAH SEMPENA MAJLIS KONVOKESYEN PUSAT LATIHAN DAKWAH KUDAT KALI KE-21, PADA 19 NOVEMBER 2017 / 30 SAFAR 1439H

DI DEWAN SERBAGUNA, PUSAT LATIHAN DAKWAH KUDAT, SABAH.

 

 

Alhamdulillah, kita panjatkan setinggi-tinggi rasa puji dan syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia, rahmat dan izin-Nya, kita dapat  bersama-sama sempena Majlis Konvokesyen Pusat Latihan Dakwah Kudat kali ke-21 ini. Saya merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) atas jemputan untuk saya hadir seterusnya menyempurnakan majlis konvokesyen ini.

 

Syabas dan tahniah kepada para graduan atas daya usaha, kegigihan dan kesabaran dalam mengharungi dunia pembelajaran dan ternyata segala usaha dan ketekunan ini akhirnya membuahkan hasil. Tahniah juga saya ucapkan kepada semua tenaga pengajar, ibubapa dan keluarga pelajar di atas pengorbanan, sokongan dan dorongan yang diberikan kepada mereka sehingga menamatkan pengajian dengan jayanya.

 

Bagi memacu kejayaan ummah duniawi dan ukhrawi, pendidikan untuk golongan belia perlu diberikan perhatian. Saya berpendapat pendidikan holistik meliputi pendidikan agama dan kemahiran yang disediakan di Pusat Latihan Dakwah Kudat ini, merupakan platform terbaik bagi menghasilkan modal insan berkualiti yang kita cita-citakan.

 

Pembangunan insan yang bersepadu sudah pasti akan melahirkan generasi belia yang seimbang dalam aspek jasmani, emosi, rohani, intelek dan spiritual serta akhirnya kesejahteraan rakyat dapat dicapai.

 

Suka saya berpesan agar para pelatih yang berada di hadapan saya pada hari ini dapat memberikan khidmat dan menabur bakti kepada masyarakat melalui bidang ilmu yang telah diperolehi.

 

Insya-Allah Kerajaan Negeri melalui Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) akan sentiasa bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi memajukan pusat-pusat latihan JAKIM di Sabah supaya menjadi pusat latihan yang berkualiti dalam memberikan pendidikan Islam dan kemahiran untuk belia di negeri ini, tidak ketinggalan juga golongan saudara baharu.

 

Saya amat berharap agar Pusat Latihan Dakwah Kudat terus berjaya dalam memberikan pendidikan Islam dan dakwah seterusnya melahirkan lebih ramai lagi kader dakwah dan bakal pemimpin masa depan yang berkualiti untuk memimpin negara dan negeri Sabah khususnya.

 

Saya juga ingin menggesa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) serta agensi berkaitan terus menjalin kerjasama padu dalam usaha memartabatkan dan meninggikan lagi syiar Islam di negeri Sabah.

 

Akhir kata, sekali lagi saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua graduan Pusat Latihan Dakwah Kudat Kali Ke-21 yang diraikan pada hari ini. Semoga kejayaan ini menjadi pencetus semangat untuk menempa kejayaan yang lebih besar pada masa hadapan. Saya juga berharap semoga Pusat Latihan Dakwah Kudat terus maju jaya dan cemerlang sebagai sebuah pusat latihan dakwah yang unggul di negeri ini. Sekian.

Sunday, November 19, 2017

Office

Press and Publication Office
Chief Minister's Department
31st Floor, Pusat Pentadbiran Negeri Sabah
Jalan Sulaman, Teluk Likas
88400 KOTA KINABALU

Chief Minister's Office
31st & 32nd Floor, Pusat Pentadbiran Negeri Sabah
Jalan Sulaman, Teluk Likas
88400 KOTA KINABALU