Minat melukis saya timbul sejak dari sekolah rendah lagi dan gemar melukis orang lidi. Saya sememangnya dari kecil lagi sudah pandai mengarang buku cerita sendiri, walaupun sekadar suka-suka. Zaman itu memang seronok sampai tidak ingat makan, leka sehinggakan tidak mendengar nenek memanggil dan selalunya akan menyambung melukis selepas makan.
Sampai sekarang minat melukis masih belum hilang biar pun lama tak melukis. Bukan berhenti atau pencen sekadar memetik kata-kata Jaafar Taib “ Pelukis tiada pencen selagi hidup, sampai tuapun sentiasa melukis, berkarya,” itu merupakan kata-kata semangat untuk saya terus berkarya.
Saya sekarang sibuk mengumpul lukisan komik/kartun untuk dijadikan sebuah buku, walaupun tidak pasti bila akan diterbitkan kerana terpaksa mencari seorang penerbit yang benar-benar menghargai karya saya. Pengalaman mengajar saya untuk berhati-hati kerana pernah satu ketika dahulu saya menghantar karya ke sebuah syarikat dan karya saya tidak dipedulikan dan tidak diketahui disimpan di mana. Saya amat terkilan kerana hasil titik peluh untuk menyiapkan karya itu tidak dihargai lansung. Tetapi saya jadikan itu sebagai iktibar untuk terus menghasilkan karya yang lebih bermutu.
Bukan mudah untuk menghasilkan cerita komik/kartun yang digemari pembaca. Ianya bukan sekadar melukis tetapi harus kreatif mengarang cerita aksi, lucu, seram, misteri, romantik atau sebagainya. Lukisan hendaklah sempurna dengan skrip baik dan yang utama melakukan banyak rujukan buku-buku komik/kartun yang ada dipasaran disamping banyak bertanya kepada perintis komik/kartun. Berkemahiran komputer adalah satu bonus dan kelebihan kepada seorang pelukis kartun/komik.
Kebanyakan majalah komik/kartun tempatan menghimpun ramai pelukis tempatan. Ini lebih terjamin untuk sebuah majalah komik itu diterima oleh pembaca. Pengkarya komik/kartun solo kena berani kerana perlu bersaing dengan karya-karya dan pengkarya komik/kartun dari Barat, Jepun dan Hong Kong yang sememangnya terkenal. Modal amat penting bagi menerbitkan majalah kartunj/komik. Sebuah syarikat yang kukuh boleh mengeluarkan lebih cetakan dan mudah memasarkan karya tersebut tetapi itu sebaliknya sekiranya diterbitkan oleh individu atau perseorangan dengan modal yang amat terhad banyak perkara yang perlu difikirkan terutama sambutannya nanti.
Tetapi dengan keyakinan dan semangat MALAYSIA BOLEH! tidak mustahil ianya pasti menjadi kenyataan. Sokongan jitu daripada semua pihak yakni pembaca, peminat komik/kartun, syarikat penerbitan, media cetak, media elektronik dan lain-lain pihak yang berkaitan amat dialu-alukan untuk memastikan komik/kartun tanahair terus maju dan diterima masyarakat khususnya dan antarabangsa amnya, Insya-Allah.
Terima kasih yang tidak terhingga kepada pihak Balai Seni Lukis Sabah khususnya Datuk Mohd. Yaman Hj. Ahmad Mus yang sentiasa menyokong kami dengan mengadakan pameran komik/kartun di Balai Seni Lukis Sabah dan menyediakan ruang mesyuarat untuk persatuan PAKATUN Sabah dan sumbangan idea-idea bernasnya.
Ditulis oleh Abdul Latip Ahmad Said (Tip)
|